Home » » Darah peniaga mengalir dalam Norita

Darah peniaga mengalir dalam Norita

Written By kall on Monday 26 November 2012 | 01:10


BERKUMPUL...bergambar kenangan bersama ahli keluarga sempena Aidilfitri.
BERKUMPUL...bergambar kenangan bersama ahli keluarga sempena Aidilfitri.
SETIAP hari, selepas pulang dari sekolah menengah, dia dan kakak menolak beca roda tiga menjual air batu campur dan rojak. Lebih dua tahun melakukan pekerjaan itu pada usia remaja, baginya tiada istilah malu dalam mencari rezeki asalkan tidak melakukan perkara memalukan keluarga.
Sharifah Norita Syed Abdullah, 46, kehilangan bapa tercinta, Syed Abdullah Syed Mohd ketika berusia 11 tahun. Pemergian bapa ke rahmatullah menyebabkan ibunya, Fatimah Daud, 78, perlu menggalas tanggung­jawab sebagai ibu dan bapa bagi menyara tujuh anak dengan menjual kuih. Untuk meringankan beban ibunya, Norita yang ketika itu berusia 13 tahun bukan saja berniaga selepas waktu persekolahan, malah turut menjual kuih di sekolah. 

  • FotoPENUHI PASARAN... bersama siri produk Nutri M.
  • FotoKEBAJIKAN... Sharifah (kanan) ketika melawat rumah kanak-kanak kurang upaya terlantar kritikal.
  • FotoTAMBAH NILAI...bersama rakan selepas menghadiri seminar.
Di tingkatan tiga, dia mula menjual barangan kosmetik dan penjagaan diri secara jualan langsung. Disebabkan namanya tidak boleh didaftarkan sebagai ahli disebabkan bawah umur, Norita menggunakan nama ibunya sebagai ejen jualan langsung. Melalui katalog yang diedarkan kepada penduduk kampung dan kenalan, Norita berjaya mengumpul wang bagi menjelaskan yuran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berniaga bukan perkara yang dipaksa dalam hidupnya. Darah berniaga memang mengalir dalam dirinya. Ini kerana, bapa berketurunan Arab manakala ibunya keturunan Cina yang dipelihara keluarga Melayu sejak kecil dua bangsa yang sememangnya dikenali suka berniaga.


Sejak kecil, Norita sering mengikut bapanya berniaga kain ela. Kata azimat bapa yang dipegangnya sehingga kini ialah berniaga jangan tipu dan perlu percaya masa depan di tangan sendiri, oleh itu perlu berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan.

“Ada orang malu jumpa orang untuk berniaga tetapi bagi saya, tiada istilah malu dalam mencari rezeki asalkan tidak melakukan perkara yang memalukan keluarga,” katanya.

Sesudah menduduki peperiksaan SPM, Norita bekerja sebagai penyambut tetamu di hotel selama setahun. Pada usia 19 tahun, dia dipertemukan jodoh. Selepas berkahwin pada 1990, dia dan suami berhijrah dari Kluang ke Kuala Lumpur.

Kehidupan selepas berkahwin sangat susah dan tanggungjawab lebih berat daripada sebelum berkahwin. Norita perlu menampung keluarga disebabkan suami ketika itu menyambung pengajian selama empat tahun tanpa bergaji. Bermacam pekerjaan dilakukan termasuk berniaga nasi lemak di stesen komuter dan mengambil tempahan katering secara kecil-kecilan.

Seawal jam 6 pagi Norita keluar rumah untuk berniaga nasi lemak manakala menjelang Aidilfitri, dia mengambil tempahan membuat biskut raya. Antara kepakaran Norita ialah memasak laksa Johor dan nasi beriani Johor. Norita pernah mengendalikan tempahan katering sempena sambutan Hari Kebangsaan dengan memasak makanan untuk 2,000 anggota polis bagi tempoh lima hari.

Semua perniagaan yang diusahakan bukan daripada modal besar. Norita menggunakan wang simpanan yang ada dan berusaha sendiri sehingga perniagaan berkembang maju. Dia tidak mempedulikan cakap-cakap orang apabila masih berniaga di tepi jalan sedangkan ketika itu suami (kini bekas) berjawatan tinggi.

“Saya tidak kisah dihina kerana matlamat utama saya ialah untuk menanggung persekolahan anak. Prinsip saya ialah saya tidak hidup atas pujian dan tidak mati kerana cacian orang. Apabila ada masalah, saya tanggung sendiri. Sepanjang perkahwinan, memang banyak cabaran dan dugaan termasuk tekanan fizikal dan mental,” katanya.

Pengasas produk Nutri M itu pernah mengusahakan kedai dobi dan mengambil tempahan membuat pakaian seragam untuk pekerja syarikat lebuh raya. Dia juga pernah menjalankan perniagaan butik bergerak dengan menjual baju kurung dari rumah ke rumah serta pejabat selain menjual biskut raya menerusi ejen yang memasarkannya di pasar raya terkemuka.

Sehingga kini, ibu tunggal seorang cahaya mata itu masih meneruskan usaha mencari rezeki menerusi perniagaan sebagai pemborong pakaian Muslimah sejak empat tahun lalu manakala produk Nutri M sejak dua tahun lalu.

“Alhamdulillah, kehidupan saya kini sangat baik dan tenang. Kalau dulu, kebahagiaan saya cari, sekarang ketenangan datang sendiri. Saya berdoa agar ketenangan dan kebahagiaan ini bukan satu dugaan tetapi adalah satu nikmat.
Perniagaan juga semakin kukuh dan paling saya bersyukur kerana mempunyai anak yang tidak pernah memberi masalah tetapi selalu menjadi tulang belakang, memberi kekuatan dan semangat kepada saya,” katanya.

Nutri M ialah siri produk penjagaan rambut berasaskan herba yang kini mempunyai hampir 100 pengedar di seluruh negara termasuk beberapa stokis serta dijual di farmasi terpilih. Wanita berhati waja itu mengamalkan konsep bekerja di rumah dan cuma keluar sekiranya ada temujanji.

“Dulu fikiran saya sangat kacau dan sukar mahu fokus tetapi sekarang hidup semakin tenang. Apabila kita tenang, kita menang. Dengan kehidupan yang teratur, hubungan dengan Allah lebih sempurna. Ada ketika saya luangkan masa ke pejabat anak bagi meninjau perkembangan perniagaannya.

“Wang daripada perniagaan yang saya jalankan, digunakan untuk membangunkan perniagaan anak dengan rakan kongsi. Walaupun susah, saya tidak pernah tunjukkan di segi emosi. Anak memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan hidup dan sebolehnya saya tidak mahu tunjukkan kepadanya saya lemah,” katanya.

Menurutnya, ramai yang bertanya mengapa dia masih bersendirian selepas perkahwinan yang dibina selama lebih 20 tahun, musnah dua tahun lalu, namun dia punya alasan sendiri.

Norita berkata, dia tidak percaya untuk meletakkan masa depannya di tangan orang lain dan visinya ialah untuk terus melangkah maju pada 2013 dengan menambah satu lagi cabang perniagaan.

“Matlamat saya ialah untuk menambah nilai hidup. Andai satu hari nanti saya sudah tiada, anak cucu dan seluruh generasi ada sesuatu yang boleh dibanggakan.
Saya juga mahu melihat perniagaan anak berjaya kerana bagi saya, saya belum berjaya selagi anak belum berjaya kerana anak adalah aset saya.

“Saya bersyukur dipertemukan dengan mentor, pakar motivasi Dr Azizan Osman yang banyak mendidik dan meletakkan saya di landasan yang betul dalam perniagaan.
Syukur kerana kesusahan yang saya lalui dulu Allah gantikan dengan ketenangan dan kemajuan dalam perniagaan,” katanya.

Menurutnya, sebelum membangunkan perniagaan syampu rambut, dia memikirkan apa yang orang selalu guna dan apa yang mereka perlukan.

“Tujuan saya menghasilkan produk ini bukan untuk ber­saing dengan pihak
lain tetapi memenuhi permintaan pasaran. Nutri M mempunyai rakan kongsi yang sama-sama membangunkan perniagaan.

“Ramai pelik bagaimana saya boleh berniaga sedang­kan tidak mempunyai modal besar. Pada saya, apa yang saya buat kerana Allah yang Maha Mengurus, menguruskan segala usaha saya.

“Apa yang terjadi adalah satu keajaiban dan saya yakin dengan penyerahan kepada Allah. Saya tidak akan takut mencuba sesuatu kerana yakin janji Allah pasti kerana selepas kesusahan, ada kesenangan,” katanya.

Norita berkata, syampu Nutri M berasaskan herba produk unik dan lain daripada yang lain kerana membantu menyingkirkan uban dan rambut gugur.

“Saya ambil masa setahun membuat penyelidikan dengan kerjasama pengamal perubatan yang pakar mengenai rambut dan herba. Dulu, ibu ada memberi petua mengenai kebaikan daun urang aring dan daun sintok dalam penjagaan rambut yang membantu membuatkan rambut hitam dan tebal. Petua itu saya manfaatkan untuk kegunaan pengguna dalam pek yang moden,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Sharifah Norita Syed Abdullah
JAWATAN: Pengasas produk Nutri M
UMUR: 46 tahun
ASAL: Kluang, Johor
ANAK: Aliff Zulkifli, 26.

2 comments:

5689 said...

zzzzz2018.8.3
canada goose jackets
huaraches
pandora jewelry
jordans
coach outlet
louboutin shoes
ray ban sunglasses
michael kors handbags
moncler jackets
michael kors outlet online

jeje said...

jinyi827
Le swoosh Nike asics gel lyte v blancas réel à travers l'aspect est en fait extrêmement exceptionnel, la semelle intercalaire réelle désigné avec dispositif de l'atmosphère notable est en réalité extrêmement avis nike tn chaussures.com rembourrage. Il était absolument au cours de ses voyages qu'il a vu la nécessité d'obtenir un chapeau utile pour basket nike homme france les hommes adultes qui ont vécu et combattu en Occident. Alors que l'industrie du hip-hop air jordan chaussure homme commençait à céder la place aux multinationales américaines par la stratégie pour son immense succès commercial, les artistes et asics gel lyte v rouge et blanc les producteurs ont commencé à faire le lien entre la musique et la mode et ont fondé leurs propres vêtements adidas zx 850 étiquetés Hip-hop.