Home » » Saba dakwah melalui perniagaan

Saba dakwah melalui perniagaan

Written By kall on Monday 3 September 2007 | 12:34


PEPATAH Melayu ada mengatakan “Jauh perjalanan, luas pemandangan”. Pepatah itu mungkin sesuai dikaitkan dengan sejarah awal penubuhan Saba Islamic Media Sdn Bhd yang berkecimpung dalam pengeluaran, pengedaran dan jualan runcit produk kesusasteraan Islam serta audio/video dan komputer media.

Pengasasnya, Sabariah Abdullah mendapat ilham untuk menubuhkan syarikat itu selepas menimba pelbagai pengalaman daripada pergaulan dengan masyarakat antarabangsa di luar negara apabila beliau mendapati masih kurang bahan rujukan atau maklumat bagi membantu masyarakat Islam dan bukan Islam untuk mendalami dan memahami agama itu dengan lebih baik.

“Semasa menuntut di Amerika Syarikat (AS), saya banyak bergaul dengan bangsa lain yang beragama Islam dan bila ada ceramah atau sesi perhimpunan kami ambil peluang untuk berbincang dan bertukar pendapat mengenai Islam.

“Kami juga cuba memberi penerangan kepada masyarakat bukan Islam supaya mereka lebih jelas dan tidak terpedaya dengan propaganda yang memburukkan Islam. Daripada situ saya terfikir alangkah baiknya jika terdapat banyak maklumat dan bahan rujukan Islam terbaru serta dalam bentuk moden supaya mudah mereka mendapatkannya sendiri dan untuk kegunaan masyarakat Islam secara umum.

“Apabila kembali ke Malaysia selepas menamatkan pengajian, saya memulakan usaha ke arah itu," katanya dalam satu temubual di pejabatnya baru-baru ini.

Menceritakan sejarah awal Saba Islamic , Sabariah yang mempunyai kelulusan bidang matematik dan berkhidmat sebagai guru selama enam tahun sebelum membuka perniagaannya itu berkata, beliau bermula secara kecil-kecilan pada 1989 dengan modal sendiri sebanyak RM25,000 dan dibantu dua kakitangan.








Ketika itu, syarikatnya yang dikenali sebagai Perniagaan Saba Enterprise lebih menjurus kepada penjualan buku agama serta pengedaran kaset dan video cakera padat (VCD) mengenai Islam di sebuah kedai di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Sedikit demi sedikit, anak jati Kuala Lumpur itu mula mengembangkan perniagaannya hingga ditukar nama kepada Saba Islamic pada 1992 untuk disesuaikan dengan operasi dan fungsinya yang semakin bertambah daripada sekadar sebagai sebuah kedai menjual buku agama serta kaset dan VCD.

Selain berkembang dengan pembukaan beberapa cawangan, Saba Islamic mula menerbitkan pelbagai produk sendiri dan terbabit dalam pelbagai aktiviti, termasuk pameran dan penganjuran program di peringkat domestik serta antarabangsa bertujuan menyemarakkan perjuangan dakwah Islam menerusi perniagaannya.

Dalam tempoh 17 tahun beroperasi, Saba Islamic yang kini mempunyai modal berbayar RM1 juta, sudah melaksanakan pelbagai projek khas bagi mengukuhkan perniagaan hingga syarikat itu bukan saja terkenal di dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Projek pertamanya ialah melancarkan program berbentuk ceramah bertemakan "Signs of The Creature" (Petanda Maha Pencipta) yang menampilkan 14 siri ceramah di seluruh negara, termasuk Indonesia dengan menjemput penceramah terkemuka dan tokoh Islam antarabangsa memberi penerangan mengenai ciptaan alam semesta yang dipetik daripada Al-Quran.

"Kami juga mengedarkan VCD untuk menjelaskan lagi pembentukan alam semesta ini dan hubungannya dengan keEsaan Allah dan sains dalam bentuk visual. Di dalamnya kami sertakan juga penemuan saintifik dan grafik dalam reka bentuk terkini untuk menjadikannya lebih menarik dan mudah difahami,” katanya.

Selepas kejayaan memberangsangkan projek pertamanya itu, Saba Islamic tampil dengan projek khas kedua iaitu siri untuk kanak-kanak yang menggabungkan hiburan dan pendidikan.

Siri itu adalah program televisyen yang menekankan aspek pendidikan termasuk syahadah dan taqwa dengan menampilkan pengacara diminati seperti Wardina Saffiyah, diilhamkan daripada rancangan popular antarabangsa berbahasa Inggeris untuk kanak-kanak, “Sesame Street”.

Menerusi projek itu, Saba Islamic juga menampilkan siri kartun Raihan Rangerz, berasaskan kartun antarabangsa yang diminati, “Power Rangers” yang mana syarikat itu menghasilkan komik dan VCD siri animasi bertujuan mendidik kanak-kanak dengan nilai sejagat yang disesuaikan dengan budaya masyarakat Islam dan tempatan.

“Kami menggunakan kumpulan nasyid Raihan kerana mereka bukan saja terkenal, malah menjadi idola ramai dan diminati hingga ke peringkat antarabangsa,” kata Sabariah menjelaskan mengenai pemilihan nama anggota Raihan mewakili watak Superhero dalam siri itu.

Projek terbaru Saba Islamic ialah penganjuran Pesta Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur pada Julai lalu, iaitu program tiga dalam satu yang menampilkan pameran, persidangan dan konsert malam amal membabitkan kerjasama pelbagai pihak kerajaan, swasta dan organisasi bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Matlamat penganjurannya selain membantu mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, juga untuk menyebar maklumat dan memperkenalkan produk dan perkhidmatan Islam untuk semua seperti produk halal, kewangan Islam serta konsep peperangan dalam Islam.

Sabariah berkata, selepas 17 tahun penubuhannya, Saba Islamic kini boleh berbangga apabila konsep perniagaannya semakin diterima dan syarikat juga telah berkembang dengan empat cawangan di seluruh negara dan satu di Indonesia, di samping menawarkan peluang perniagaan menerusi francais.

“Apa yang lebih membanggakan ialah sejak lima tahun kebelakangan, perniagaan seumpama ini semakin bercambah dan saya anggap ia sebagai satu perkembangan sihat ke arah kemajuan perniagaan dan penyebaran dakwah Islam di negara ini,” katanya.

Kembang operasi guna francais

SABA Islamic Media Sdn Bhd menawarkan program francais sebagai sebahagian usaha untuk mengembangkan perniagaan dan menawarkan peluang kepada usahawan menjalankan dakwah dan penyebaran Islam menerusi perniagaan.

Pengarah Urusannya, Sabariah Abdullah, berkata program francais itu yang dimulakan tahun lalu telah dilaksanakan di Pulau Pinang dan setakat ini pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada mereka yang berminat untuk untuk menjadi francaisi.

Beliau berkata, pengenalan program francais itu sejajar usaha syarikat untuk memantapkan lagi perniagaan selepas pembukaan cawangan di Indonesia awal tahun ini dan pemasaran produknya di kedai Mesra stesen minyak Petronas di seluruh negara.

"Kami bercadang untuk mengembangkan perniagaan ini ke lokasi seperti Johor baru, Kedah, Pahang dan Selangor," katanya.

Sabariah berkata, setakat ini Saba Islamic memiliki koleksi 4,000 tajuk produk di bawah jenamanya dan sedang berusaha untuk membangunkan lebih banyak produk sendiri, terutama membabitkan bahan berkaitan isu semasa dan pengetahuan mengenai Islam yang bercorak sejagat.

Beliau berkata, usaha itu dilakukan dengan bergabung tenaga dengan pakar Islam dalam pelbagai bidang untuk menghasilkan bahan bermutu yang bukan saja boleh memberi manfaat kepada masyarakat Islam, tetapi juga semua pihak termasuk bukan Islam untuk mendalami dan memahami agama itu dengan lebih jelas.

"Matlamat kami ialah untuk mengurangkan pergantungan kepada produk luar yang mana kami mensasarkan untuk memasarkan 70 peratus produk sendiri pada masa akan datang," katanya.

Fakta Saba Islamic

# Ditubuhkan pada 1989 dengan nama Pengedaran Saba Enterprise yang bergiat dalam pengeluaran, pengedaran dan jualan runcit produk kesusasteraan Islam serta audio/video dan komputer media.

# Untuk memenuhi keperluan perniagaannya yang semakin berkembang, ia ditukar kepada Saba Islamic Media Sdn Bhd (SIMSB) pada 1992.

# SIMSB ketika ini memiliki tiga kedai di Lembah Klang iaitu di Taman Setiawangsa (ibu pejabat/kedai utama), Pusat Beli Belah Maju Junction, Kompleks PKNS Shah Alam, dan sebuah di Pahang iaitu di Kuantan CentrePoint.

# Syarikat juga mempunyai sebuah cawangan di Indonesia iaitu PT Saba Islamic Media yang dibuka sejak Februari 2007.

# Selain di rangkaian kedainya, produk Saba juga kini boleh didapati di rangkaian kedai Mesra di stesen minyak Petronas terpilih .

# SIMSB juga menawarkan program francais yang mana sebuah kedai di Pulau Pinang sudah ditubuhkan menerusi program berkenaan.

3 comments:

Anonymous said...

satu jihad yang amat membanggakan
Allhuakbar

Anonymous said...

isk bilalah aku nak jadi cam dier

Unknown said...

address dior dolabuy Continued dolabuy.su visit this site bags replica gucci