Home » » End Lot Bistro mencari keredaan dalam perniagaan

End Lot Bistro mencari keredaan dalam perniagaan

Written By kall on Friday 15 April 2011 | 14:24

Bistro konsep baru


Ruang makan bistro yang luas untuk keselesaan pelanggan.


BUKAN keuntungan semata-mata yang dicari dalam perniagaan yang diusahakan, sebaliknya niat ingin membantu golongan memerlukan menjadi teras utama pembukaan End Lot Bistro yang baru beroperasi awal tahun ini.

Konsep berniaga tetapi pada masa sama mencari keredaan Allah satu amalan yang mungkin patut dicontohi setiap individu.

Menurut Pemilik End Lot Bistro, Assri Ismail atau lebih mesra dengan panggilan ayahanda, terdapat seorang sahabatnya yang dermawan telah melaburkan sejumlah wang dalam perniagaan ini tanpa mengambil sebarang keuntungan daripadanya.

"Sebanyak 40 peratus hasil daripada keuntungan akan diinfak (disedekah) kepada rumah-rumah kebajikan, anak yatim dan individu yang memerlukan," katanya.

Menurutnya lagi, idea pembukaan restoran yang berkonsep bistro ini terhasil kerana gerai makanan yang dibukanya ketika itu kurang mendapat sambutan.

"Hari ini pelanggan sudah semakin selektif dan beralih arah untuk menikmati makanan di gerai atau restoran berbentuk moden seperti bistro," katanya.

Selain itu, beliau juga mendapati perniagaan makanan ala bistro ini lebih dipelopori orang bukan Melayu.

Justeru, beliau mengambil kesempatan ini untuk membuka bistro yang dimiliki oleh orang Islam kerana betapa pentingnya penyediaan makanan yang halal dan bersih.

Apabila ditanya tentang keuntungan yang akan dimiliki, katanya, beliau tidak berhasrat untuk meraih keuntungan yang keterlaluan, sebaliknya percaya kepada prinsip bahawa rezeki yang diberi Tuhan harus dikongsi bersama.

Oleh itu, sebahagian hasil yang diperoleh daripada restoran tersebut akan disumbangkan kepada individu atau pertubuhan yang layak sama ada dalam bentuk material mahupun kewangan.

"Bantuan akan diberikan berdasarkan jumlah tertentu bersesuaian dengan badan kebajikan yang terpilih."

"Buat masa ini sebanyak 20 batang tiang lampu telah didermakan kepada dua buah masjid dan 10 buah surau.

"Selain itu, pihak kami juga dalam perancangan untuk memberikan sejumlah bantuan kepada Pertubuhan Anak Yatim Rumah Pangsa, Parlimen Bandar Tun Razak," kata Assri.

Selain itu, End Lot Bistro mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana jaminan kesucian makanan yang disediakan adalah halal, bersih, di samping terdapat hampir lima jenis cita rasa makanan dari pelbagai kaum disediakan seperti Melayu, India, Cina, Thailand dan masakan Barat.

Antara menu menarik yang terdapat disini ialah Nasi goreng Ayahanda yang diilhamkan daripada namanya sendiri.

Bistro yang beroperasi dari pukul 3 petang hingga 3 pagi yang terletak berhampiran pusat penjaja Taman Tenaga Cheras, Kuala Lumpur, itu turut dilengkapi dengan perkhidmatan wi-fi percuma.

0 comments: