Home » » Dari Kerja Bank Jadi Usahawan

Dari Kerja Bank Jadi Usahawan

Written By kall on Sunday, 14 September 2008 | 23:43

HATI ibu mana tidak luluh jika mengenangkan anak terlantar sakit tetapi dia ada beratus-ratus kilometer dari rumah atas urusan perniagaan.

Apakan daya, mahu tidak mahu terpaksalah Norhasnidar Mohd Nor, 36, atau lebih mesra dipanggil Mimie telan semua kesedihan itu demi membina perniagaan yang bakal memberi kesenangan hidup buat anaknya.

Mimie yang mempunyai tiga anak lelaki dan seorang perempuan berusia 18, 15 (perempuan), 13 dan empat tahun berusaha keras untuk membina empayar perniagaan di bawah jenama Halaalan Thoyyiba, produk penjagaan seisi rumah yang menepati keperluan umat Islam di negara ini iaitu produk halal.

Demi membangunkan perniagaan itu, Mimie banyak berjauhan dengan keluarga. Nasib baik ibu bapanya, Mohd Nor Abd Rahman, 70, dan Mahani Mohd Yusof, 63, sedia menemani anak di rumah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Menurut Mimi, dia dengan ditemani suami sering ke Johor, Pantai Timur atau Utara Semenanjung untuk memperkukuhkan perniagaannya.

“Ada masanya saya hanya mampu menangis apabila mengenangkan anak paling kecil di rumah yang demam di Kuala Lumpur tetapi saya jauh di Terengganu.

“Risau dan bimbang usah ceritalah, sedangkan apa yang dapat saya buat hanyalah berdoa dan menelefon, sekurang-kurangnya anak dapat mendengar suara saya,” katanya ketika ditemui di pejabat syarikatnya, BNZ Marketing di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Bagi meluangkan masa Mimie dan empat anaknya, setiap ruang masa cuba diisi dengan kegiatan bersama. Contohnya, apabila anak kedua dan ketiganya, Sofea Balqis dan Mohd Shafiq Shafri Shubli pulang dari sekolah, mereka terus ke pejabat BNZ Marketing di Jalan Raja Muda Aziz.

“Saya kena bahagikan masa antara perniagaan dengan anak. Kalau boleh, anak sepanjang masa dengan saya, balik sekolah terus datang ke pejabat ini, duduk dan buat kerja di sini.

“Anak tak kekok di pejabat sebab dulu pejabat ini adalah rumah kami, lagi pun di tingkat satu (tingkat bawah pejabat) adalah rumah kakak saya, malam baru balik ke Wangsa Maju.

“Di rumah, ada pembantu rumah uruskan keperluan dan ibu bapa saya juga tinggal bersama kami, jadi mereka turut tolong tengok-tengokkan anak, terutama apabila saya dan suami ke luar daerah,” katanya.

Anak sulungnya, Mohd Ashraf, tamat tingkatan lima dan kini bekerja dengan Mimie sebagai didikan awal untuk mewarisi empayar Halaalan Thoyyiba. Cuma tinggal anak paling kecil, Ariff Daniel yang dijaga ibu bapa Mimie.

Menurut Mimie, cabaran membangunkan BNZ Marketing datang dalam pelbagai bentuk, termasuk cemuhan masyarakat terhadap produk keluaran Bumiputera selain kemampuannya yang diragui, apa lagi beliau wanita.

“Ramai juga memperlekeh kemampuan orang Melayu dalam perniagaan. Mereka dok kata, boleh jual ke produk Melayu?” katanya yang menjadikan sikap sebilangan masyarakat itu sebagai pendorong untuk membuktikan kejayaannya sebagai usahawan berjaya.

Menyentuh usaha niaganya, Mimie berkata, minat perniagaan disuburkan ketika menceburi bidang jualan langsung selama lima tahun hingga berjaya meraih peringkat kedua tertinggi atau ‘Diamond’ yang melayakkan beliau menikmati pelbagai kemudahan dan ganjaran wang yang lumayan. Ketika itu beliau masih bekerja di bank di ibu negara.

Bagaimanapun beliau tidak puas dengan pencapaian itu, apa lagi mengenangkan hasil kerja keras itu sebenarnya ditumpukan untuk orang lain.

“Mula-mula saya tidak terfikir langsung untuk menceburi bidang bisnes. Apa lagi hendak keluarkan produk sendiri. Bermula dengan jualan langsung selama lima tahun, saya belajar selok-belok berniaga dan belajar perhubungan pelanggan,” katanya.

Sebenarnya, bakat anak bongsu daripada tiga beradik ini disemai sejak di bangku sekolah apabila sering membantu ibu menjual sate di medan selera di Labuan dari jam 4.30 petang hingga 11 malam.

“Saya kurang minat jual sate, apatah lagi kalau nak jadikan profesyen, sebab itu apabila tamat sekolah tingkatan enam, saya bekerja dengan sebuah bank di Kuala Lumpur.

“Siapa sangka, rupa-rupanya saya ada bakat terpendam untuk menjadi usahawan,” katanya tersenyum.

Berbekal pengalaman dan kemahiran dalam pemasaran sepanjang berkhidmat dengan syarikat jualan langsung, Mimie tekad berhenti kerja bank yang disertainya selama 13 tahun untuk memulakan perniagaan sendiri pada 2006.

Beliau bermula dengan memasarkan produk import secara kecil-kecilan dan pada masa sama menumpukan usaha penyelidikan untuk mengeluarkan produk sendiri dan mengenal pasti pasaran serta produk halal yang mendapat permintaan tinggi, terutama di kalangan penduduk di luar Lembah Klang.

Katanya, selepas menempuh pelbagai cabaran dan rintangan, bermula dua bulan lalu sebanyak 13 produk penjagaan seisi rumah di bawah jenama Halaalan Toyyiba mula beredar di pasaran dan promosi secara besar-besaran diadakan di seluruh negara, terutama Johor dan Pantai Timur.



PROFIL

NAMA: Norhasnidar Mohd Nor

UMUR: 36 tahun

JAWATAN: Pengarah Kewangan dan Pemasaran

PENDIDIKAN: Tingkatan Enam SMK Labuan

ASAL: Wilayah Persekutuan Labuan

ANAK: Mohamad Ashraf Shubli (18), Sofea Balqis (15), Mohd Shafiq Shafri (13) dan Ariff Daniel (4)


Sasar jualan RM1.5 juta sebulan


BNZ Marketing mensasarkan produk penjagaan diri seisi keluarga jenama Halaalan Toyyiba mencapai jualan bernilai RM1.5 juta sebulan bermula tahun depan melalui rangkaian 1,000 pengedar di seluruh negara.


Pengarah Kewangan dan Pemasarannya, Norhasnidar Mohd Nor, berkata unjuran jualan itu dibuat berdasarkan promosi besar-besaran, penyelidikan pasaran dan pelantikan pengedar baru yang giat jalankan di luar Lembah Klang sejak dua bulan lalu.

Beliau yang juga lebih mesra dikenali sebagai Mimie berkata, sehingga kini BNZ Marketing mencatat jualan mencapai RM100,000 sebulan daripada rangkaian 200 pengedar dengan sambutan hebat yang diterima, terutama di Johor dan Kelantan, selaras dengan jumlah ejen pengedar yang paling ramai di kedua-dua negeri itu.

“Daripada 13 produk penjagaan diri seisi rumah, Q-Booster untuk meningkatkan kecerdasan dan kopi tenaga 3 dalam 1 Magic Power Cafe paling mendapat sambutan dan laris di pasaran.

“Kami yakin produk ini berupaya menawan minat pembeli, terutama masyarakat Islam, berikutan kelebihan produk 100 peratus halal.

“Pembuatan produk berasaskan herba turut menjadikan permintaan terhadap kedua-dua barangan itu terus meningkat,” katanya.

Menurutnya, pemasaran produk Halaalan Toyyiba dirangsang lagi oleh pembungkusan moden, cantik dan terkini seperti penggunaan cawan bagi kopi dan kotak bagi produk lain, menjadikan ia dapat menarik minat pembeli berbanding pembungkusan biasa yang mudah dan ringkas.

Katanya, BNZ Marketing mendapat pendedahan meluas mengenai teknologi pembungkusan itu hasil bantuan dan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

Selain itu, katanya, usaha promosi produk Halaalan Toyyiba secara besar-besaran pula mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec).

Mimie berkata, BNZ Marketing kini merangka usaha membina kilang lebih besar bagi meningkatkan pengeluaran produk Halaalan Toyyiba berbanding beroperasi masa ini di sebuah kilang kecil di Kampung Baru.

Sehubungan itu, peniaga yang berminat menyertai rangkaian pengedar produk Halaalan Toyyiba boleh menghubungi BNZ Marketing di alamat 169-E, Jalan Raja Muda Abd Aziz, Kampung Baru, 53000 Kuala Lumpur atau e-mel admin@bayar2u.com atau menghubungi talian 03-26943231 atau 019-6160033.

0 comments: