Home » » Kekalkan tradisi sagat pisang

Kekalkan tradisi sagat pisang

Written By kall on Wednesday 21 September 2011 | 11:06

Kekalkan tradisi sagat pisang



KIRA-KIRA 25 tahun lalu, Kamisah Abdul Hamid berfikir panjang. Dengan modal RM50, dia bertanya pada diri sendiri, adakah dia berupaya menggerakkan bisnes kerepek?

Wanita itu mengakui, dia tidak pernah merentas satu fasa yang formal untuk mempelajari selok-belok berniaga.

Namun, bekas pesawah padi tersebut sedia maklum, membiayai sebuah perniagaan memerlukan instrumen kewangan yang kukuh selain strategi pemasaran perlu bijak dan teratur.

Menyedari dia perlu dibimbing dan tidak harus mengunci dirinya, Kamisah nekad untuk mengikuti bengkel yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Jasin, Melaka.

Bengkel itu antara lain mengajak orang-orang kampung di daerah tersebut untuk melibatkan diri dengan industri kecil dan sederhana (IKS).

Masih jelas di benak wanita yang kini berusia 67 tahun itu, sekitar tahun 1986-1987 buah pisang dan ubi kurang laris di pasaran.

“Jabatan Pertanian hadir dan memberi penerangan cara-cara untuk kami mempelbagaikan pisang dan ubi agar tidak dibiarkan begitu saja,” imbasnya saat ditanya tentang pembabitan awalnya dalam bisnes makanan ringan pelbagai jenis di Melaka Bandaraya Bersejarah.

Selain Jabatan Pertanian, Kamisah memberitahu, perniagaannya turut disokong oleh Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Baru beberapa tahun menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, Kamisah sudah terasa bahang kepayahan meskipun produk keluarannya hanya berupa kerepek pisang.

Daripada melaksanakan bisnes secara kelompok, wanita itu terpaksa mengundurkan diri lantaran tidak selesa bekerja secara berkumpulan.

Namun, pada tahun 1992, Kamisah bangkit semula dan menubuhkan sebuah syarikat memproses makanan ringan yang dinamakan AH Kamisah Enterprise yang membawa jenama Anak Desa.

Kali ini, dia tidak berseorangan sebaliknya bergandingan dengan kakaknya, Rukini yang bertindak sebagai pengurus. Dia turut dibantu oleh anaknya, Hasnida Abdul Hadi, 35.

Tapak perniagaan mereka pula didirikan bersebelahan dengan kediamannya di Kampung Tedong Pantai, Merlimau, Melaka yang diubahsuai dan diperbesarkan ruangnya sedikit.

Disitulah kerja-kerja menyagat, memotong, membakar dan menggoreng segala macam kuih dilakukan.

Bercerita tentang fasa baharu perniagaan, Kamisah memberitahu, dia mengeluarkan sejumlah duit poketnya.

Pada masa sama, wanita berhati wajah itu turut menggunakan modal yang diperuntukkan oleh Jabatan Pertanian dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).


SEDIKIT pewarna dicampurkan untuk menaikkan seri warna kerepek pisang tanduk.


Pisang tanduk

Kamisah memberitahu, bisnes kerepek pisang masih diteruskan. Namun, pilihan mereka kali ini lebih terarah menggunakan pisang tanduk.

“Pisang kapas, nangka dan nipah dah susah nak dapat, petani-petani di sini lebih banyak mengusahakan tanaman pisang tanduk yang mempunyai daya tahan terhadap serangan penyakit pokok,” katanya yang tidak pernah putus bekalan daripada tiga hingga empat pembekal yang rata-ratanya datang dari Kampung Rim, Jasin.

Setiap hari, syarikatnya akan menerima kira-kira lima tandan pisang seberat kira-kira 40 kilogram (kg). Harga sekilo pisang tanduk mencecah RM2. Momentum perniagaan adik-beradik itu semakin kencang ekoran jenama Anak Desa semakin dikenali ditambah permintaan yang semakin berlipat kali ganda.

Bilangan pekerja juga bertambah. Jika dulu hanya tiga orang, kini meningkat menjadi lapan orang.

Bagaimanapun, hanya satu perkara yang kekal. Mereka masih mengekalkan cara lama menyediakan kerepek pisang tanduk.

Sambil menyagat pisang tanduk yang saiznya sebesar lengan, Rukini bercerita tentang proses penyediaan kerepek pisangnya.

Teknik menyagat

“Kita tak guna mesin sebaliknya masih menggunakan teknik menyagat. Sesudah itu, bagi naikkan seri warna pisang, kita bancuh sedikit pewarna.

“Dalam banyak-banyak prosedur, proses yang terpenting ialah sukatan air garam. Air garam yang digaul bersama hirisan pisang perlu sekata, kalau tak, kerepek akan masin. Ketika menggoreng pula, kita kena jaga api dan kena tahu tahap kegaringan dan baru boleh diangkat,” jelasnya.

Untuk hal-hal sebegini, Rukini memberitahu, kesemua lapan pekerjanya yang terdiri daripada suri rumah diberi latihan untuk melakukan setiap proses itu dengan teliti.

Daripada hanya mengusahakan kerepek, Kamisah dan Rukini mempelbagaikan keluaran kuih-muih tradisional lain. Antaranya ialah kuih denderam, pisang manis, rempeyek, bahulu, sepit, kerepek ubi masin dan pedas.


KAMISAH mengekalkan tradisi menyagat pisang berbanding menggunakan mesin untuk kerepek pisangnya.


Seperti kerepek pisang tanduk, kesemua kuih Melayu tradisional itu dibuat dengan adunan resipi turun-temurun keluarganya.

“Kita pakai resipi orang-orang dulu, kita olah dan perbaharui sikit,” kata Kamisah.

Sementara itu, Sapura Mat Saad, 46, yang merupakan salah seorang pekerja syarikat ini memberitahu, dalam sehari dia akan mengadun kira-kira 20 kilogram (kg) kuih sepit.

“Untuk kuih bahulu dan denderam pula, biasanya kami membakar lebih 2,000 biji,” katanya yang nampak bersahaja meskipun jarak api dengannya terlalu hampir.

Penangan air tangan Kamisah dan Rukini sememangnya berbisa. Namun, wanita-wanita itu masih merendah diri dan seperti menolak kenyataan itu.

Cerita Kamisah, dia pernah mengadun dan membakar kuih bahulu pada malam Hari Raya Aidilfitri demi untuk memenuhi permintaan pelanggannya.

“Saya terpaksa berbuat demikian kerana pelanggan berkeras mahukan kuih itu, tak nak menghampakannya, saya adun dan bakar untuk dia,” katanya yang terharu melihat kesanggupan pelanggannya yang menunggu berjam-jam lamanya di muka pintu.

Beratur depan rumah

Selepas itu, tahun demi tahun, senario orang ramai beratur di halaman rumahnya tatkala menjelang raya untuk membeli kerepek dan kuih-muih yang lain, sudah menjadi satu perkara biasa.

Lena Kamisah dan Rukini sejak kira-kira dua dekad lalu juga sering terganggu pada malam lebaran.

“Masih ada dalam kalangan pelanggan mengetuk pintu rumah tengah malam nak beli kerepek, kalau ada stok kita bagi, kalau tak, anggap tak da rezeki,” ujar Kamisah.

Mengenang kembali kesulitan yang dialami sewaktu mula-mula berniaga dan melihat perkembangan bisnes yang semakin maju pada hari ini usahawan wanita itu sangat bersyukur.

Mereka baru mengerti bahawa keperihan masa lampau sebenarnya adalah resipi kepada kejayaan hari ini.


SAPURA mengadun dan membakar sebanyak 20 kilogram kuih sepit setiap hari.


Masih segar di ingatan adik-beradik itu. Mereka pernah ditempelak gara-gara ada yang tidak yakin dengan kemampuan seorang wanita.

“Biasalah perkara-perkara macam itu. Kita percaya pada rezeki Tuhan. Kita berniaga bukan untuk dapat untung sangat, kita cuma nak bantu orang kampung menambah pendapatan dan dapat bayar zakat seperti yang diwajibkan,” kata Kamisah yang juga merupakan Tokoh Maulidur Rasul peringkat Dun Serkam, Melaka tahun 2011.

3 comments:

Pencari Redha Allah said...

Blh sy tau apa alamat peniaga kuih kapit tu.

Pencari Redha Allah said...

Blh sy tau apa alamat peniaga kuih kapit tu.

tesas said...

v7r59h3t22 g2p38u4h62 q5k29q4k10 a1j11y7p13 t4p39i3n26 p0f11t3u68