Home » » RZAC Cosmetics meniti pasaran antarabangsa

RZAC Cosmetics meniti pasaran antarabangsa

Written By kall on Monday, 11 April 2011 | 07:31

RZAC Cosmetics meniti pasaran antarabangsa




PERTAMA kali bersua muka dengan pengasas kosmetik RZAC Cosmetics Sdn. Bhd., Datuk Kamaliah Abdul Halim, 51, beliau tampil sederhana sahaja. Tiada solekan tebal saat menyambut kehadiran para petugas media di banglo kediamannya di Kepala Batas, Pulau Pinang minggu lalu.

Tetapi, di sebalik penampilan yang ringkas itu, Kamaliah yang rendah diri dan mesra disapa sebagai Kak Kay mempunyai cita rasa penampilan yang tersendiri. Tatkala tetamu menjamah sarapan pagi, Kamaliah menyarungkan busana warna asas hitam putih persis gaya wanita moden Indonesia.

“Kesemua pakaian saya dibeli di Medan, Indonesia. Saya dan anak gadis saya sememangnya sudah jatuh cinta dengan rekaan busana dari seberang,” katanya semasa sesi suai kenal.

Tetapi fesyen bukanlah tujuan utama Kamaliah membuka pintu banglonya yang turut mendapat sentuhan dari seberang itu. Wanita kecil molek yang obses dengan kecantikan itu optimis mahu meletakkan dirinya sebaris jutawan kosmetik ternama negara yang mempunyai rangkaian bisnes peringkat antarabangsa.

“Sejak kecil saya suka pada kecantikan, malah cita-cita awal saya ialah ingin menjadi pramugari. Pada saya, kecantikan itu penting tidak kira usia atau jantina.

“Meskipun ayah mahu saya menjadi ustazah, saya akhirnya memilih bidang kecantikan kerana minat saya tertumpu di situ,” katanya.

Minat beliau di dalam bidang kecantikan bermula hampir 40 tahun lalu. Katanya ketika berusia 12 tahun lagi beliau sudah terdedah dengan alat solek malah turut menggunakannya.

“Saya suka lihat ibu saudara memakai alat solek, malah apabila dia tiada, sayalah menggunakannya. Saya suka kelihatan cantik, justeru selepas tamat tingkatan lima, saya mula menjual produk kecantikan,” kata beliau.

Bekerja sebagai kerani

Kamaliah berkata, beliau pernah bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan di Perak tetapi hanya bertahan beberapa tahun kerana suasana kerja tidak sesuai dengan dirinya.

“Saya berkahwin ketika usia 21 tahun dan beberapa tahun kemudian suami melanjutkan pelajaran ke Scotland. Saya turut ke sana menemani suami,” ujar Kamaliah ramah.

Menurutnya, ketika di Scotland, beliau tidak mahu membiarkan masa berlalu begitu sahaja. Kamaliah mengambil peluang niaga ketika suaminya sedang sibuk belajar dengan membuat nasi lemak untuk dijual kepada penuntut Malaysia.

Hasil jualan pula digunakan untuk membeli alat solek, melancong dan memenuhi keperluan asas di sana.

Kamaliah berkata, sekembalinya kami ke tanah air, saya terbaca dalam sebuah majalah bahawa pengedar diperlukan untuk menjual satu produk kecantikan dari luar negara.

“Tanpa berlengah, saya ke ibu pejabatnya di Kuala Lumpur dan memohon membuka cawangan di Butterworth.

“Pada masa itu saya dikehendaki membayar RM10,000 dan kerana tidak cukup wang, saya minta membayarnya empat kali selain terpaksa meminjam dengan ibu bapa,” katanya.

Membuka kedai


RANGKAIAN produk kecantikan RZAC Cosmetics yang mendapat sambutan memberangsangkan. Antaranya adalah pembayang mata, penggaris mata, pemerah pipi dan bulu mata palsu.


Menurutnya, pada 1998 beliau berjaya membuka kedai di Taman Selat, Butterworth dengan menjual produk tersebut.

“Sejak saya jual produk ini, jualannya laris dan dari situ saya buka salun. Namun, pada satu ketika produk ini merudum dan perniagaan mula terjejas.

“Tidak mahu bergantung harap dengan produk ini saja, pada tahun 2000 saya terfikir untuk mencipta produk sendiri kerana sudah ada pengalaman.

“Produk ini dihasilkan di rumah dan antara produknya ialah sabun muka, pelembap dan pembersih,” cerita Kamaliah.

Demi memastikan produk tersebut berjaya, beliau melakukan pemasaran sendiri dengan bergerak dari rumah ke rumah.

“Bukan mudah untuk orang ramai menerima produk ini, namun saya kuatkan semangat sehingga sedikit demi sedikit ia mula dikenali,” imbas Kamaliah.

Menurutnya, daripada empat produk awal, kini syarikatnya mempunyai hampir 200 produk kecantikan dan penjagaan imej wanita dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Selain itu, daripada menyewa lot kedai di Taman Selat, beliau berjaya memiliki bangunan tiga tingkat milik sendiri di Seberang Jaya yang turut menempatkan ibu pejabat, salun, pusat kecantikan serta penjualan produk.

Kamaliah juga boleh berbangga dengan kejayaannya membuka cawangan di Bertam, Kepala Batas selain berhasrat mewujudkan satu cawangan RZAC di setiap negeri pada masa depan.

Kegigihan Kamaliah mengembangkan perniagaan kosmetik tidak pernah surut. Pada tahun 2005, beliau berjaya membuka kilang pembungkusan produk kosmetik sendiri bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) di kawasan Perindustrian Ringan, Prai diikuti pembukaan RZAC Classique Spa.

Jenama RZAC Cosmetics juga berjaya menembusi pasaran Indonesia dengan pembukaan cawangan butik kecantikannya di Medan. Sebelum itu, jenama itu telah menembusi pasaran pengguna di Thailand dan Filipina.

“Bukan mudah menembusi pasaran antarabangsa lebih-lebih lagi di Indonesia yang terkenal sebagai pengeluar produk kecantikan berasas herba.

“Kini jenama ini menawarkan lebih 200 produk penjagaan kulit termasuk alat solek dan produk untuk spa, selain lebih 500 senarai pengedar di seluruh negara,” katanya yang mengaku bangga dengan pencapaiannya itu.

Bagaimanapun katanya, tanpa sokongan suami dan keluarga tercinta, tidak mungkin beliau mampu berada pada tahap sekarang.

“Sejak membuka cawangan di Medan, saya berulang-alik ke negara jiran itu seminggu sekali bagi memastikan urusan perniagaan berjalan lancar.

“Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan terutama masa yang dihabiskan bersama keluarga,” ujar Kamaliah dalam sedikit nada kesal.

Sedia terima bayi terbuang


MESIN pembungkusan RZAC kosmetics dibeli dari China.


Dalam pada itu katanya, beliau cuba mencari beberapa peluang bagi mengembangkan perniagaannya ke beberapa kawasan lain di Indonesia.

“Sambutan di sana amat menggalakkan kerana kuasa membeli mereka terhadap barangan kecantikan agak tinggi terutama golongan kelas pertengahan dan atasan. Ia memberi keyakinan kepada saya untuk menarik lebih ramai wanita di sana menggunakan produk keluaran Malaysia,” ujar Kamaliah.

Meskipun sudah mempunyai kedudukan, namun sebagai wanita dan juga ibu, Kamaliah tersentuh melihat anak yatim, termasuk bayi yang dibuang atau lahir tanpa bapa.

Justeru, atas inisiatifnya dan suami, beliau menubuhkan Yayasan RZAC yang bertujuan membantu golongan sasaran termasuk sekolah yang memerlukan.

“Rezeki yang Allah kurniakan kepada saya bukan hanya untuk diri saya seorang, malah bantuan dihulurkan dapat meringankan beban golongan yang memerlukan dan mereka yang hidup dalam keadaan serba kekurangan,” katanya yang mengambil seorang anak angkat, Muhammad Hazeeq yang kini berusia setahun.

“Saya ambil anak angkat selepas ibu bapanya tidak mampu menjaga lalu menyerahkannya kepada saya,” kata beliau yang turut mengambil seorang lagi anak angkat perempuan yang diberi nama Humairah yang kini berusia sembilan bulan.

Kamaliah berkata, usaha itu diharap dapat mengurangkan gejala buang bayi yang berlaku ketika ini, malah beliau sedih dan tersentuh dengan berita dipaparkan mengenai gejala itu.

“Menitis air mata saya apabila membaca laporan mengenai bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa pembuangan pihak tidak bertanggungjawab.

“Dengan adanya yayasan ini, saya berharap gejala ini tidak berleluasa dan saya bersedia menerima bayi atau kanak-kanak yang menghadapi kesusahan atau keperitan hidup,” ujarnya.

Menurut Kamaliah, beliau sangat sukakan kanak-kanak. Empat orang anak kandungnya pula telah dewasa termasuk tiga daripada mereka ketika ini sedang menuntut di luar negara.

“Dengan kehadiran kanak-kanak itu, ia memecah kesunyian rumah saya, terutamanya selepas pulang daripada kerja,” kata Kamaliah.

0 comments: