Home » » Kuih tradisi cita rasa moden

Kuih tradisi cita rasa moden

Written By kall on Saturday 10 September 2011 | 23:55

lompat tikam, talam, bingka, kuih bakar, seri muka dan banyak lagi, bukan sesuatu yang asing di kalangan mereka yang menggemari kuih-kuih tradisional Melayu.

Biarpun kuih-muih ini terus digemari sepanjang zaman namun tidak ramai yang mahir atau tahu membuatnya khususnya di kalangan generasi muda.

Menyedari tidak ramai yang mewarisi kemahiran tersebut, seorang pensyarah kulinari, Asmawati Nor Din mengambil inisiatif mempopularkan semula pembuatan kuih-kuih tradisional Melayu khususnya kuih talam.

"Saya bimbang kalau semakin ramai yang tidak tahu membuat kuih-kuih tradisional ini lama-lama ia akan hilang begitu saja,'' ujarnya ketika ditemui di studio masakannya yang terletak di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.

Kesedaran itu timbul ketika beliau bekerja di sebuah hotel tempatan apabila melihat kuih-kuih tradisional Melayu ini terpaksa ditempah daripada pembekal Cina untuk di hidangkan di hotel.

"Bermula dari situ, timbul idea untuk menyediakan sendiri lagipun membuat kuih-kuih tersebut bukanlah kerja yang payah.

"Kuih-kuih tradisonal seperti talam, seri muka, kuih lapis dan sebagainya tetap ada penggemarnya. Ia tidak akan mati ditelan zaman walaupun dengan kehadiran kuih-kuih moden,''ujar anak kelahiran Peringat, Kelantan ini.

Asmawati mengambil langkah mempelajari secara serius membuat kuih-kuih tradisonal daripada beberapa guru yang mahir.

Kemahiran tersebut lalu dikongsi bersama orang lain dengan menganjurkan kelas membuat kuih-kuih talam.

Pada masa sama beliau turut menerima tempahan pelbagai jenis kuih talam daripada orang ramai mahupun pihak katering dan hotel.

Menariknya, beliau turut memberi cita rasa moden pada resipi kuih-kuih tradisionalnya seperti memperkenalkan talam roti paun, seri muka pandan, talam jagung, talam puding marble, talam Sri Kedah, talam roti paun dan sebagainya.

"Setiap minggu studio masakan saya penuh dengan pelajar yang datang untuk belajar membuat kuih talam,'' ujarnya.

Kanya, kelas-kelas masakan hanya dibuka pada hari minggu dan cuti umum memandangkan pada hari biasa beliau berkerja sebagai pensyarah di universiti swasta di Kelana Jaya, Selangor.

Ditanya mengenai pelajar yang datang ke kelas masakan, Asmawati memberitahu, ia tidak terhad kepada pelajar Melayu sahaja sebaliknya turut mendapat sambutan daripada pelajar Cina dan India.

Malah beliau pernah menerima pelajar dari Switzeland yang datang ke Malaysia semata-mata untuk belajar membuat kuih-kuih tradisional Melayu.

Setiap kelas, Asmawati hanya menerima 16 orang pelajar sahaja bagi memudahkan beliau memberi tumpuan.

"Ini bagi memastikan setiap pelajar dapat mengikuti dan mempelajari dengan betul setiap langkah membuat kuih-kuih tradisional,'' akuinya lagi.

Ditanya mengenai rahsia masakan pula, Asmawati memberitahu, penyediaan dan sukatan yang tepat adalah cara terbaik dalam memastikan kuih talam menjadi dengan betul.

Malah masa kukusan yang tepat juga turut mempengaruhi rasa kuih yang dihasilkan.

"Untuk mengukus masa yang tepat hanya 20 minit kerana jika terawal atau terlewat daripada tempoh itu rasa kuih talam tidak sedap,'' ujarnya.

Asmawati, yang memiliki ijazah dalam bidang kulinari ini tidak pernah lekang daripada idea untuk memajukan perniagaannya.

Beliau merancang menghasilkan beberapa tepung khas bagi menghasilkan pelbagai jenis kuih tradisional.

"Hasrat saya hendak tambah beberapa jenis tepung membuat kuih lagi yang lebih ringkas dan mudah.

"Ada beberapa pihak yang berminat untuk memasarkan kuih talam ini ke Singapura dan Brunei tetapi buat masa ini kos penghantaran produk itu masih tinggi dan saya memerlukan modal untuk tujuan itu," katanya lagi

Beliau akan meminta bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan untuk memperluas pasaran produknya itu.

"Mungkin dengan bantuan itu saya dapat menaikkan nama kuih tradisonal Melayu di persada antarabangsa," katanya.

Ditanya mengenai penglibatan generasi muda terhadap bidang masakan ini, Chef Asmawati memberitahu, pendedahan awal kepada anak-anak muda harus diberikan supaya mereka tahu dan menghargai kuih-kuih tradisonal tinggalan nenek moyang sendiri.

"Biarpun hidup dalam arus kemodenan namun kuih-kuih tradisional ini tidak harus di lupakan ,'' ujarnya yang ingin mempromosikan kuih talam ke peringkat antarabangsa

0 comments: