Home » » Pak Guard jutawan landskap

Pak Guard jutawan landskap

Written By kall on Sunday, 7 September 2008 | 23:46


Bidang semaian tanaman mengubah hidup Pak Jab sekeluarga

KIRA-KIRA 37 tahun lalu beliau tidak pernah terfikir bahawa bidang semaian tanaman yang diceburi boleh mengubah hidupnya sekeluarga sehingga mampu meraih pendapatan mencecah jutaan ringgit.

Itulah yang berlaku kepada Md Rejab Hasanudin, 66, seorang bekas pengawal keselamatan sekolah di Kampung Melayu, Sungai Buloh yang kini mengusahakan syarikat landskap, Rumpun Damai Nursery.

Md Rejab yang lebih dikenali sebagai Pak Jab adalah antara perintis landskap di kampung berkenaan sehingga menjadikan kawasan sekitar Sungai Buloh dan Kota Damansara dikenali sebagai bandar nurseri, tempat kunjungan peminat seni hias laman.

“Saya hanya ‘jaga’ atau ‘guard’ di sekolah rendah ketika mula-mula menceburi bidang semaian. Saya berguru dengan Isa Bulat, orang pertama yang membuka nurseri di Sungai Buloh.

“Pada awalnya, saya hanya bekerja dengan Isa secara sambilan pada siang hari untuk menambah pendapatan manakala pada malam saya bertugas menjadi jaga di sekolah,” katanya yang kini mempunyai tiga tapak semaian, dua di Sungai Buloh dan satu di Sungai Petani, Kedah.

Menyingkap rahsia kejayaannya itu, Md Rejab berkata, pada mulanya beliau tidak nampak bagaimana tapak semaian boleh memberikan pendapatan tambahan kepada keluarganya.

“Mula-mula dulu, saya tanya Isa, mengapa dia menanam pokok yang tidak mendatangkan hasil seperti buah-buahan. Saya tidak nampak pokok yang berbunga dan berdaun ini boleh memberi duit.

“Selepas diterangkan Isa bahawa pokok bunga turut membuka rezeki kerana dibeli pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk landskap bandar baru dan kilang perusahaan, baru saya faham. Selepas itu, saya mengambil kursus semaian Jabatan Perhutanan yang dibuka kepada kakitangan kerajaan pada masa itu,” katanya.

Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang dikutip selama sembilan tahun bekerja sambilan di Nurseri Sungai Buloh milik Mohd Isa, Md Rejab akhirnya mengambil keputusan membuka tapak semaian sendiri pada 1980.

Bermula dari situ, beliau terus mengembangkan perniagaannya dan kini menjadi kontraktor landskap untuk projek besar milik kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), swasta dan orang perseorangan.

Antara projek besar yang diusahakan syarikatnya ialah landskap untuk projek di bawah Arkib Negara dan Institut Perundangan dan Kehakiman Malaysia di Bangi.

Terkini, syarikatnya yang mempunyai 10 pekerja tetap itu melakukan kerja landskap untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Projek Mengindahkan Sungai Gombak dengan kontrak jutaan ringgit bagi tempoh tiga tahun.

Selain menjadi kontraktor landskap, syarikatnya juga menjadi pembekal pokok untuk landskap di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi cawangan syarikatnya di Kedah.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata, pada peringkat awal, agak sukar untuk menjual hasil tapak semaian tetapi dengan bantuan Isa, beliau banyak mendapat kontrak kerajaan dan swasta.

“Pernah satu ketika, projek landskap yang dilaksanakan musnah akibat banjir. Saya menanggung rugi kerana selain pokok musnah, saya terpaksa menanam pokok baru yang kosnya ditanggung saya sendiri.

“Dalam projek besar, kita biasanya ada perjanjian dan risiko akibat bencana alam adalah ditanggung pihak syarikat, maka mahu atau tidak, kerja mesti diteruskan. Oleh itu, walaupun pendapatan sedikit, saya lebih berminat melaksanakan projek jangka pendek dan kecil-kecilan.

“Pendapatan yang sikit ini sebenarnya yang membawa kepada keuntungan lebih besar dan segera,” katanya

Selain menjual semaian dan membuat projek landskap untuk orang perseorangan, syarikatnya mula dikenali dan kini menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk menjual aksesori taman, membuat kolam, wakaf dan pegola.

Menganggap perniagaan yang diusahakan sebagai ibadah selain tempat mencari rezeki, beliau mengakui tidak pernah menjadikan syarikat lain yang ada di Kampung Melayu itu sebagai saingan tetapi rakan kongsi untuk bekerjasama dan mencari pendapatan bersama.

“Di kampung ini ada 18 kontraktor landskap dan nurseri tetapi kami semua bekerjasama bukannya bersaing. Jika syarikat saya terlalu banyak kontrak dan merasakan tidak mampu melaksanakannya, saya akan minta bantuan rakan lain, begitu juga sebaliknya.

“Malah, pada satu ketika Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mencadangkan setiap rumah di kampung ini membuat semaian kecil-kecilan untuk menjadi pembekal kecil kepada syarikat landskap besar yang ada,” katanya

Kini, selain menjadi kontraktor landskap, Md Rejab, bapa kepada tiga cahaya mata dan enam cucu ini menjadi rujukan mereka yang ingin membuka tapak semaian serta menceburi bidang landskap.

Malah, nurseri miliknya juga menjadi tempat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) membuat latihan praktikal industri.

Profil

Md Rejab Hasanudin


Umur: 66 tahun

Anak: 3 orang berusia antara 26 hingga 35 tahun

Asal: Kampung Simpang Tiga Pasir, Merbuk, Kedah

Pendidikan: Darjah Enam Sekolah Kebangsaan Pusat Merbuk, Kedah

Anugerah : Johan Pertandingan Nurseri Terbaik 2004

Profesion: Ahli Perniagaan - Kontraktor Landskap dan Pesara Pengawal Keselamatan, Kementerian Pelajaran.

Aktiviti:

  • Pengerusi Tetap Umno Cawangan Kampung Melayu, Sungai Buloh

  • Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Melayu, Sungai Buloh

  • Presiden Kelab Badminton Veteran, Kampung Melayu, Sungai Buloh

  • Presiden Kelab Bola Sepak, Kampung Melayu, Sungai Buloh

  • Presiden Pasar Malam, Kampung Melayu, Sungai Buloh

  • Yang Dipertua Khairat Kematian Surau Kampung Melayu, Sungai Buloh
  • 0 comments: