Home » » Siapa yang akan untung? Politik Melayu Islam Malaysia Lemah!

Siapa yang akan untung? Politik Melayu Islam Malaysia Lemah!

Written By kall on Monday 22 June 2009 | 03:01


APABILA Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat kenyataan meminta Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok jika masih meneruskan hasrat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, mungkin ramai pihak sama ada di dalam Pas atau di luar Pas berasa gembira.

Bagi sesetengah di dalam Pas yang menyokong Nik Abdul Aziz mereka menganggap ia balasan kepada Nasharudin. Pada pandangan mereka, Timbalan Presiden Pas itu berhak menerima kenyataan sedemikian kerana dilihat kononnya sudah menjadi boneka UMNO.

Manakala bagi sesetengah yang berada di luar Pas pula, ia melambangkan bahawa parti itu berada di ambang perpecahan dan dari segi politik ada andaian nakal bahawa ia akan menguntungkan UMNO.

Namun hakikatnya, perbalahan pendapat berhubung penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu harus dilihat dalam skop yang luas. Mungkin kalau kita bersandarkan kepada kenyataan-kenyataan yang dibuat terutamanya kenyataan tegas Nik Abdul Aziz ia menampakkan Pas sedang menuju kepada perpecahan.

Tetapi persoalannya, adakah itu bermaksud ia akan memberikan keuntungan politik kepada UMNO? Apakah dengan berlakunya perbalahan dalam Pas maka orang Melayu akan menjadi lebih kuat? Kenapa perlu percanggahan pendapat itu dilihat dari sudut sempit seolah-olah dalam Pas kini sudah wujud puak-puak?

Atas sebab itulah, pertelingkahan yang berlaku perlu direnungi dengan pemikiran yang terbuka dan hati yang ikhlas. Kita tidak menafikan bahawa sejak awal lagi Nik Abdul Aziz sememangnya menentang penubuhan kerajaan perpaduan, dan di satu pihak lain, mereka melihat hanya melalui kerajaan perpaduan ia akan dapat menyelesaikan banyak konflik politik yang berlaku di negara ini dan sekali gus mampu merapatkan hubungan antara parti-parti politik Melayu.

Keadaan itu bermakna, perdebatan berhubung penubuhan kerajaan perpaduan akan berterusan selagi tidak ada kata pemutus apa kesudahannya. Oleh itu Nik Abdul Aziz berhak memberikan pandangan dan nasihatnya manakala pihak lain pula berhak mempertahankan idea mereka.

Sebagai sebuah negara demokrasi yang mengamalkan kebebasan bersuara dan memberikan pendapat, apa yang berlaku dalam Pas sekarang seharusnya dianggap perkara biasa dan bukannya satu perpecahan antara puak dalam Pas yang boleh meruntuhkan parti itu.

Biasalah, apabila ada idea baru yang dilihat tidak sinonim dengan perjuangan parti berkenaan sudah pastilah akan wujud pendapat pro dan kontra tetapi ini tidak bermaksud bahawa ia boleh menggugat kekuatan Pas.

Orang Melayu atau mana-mana pihak yang bernama Melayu tidak boleh mengharapkan perbalahan yang tercetus akan melemahkan Pas, ini kerana tiada siapapun yang akan untung. Malah jika kekuatan Pas tergugat, maka kedudukan orang Melayu juga akan turut sama terganggu. Ia kerana Pas adalah parti induk kedua terbesar kepada orang Melayu selepas UMNO.

Dalam keadaan UMNO sedang berusaha untuk bangkit semula, kekukuhan Pas tidak boleh diganggu gugat. Mahu tidak mahu orang Melayu perlu bergantung kepada kedua-dua parti tersebut bagi kepentingan survival politik mereka. UMNO tidak akan untung kalau Pas berpecah kerana ia bukanlah bermakna segala undi dalam pilihan raya akan menyebelahi parti itu.

Kita harus faham sikap dan pendirian penyokong-penyokong Pas, mereka tidak akan sewenang-wenangnya melemparkan undi kepada pihak lain tanpa arahan kepimpinan. Ahli-ahli Pas sentiasa istiqomah dalam memberikan sokongan kepada parti. Mungkin kenyataan ini tidak menyenangkan sesetengah pihak tetapi inilah hakikat yang berlaku dalam setiap kali pilihan raya.

undi rosak

Ahli atau penyokong Pas tidak akan keluar mengundi kalau mereka tidak menyukai seseorang calon hatta kalau calon itu dari Pas sekalipun, kalau pun mereka keluar mengundi, percayalah akan berlaku undi rosak.

Seperkara lagi, perbalahan atau perpecahan dalam Pas tidak akan mendatangkan faedah kepada orang Melayu sebaliknya hanya akan melemahkan lagi suara politik Melayu. Kita harus akui pada masa ini survival politik Melayu bergantung kepada UMNO dan Pas. Tetapi suara UMNO masih dalam proses pemulihan selepas mencapai keputusan tidak memberangsangkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu. Bagaimanapun UMNO tetap mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen iaitu dengan menguasai 78 kerusi manakala Pas pula mempunyai 23 kerusi.

Oleh itu, kalaulah Pas berpecah ia sudah pasti akan menggembirakan puak-puak tertentu yang sememangnya ingin melihat kekuatan politik mana-mana parti yang bertunjangkan orang Melayu menjadi lemah. Melalui cara sedemikian, ia akan mampu meneruskan agenda-agenda mereka bagi membuat tuntutan yang bukan-bukan.

Apabila mereka berbuat demikian orang Melayu tidak ada tempat berpaut untuk bersuara kerana UMNO tidak mempunyai kuasa sepenuhnya manakala Pas pula kucar-kacir. Adakah ini yang dimahukan oleh mereka yang mengaku orang Melayu dan beragama Islam?

Dalam apa juga tindakan politik, kita seharusnya tidak memikirkan generasi Melayu pada hari ini tetapi fikirkanlah tentang masa depan anak cucu kita, apabila kuasa politik Melayu menjadi lemah sehingga ia terlepas ke tangan orang lain yang akan menanggung akibatnya di masa akan datang ialah anak cucu kita. Ketika itu, apabila orang Melayu merempat dan hilang kuasa politik, kesengsaraannya akan ditanggung semua anak Melayu tidak kira, mereka itu anak orang Pas atau UMNO.

Justeru berfikirlah dengan matang dalam berhadapan dengan isu perbalahan dan perdebatan mengenai kerajaan perpaduan ini. Orang Melayu tidak kira apa pun fahaman politiknya perlu mendoakan supaya ada titik pertemuan antara pemimpin-pemimpin Pas dan golongan itu dengan pemimpin UMNO serta ahli politik Melayu yang lain.

Sememangnya kalaulah melihat kepada kenyataan Nik Abdul Aziz atau ucapan beberapa perwakilan Pas dalam muktamar parti itu baru-baru ini, seolah-olah tiada harapan langsung untuk parti tersebut duduk berunding dengan UMNO.

Tetapi kita tidak boleh berputus asa, sebagai orang Melayu dan Islam sudah pasti ada titik persamaan di hati kecil kita yang dijadikan oleh Allah sebagai saudara seagama. Justeru adalah lebih baik jika kita mendoakan agar perbalahan pendapat yang tercetus dalam Pas sekarang dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya tanpa memudaratkan parti itu atau kuasa politik Melayu.

Kita harus memahami, kekuatan orang Melayu sudah berada di tahap yang teruk selepas pilihan raya umum lalu, ada pihak dalam kaum-kaum lain sudah tidak hairan lagi dengan kekuatan orang Melayu. Bagi mereka, lebih lama orang Melayu berpecah ia lebih baik untuk kepentingan perjuangan mereka.

Sebab itulah kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria memberi amaran perpecahan orang Melayu ketika ini terlampau teruk sehingga golongan majoriti itu kelihatan terlalu lemah perlu diberikan perhatian.

Kenyataan beliau adalah benar kerana pada masa ini orang Melayu seolah-olah menjadi pihak minoriti, apa sahaja yang hendak diketengahkan bagi kebaikan orang Melayu hatta untuk tujuan berunding semeja pun akan dilihat bersikap perkauman, tetapi apabila ada pihak lain beria-ia memperjuangkan hak kaum mereka tidak pula dilihat perkauman.

Fahamilah, pihak-pihak minoriti semakin berani atau lebih tepat lagi ‘besar kepala’ kerana mereka tahu orang Melayu berpecah belah. Orang Melayu bukan sahaja terbahagi ke dalam Pas dan UMNO sahaja malah ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kelompok bebas.

Kesudahannya, orang Melayu tidak ada kata sepakat, kita berbalah sesama sendiri hatta dalam soal untuk mencari satu formula bagi menyatukan perbezaan antara kita. Akibatnya, kekuatan politik orang Melayu menjadi lemah. Kita tidak boleh senada menentang tuntutan melampau sesetengah pihak daripada kaum-kaum lain.

Satu pihak orang Melayu mengatakan tuntutan tersebut melampau manakala satu lagi pihak juga orang Melayu menganggap ia selaras dengan demokrasi. Kesudahannya, yang untung adalah pihak yang mengemukakan tuntutan dan orang Melayu tidak mendapat apa-apa juga.

Lebih buruk lagi, suara dan kuasa orang Melayu menjadi semakin mengecil, kita tidak lagi menjadi peneraju tetapi pengikut. Apakah ini yang kita mahukan? Apa untungnya UMNO dan Pas berbalah? Apa orang Melayu dapat kalau Pas berpecah? atau kenapa perlu bergembira apabila melihat UMNO semakin lemah?

Perbalahan yang berlaku di kalangan orang Melayu sekarang seolah-olah kita berada di atas satu pentas menuding jari antara satu sama lain, manakala pihak-pihak lain hanya menjadi penonton dan bertepuk tangan.

bekerjasama

Inilah kedudukan yang harus difahami oleh orang Melayu termasuklah kelompok-kelompok tertentu dalam blog-blog yang penulis lihat terlalu taksub menentang usaha menggalakkan UMNO dan Pas berbincang. Puak-puak ini seolah-olah ditutup mata dan hati mereka untuk melihat betapa pentingnya dua parti Melayu itu bekerjasama demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Bekerjasama bukan bergabung, inilah istilah yang disalahtafsirkan apabila tercetusnya idea kerajaan perpaduan. Mereka menentang idea itu kerana menganggap malah menuduh ada pemimpin-pemimpin tertentu dalam Pas termasuklah Nasharudin sudah ‘digula-

gulakan’ oleh UMNO untuk membolehkan Pas bergabung dalam UMNO.

Tidak cukup dengan itu, dalam blog-blog juga mereka menuduh ada agensi kerajaan tertentu telah ditugaskan bagi merealisasikan impian kerajaan perpaduan berkenaan. Tetapi persoalannya, apakah satu dosa kalau ada pemimpin Pas berusaha melaksanakan usaha menyatukan orang Melayu? atau apakah menjadi kesalahan kalau benarlah ada agensi kerajaan terlibat melakukan usaha yang sama demi kepentingan bangsa, agama dan negara?

Kenapakah perlu melihat bahawa kalau Pas dan UMNO duduk semeja maka ia akan menghakiskan kekuatan politik mana-mana parti terutamanya Pas? Kenapa tidak dibiarkan dahulu perundingan berjalan dan kemudian barulah kita memberi pandangan?

Kita harus faham bahawa pembentukan kerajaan perpaduan baru sekadar idea, oleh itu semua pihak berhak memberikan pandangan termasuk Nik Abdul Aziz. Akhirnya apa yang akan berlaku, disebabkan idea ini dicetuskan oleh Pas maka biarlah Pas yang membuat keputusan muktamadnya sama ada hendak diteruskan atau tidak usaha itu.

Tambahan pula UMNO sudah secara terbuka menyatakan mahu membuka lembaran baru dalam hubungan dengan Pas demi kepentingan umat Islam.

Ia sudah ditegaskan oleh Timbalan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan, sebagai umat Islam, kita digalakkan bermaaf-maafan.

Kita tidak menolak andaian bahawa berikutan perbalahan pendapat yang ketara dalam Pas, impian kerajaan perpaduan itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan, tambahan pula dengan adanya suara-suara bantahan oleh sesetengah pemimpin pembangkang yang lain.

Namun begitu, ia tidak bermakna sebarang rundingan antara UMNO dan Pas yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam perlu didiamkan juga. Sebaliknya pintu kesediaan untuk bekerjasama dan berunding bagi tujuan berkenaan hendaklah sentiasa dibuka. Janganlah kerana merasakan kejayaan yang diperoleh dalam pilihan raya dan terlalu percaya bahawa arus rakyat semakin menyokong sesebuah parti memungkinkan segala pintu rundingan demi kebaikan umat Islam dipinggirkan.

Perpecahan di kalangan orang Melayu hanya merugikan kita tidak kiralah sama ada perpecahan itu berlaku dalam UMNO atau Pas. Jangan dibuat ukuran berdasarkan keuntungan politik semata-mata.

Kita tidak harus terperangkap dengan sebarang andaian kononnya UMNO bersedia berunding dengan Pas disebabkan UMNO dilihat semakin lemah dan memerlukan sokongan. Bukan UMNO yang mencetuskan idea kerajaan perpaduan tetapi Pas dan idea itu pula dizahirkan demi kebaikan bangsa, agama dan negara.

Oleh itu, semua orang Melayu perlu membuka minda mereka bagi memikirkan soal ini dengan tenang dan bukannya dipengaruhi oleh sebarang sentimen.

0 comments: