Home » » Satu Malaysia Perspektif Orang Muda

Satu Malaysia Perspektif Orang Muda

Written By kall on Friday 12 June 2009 | 16:20


Satu Malaysia Perspektif orang muda
Oleh KHAIRUDDIN MOHD ZAIN
TERDAPAT ramai di kalangan rakan penulis, yang masih lagi ragu dan belum berasa tuntas dengan konsep sebenar 'Satu Malaysia' yang diangkat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu.
Sebagai sekumpulan anak muda, spektrum pandangan adalah pelbagai dan rencam, sekali gus banyak bergantung kepada 'proses sosialisasi dan pendidikan' yang diterima sebagai latar belakang pandangan masing-masing.
Penulis sendiri disapa oleh rakan sekolah rendah yang kini berada nun jauh di bumi Amerika Syarikat. Ina (bukan nama sebenar) adalah seorang anak kampung biasa, yang berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke AS melalui biaya siswa kerajaan.
Keprihatinan Ina berkenaan suasana ekonomi negara pada ketika ini amat melegakan. Jika ramai anak muda, tidak kira di dalam atau luar negara, punya fikrah sedemikian rupa, kita mungkin berada di landasan yang tepat.
Ina cukup teruja dengan konsep 'Satu Malaysia'. Sebagai seorang anak muda yang jauh di perantauan sana, membaca akhbar online sudah cukup memberikannya 'gambaran' yang tidak terlalu positif; sekiranya kita terus-terusan berada dalam arus ekstremisme dan politik dendam. Keprihatinan Ina punya asas yang bukan remeh.
'Satu Malaysia' - bukanlah suatu 'nyanyian perang' (battle cry). Ia juga bukannya suatu pernyataan slogan politik yang kosong. Kita mesti sama-sama menghayati kepentingan 'Satu Malaysia' dalam keadaan dan perkaitannya dengan suasana sedia ada.
Tidak ada, waima satu bangsa hebat di dunia pun yang mampu mencapai klimaks kehebatan, dengan bangsanya yang terpecah-pecah dan tidak ampuh. Ini fakta sejarah yang tidak mungkin mampu dinafi. Susur sahaja kehebatan tamadun dunia apa sekalipun, ia bermula dengan 'cita-cita kebernegaraan' yang dikongsi bersama.
Hakikatnya, akhir-akhir ini 'cita-cita negara' seakan-akan diganti dengan pengaruh politik persepsi dan penting diri.
Ada kecenderungan untuk melakukan apa sahaja atas nama demokrasi total. Ada kecenderungan untuk meruntuhkan segala 'asas binaan sosial' lama - kononnya atas nama politik baru yang lebih adil dan saksama.
'Satu Malaysia' - menilai soal kebersamaan dalam wajah dan acuan yang jujur. Benar, kita mahukan suasana baru yang lebih 'adil' terhadap semua rakyat. Namun, nilai baru ini juga tidak menolak 'asas kemasyarakatan' yang sedia ada ampuh dalam Perlembagaan negara dan amalan berkerajaan selama ini. Hakikat ini jangan ditolak sama sekali.
Justeru, generasi muda Malaysia khususnya perlu membina 'fikrah Satu Malaysia' yang sejujur-jujurnya. Kita perlu banyak meninggalkan syak wasangka. Kita perlu meruntuh faham prejudis yang merosakkan. Kita perlu bersangka baik antara satu sama lain. Kita perlu mempunyai yakin diri bahawa tempat dan langit mereka juga ada di bumi bertuah Malaysia ini.
Yang penting, perasaan ini mestilah bersifat 'timbal balas'. Ia mestilah perasaan yang bersifat reciprocal dan berkait. Fikrah Satu Malaysia tidak akan wujud dengan pemahaman bahawa anda lebih perlu berkorban daripada saya atau sebaliknya. Satu Malaysia - sudah mengangkat parameter baru dalam kita hidup bermasyarakat.
Entah mengapa, filem Talentime, arahan Yasmin Ahmad amat bertepatan dengan cita-cita 'Satu Malaysia' ini. Yasmin mengupas isu kaum dan syak wasangka kemasyarakatan dalam ruang yang bersahaja tetapi mampu memukul emosi dan rasional.
Apakah perlu kita punya pelbagai ruang tanggap dan prejudis terhadap kaum lain? Sampai bila kita perlu punya persepsi yang begini? Apakah tidak ada pendekatan 'langkau politik' yang membolehkan kita hidup sebagai bangsa Malaysia?
Seorang rakan penulis juga, seorang aktivis kesatuan niaga - sama sekali menolak kemungkinan 'Satu Malaysia' itu sebagai 'Malaysian Malaysia'. Penulis bersetuju. Niatnya tidak sama. Hasratnya tidak sama. Cita asalnya juga tidak serupa. Beza antara kedua-duanya bagaikan langit dan bumi.
Malaysian Malaysia mahu menanggalkan terus 'asas binaan kemasyarakatan' yang wujud buat sekian lama. Takrif - keadilan diambil secara membuta tuli dengan menggunakan konsep kesamarataan versi total. Sedangkan, 'Satu Malaysia' lebih mampu mengharmoni cita-cita ini dalam ruang lingkup yang berbeza.
Ironinya, 'nyanyian kesamarataan' ini pun tidak berlaku seperti yang diharapkan dahulu. Waima di atas landasan 'meritokrasi' sekalipun, ada pihak yang dipinggir secara sistematik dan nyata.
Meritokrasi tidak menanggap, tidak menilai dan tidak 'peka' soal ketidakadilan sosial dan marginalisasi. Apakah ini model yang diharapkan?
Kita mestilah menjadi kalangan mereka yang ikhlas dan jujur, mengerti dan memahami bahawa perjalanan 'hebat' kita sebagai bangsa Malaysia masih jauh. Perlu banyak pemulihan dan intervensi dasar yang diperlukan bagi memastikan kita menuju ke destinasi kembara yang sama. Sikap saling tidak percaya, cepat berkecil hati dan tidak berjiwa besar mungkin menjadi hambatan nyata kepada 'Satu Malaysia'.
'Satu Malaysia' memerlukan pengamalan politik yang matang dan luar biasa. Matang dalam menilai isu dan suasana. Matang dalam mewujudkan penyesuaian dengan 'faktor semasa' dan tidak meminta-minta di atas garis lama yang semakin kabur.
Kita juga tidak perlu terbuai dengan 'persona kuasa' yang semakin menjadi liabiliti, waima kepada bangsa yang kita sendiri wakili.
'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' - yang pastinya lebih daripada sebuah pernyataan polisi. Walaupun ia membuka ruang pendefinisian yang tidak habis, hakikatnya ini menjadi perlambangan penting seorang pemimpin yang berhemah dengan keperluan perubahan dan transformasi.
Ya, mungkin Najib meletakkan 'standard' atau piawaian yang amat tinggi kepada jentera kerajaan yang ada; ia juga menjadi amanah kepada rakyat untuk membina parameter 'politik matang' yang sebenar. Politik yang tidak bersandarkan pada dendam kesumat. Politik yang tidak berteraskan kepada 'persepsi'. Politik yang tidak berlandaskan 'faktor sejarah dan nilai akal budi'.
'Satu Malaysia' adalah suatu wacana rakyat yang menuntut pengorbanan semua pihak. Rakyat dan masyarakat umum juga perlu adil dalam membuat penilaian dan tidak terlalu pantas dalam melambakkan semua isu kepada lingkungan penyelesaian kerajaan. 'Satu Malaysia' juga menuntut kita meletakkan setiap individu dalam 'lingkungan capaian' penyelesaian masalah.
Jika asas statistik adalah benar, maka konsep 'Satu Malaysia' sangat menarik kepada golongan muda. Tarikan utamanya adalah kemungkinan mereka mengisi sendiri takrif yang mereka mahu - bersesuaian dengan wajah 'Malaysia' yang mereka mahu lihat, sedasawarsa dari sekarang.
Generasi muda profesional misalnya, sudah terbiasa dengan amalan nilaian berprestasi tinggi. Ini juga ditulis oleh Bruce Tulgan di dalam bukunya Not Everyone Gets a Trophy. Generasi Y dan Z, menjadi tidak karuan tanpa wujudnya Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas.
Enam bulan akan datang, generasi muda Malaysia mampu 'menilai' para Menteri dengan nyata dan jelas. Ini ruang yang tidak pernah ada - saat segalanya begitu centralized sifatnya.
'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' - adalah suatu amalan berfikir dan bertindak yang perlu dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia. Penulis tidak fikir, 'Satu Malaysia' sebagai gimik politik yang kosong dan tidak berisi. Hakikatnya, kitalah juga yang perlu mengisi tuntutan dan amanah ini. Jangan melihat kepada orang lain - kerana faham itu perlu wujud dalam benak fikir kita sendiri.
Generasi muda perlu menerima hakikat bahawa pandangan dan pendapat mereka sudah menjadi lebih 'inklusif' dengan Satu Malaysia ini. Kali ini, mereka boleh menjadi rakan kepada pembangunan; dan tidak lagi hanya menjadi pemegang saham jauh yang idealist dan revisionist. Sikap ideal itu perlu diberikan pengertian dalam kerangka - 'Satu Malaysia'.

0 comments: