Home » » Kejayaan 280,000 Sahabat AIM

Kejayaan 280,000 Sahabat AIM

Written By kall on Friday 23 September 2011 | 02:59




USIA 25 tahun jika dipadankan kepada manusia tentulah boleh diibaratkan pemuda dan pemudi yang bakal mencorak masa depan negara dengan kelebihan yang ada pada diri. Ia juga dianggap waktu yang paling sesuai untuk mereka mendirikan rumah tangga jika sudah bertemu pasangan hidup masing-masing.

Namun, dalam konteks usia penubuhan sesebuah badan yang dibina semata-mata untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, sudah pasti ia membawa pengertian berbeza.

Hakikatnya, institusi itu sudah tentu akan dinilai melalui aspek kejayaan yang dicapai sejak mula pertubuhan itu diwujudkan dan kesan positif yang diterima khalayak.

Itulah yang turut dialami oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang lahir dengan niat murni bagi membantu menangani isu-isu kemiskinan di negara ini sejak tahun 1987.

Kini, selepas lebih dua dekad penubuhannya, AIM ternyata berjaya meninggalkan legasi yang cukup bermakna buat 280,000 orang wanita yang telah bernaung di bawah badan tersebut melalui saluran pinjaman mikro hingga berjaya mengubah taraf kehidupan masing-masing.

Penternak ikan sangkar


KAMARIAH (kanan) bersama suami, Ayuraziman kini gigih mengusahakan ternakan ikan sangkar.


Perkara itu diakui oleh peminjam. Dalam AIM, peminjam lebih dikenali dengan panggilan Sahabat AIM. Salah seorang daripadanya, Kamariah Udin, 31, kini merupakan seorang penternak ikan dalam sangkar yang berjaya.

Menurut Kamariah, dia mula menyertai AIM sebagai Sahabat pada tahun 2001. Berbekalkan modal yang ditawarkan badan berkenaan, wanita yang pada asalnya hanya seorang suri rumah itu akhirnya memberanikan diri menceburkan diri dalam projek tersebut bersama suaminya, Ayuraziman Tuah, 38, yang bekerja sebagai nelayan.

Menyedari apa yang dilakukan itu memakan modal yang besar, Sahabat dari Pusat Saidatul Syuhada, Pulau Salak, Kuching, Sarawak itu gigih mengusahakan projek tersebut.

“Selain mendapat pembiayaan modal daripada AIM, saya turut mendapat sokongan daripada Jabatan Perikanan Sarawak apabila terpilih menjadi anak angkat dalam projek Lembaga Perikanan Malaysia sekali gus dibekalkan sangkar ikan terpakai.

“Sehingga hujung tahun lalu, saya telah membuat pinjaman ekonomi bersama AIM sebanyak lapan kali dengan jumlah keseluruhan bernilai RM54,900. Selain itu, saya juga turut membuat pinjaman pelbagai melalui skim I-Sejahtera sebanyak enam kali dengan jumlah pembiayaan RM17,000 bagi membeli aset dan memperbaiki sangkar ikan yang rosak.

“Alhamdulillah, jika dahulu pendapatan harian kami sekeluarga sekadar RM30, tetapi kini kami sudah boleh tersenyum dengan jumlah pendapatan yang diraih di antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari,” ujar Kamariah yang mempunyai tiga pekerja di kawasan sangkar ikan (40 petak) milik mereka. Pekerja itu dibayar gaji RM2,600 sebulan.

Selain mampu membayar upah pekerja, Kamariah juga telah berjaya memiliki aset tambahan seperti lori satu tan, van dan sebuah rumah besar yang didiami bersama tiga anak mereka.

Antara ikan yang diternak dalam sangkarnya termasuklah siakap, kerapu, merah dan jampung atau dikenali sebagai ikan perencong di Sarawak. Selain itu, pasangan itu turut menternak udang kara.

Di samping menternak ikan, mereka juga bertindak sebagai peraih ikan untuk dijual kepada orang lain dan mempunyai pelanggan tetap iaitu beberapa restoran di sekitar daerah Kuching dan Santubong.

“Saya pernah miskin. Saya ingin melahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada AIM kerana telah banyak membantu kami sekeluarga mengecapi hidup yang lebih sempurna,” tutur Kamariah penuh syukur.

Pemborong ikan berjaya


SAHABAT yang berjaya dalam perniagaan turut diberikan penghargaan oleh pihak AIM sebagai pemangkin semangat.


Bagi Zoriah Tohat, 44, pula, modal pertama berjumlah RM600 daripada Skim Pembiayaan Ikhtiar AIM yang diterima pada tahun 1999 menjadi batu loncatan dalam mengubah taraf kehidupannya.

Berasal dari Kampung Goebilt, Kuching, Sarawak, wanita cekal itu memulakan projek tangkapan ikan secara kecil-kecilan dengan membeli sampan, jaring dan jala. Kerja itu dilakukan bersama suaminya, Sahari Adam, 49.

Selepas sepuluh tahun berlalu, Zoriah yang sebelum ini hanya mengusahakan perniagaan ikan kering secara kecil-kecilan kini merupakan seorang pemborong ikan yang berjaya di daerah berkenaan dengan pinjaman sebanyak RM58,600 daripada AIM bagi pembiayaan ekonomi keluarganya.

Beritahu Zoriah, dia dan suami tidak pernah membuat pinjaman modal dengan institusi perbankan yang lain disebabkan kesukaran untuk mendapat kelulusan daripada pihak bank.

Bagaimanapun, melalui pinjaman pembiayaan AIM, segala urusan dipermudahkan sekali gus dia berpeluang mengubah nasib keluarganya.

Apabila ditanya sebab dia memilih menjadi pemborong ikan, wanita itu pantas menjawab: “Suami saya amat berminat mengusahakan projek ini. Jadi, saya sebagai penyumbang modal menyokong minat suami yang begitu bersungguh-sungguh sehingga berjaya memajukan perniagaan kami ke tahap ini.”


AIM mengiktiraf mereka yang dinaungi, misalnya Zuiyah Talib (kiri) dan Nur Faizah Zolkafli. Masing-masing telah menerima anugerah Sahabat Warga Emas dan Sahabat ke-2,300 dalam sebuah majlis khas.


Selain daripada pelbagai jenis ikan, Zoriah turut memborong udang seperti udang merah dan udang harimau yang kemudian dipasarkan di kilang Seahorse, Bintawa yang merupakan kilang terbesar di Sarawak.

Tidak ketinggalan, dia juga menjual pelbagai tangkapan laut di kawasan rumahnya. Jika sebelum ini, Zoriah dan suami menjalankan projek secara kecil-kecilan, kini mereka berdua mampu membayar upah pekerja yang melebihi sepuluh orang.

Dengan purata pendapatan melebihi RM30,000 sebulan, pasangan itu telah membuktikan bahawa jika ada kemahuan dan usaha yang gigih ditambah pula dengan bantuan kewangan yang disalurkan AIM, apa sahaja impian pasti boleh dikecapi setiap individu.

“Tiada ucapan yang dapat diungkap melainkan rasa bersyukur yang tidak terhingga di atas kemudahan pembiayaan daripada AIM yang berjaya meningkatkan taraf pendapatan keluarga,” kata Zoriah yang kini memiliki aset seperti sebuah lori bernilai RM50,000, kenderaan pelbagai guna (MPV) bernilai RM68,000 dan rumah besar yang menjadi tempat berteduh mereka tujuh beranak.