Home » » Coklat halal D'Kawi eksklusi

Coklat halal D'Kawi eksklusi

Written By kall on Monday 17 September 2007 | 09:25


BERKUALITI: Salehuddin menunjukkan antara produk keluaran syarikatnya.



Tongkat ali, kacip fatimah antara perisa produk keluaran syarikat Salehuddin

PENGGEMAR coklat tidak mengira bangsa, kedudukan mahupun usia seseorang. Ia menjadi 'kesukaan' hampir setiap orang, daripada kanak-kanak hinggalah kepada golongan dewasa.

Atas kelebihan itu juga, seorang pengusaha coklat tempatan berani menceburi bidang pengeluaran makanan yang menjadi kegemaran sejagat itu.

Walaupun industri coklat tempatan dikuasai coklat yang diimport, D'Kawi Chocolate Hut yakin industri berkenaan menawarkan banyak ruang yang belum diteroka, lebih-lebih lagi dengan kedudukan Langkawi sebagai destinasi tumpuan pelancong.

Hampir setiap pengunjung di Langkawi, mereka tidak akan lupa untuk membeli pulang buah tangan berupa coklat pelbagai jenis setiap kali berkunjung ke pulau lagenda itu.

Pemilik D'Kawi Chocolate Hut, Salehuddin Idris, berkata kelebihan coklat D'Kawi adalah bagi mengisi kekosongan pasaran produk halal yang boleh dimakan tanpa was-was.

Dengan pelbagai inovasi daripada segi pakej pembungkusan, kualiti, rupa dan rasa, coklat keluaran syarikat itu kini berjaya mencuri hati penggemar coklat.

D'Kawi memulakan perniagaan ketika gawat. Hebatnya penangan kegawatan ekonomi pada 1997/1998 yang disebabkan krisis kewangan Asia itu, melumpuhkan perniagaan dalam sektor pembuatan yang diceburinya lebih 20 tahun.

Penyertaannya dalam perniagaan pembuatan coklat itu bukan secara kebetulan, sebaliknya hasil penelitian dan tinjauannya di pasaran.

Lawatannya ke satu pameran berkaitan industri perusahaan kecil dan sederhana di Pulau Langkawi sekitar 1997, tidak sia-sia apabila beliau mendapat manfaat mengenai perniagaan baru yang boleh diceburinya tanpa perlu bimbang mengenai faktor ketidaktentuan dalam ekonomi.

"Kebetulan, pada satu pameran perniagaan yang berlangsung di Langkawi, saya singgah di gerai anjuran Lembaga Koko Malaysia yang turut menunjukkan demonstrasi membuat coklat. Saya terus mendapat maklumat mengenai industri pembuatan coklat secara komersial daripada pegawai yang bertugas.

"Sejak itu juga saya banyak membuat penyelidikan dan kajian daripada buku dan internet mengenai industri berkenaan, termasuk jenis coklat dan kedah pembungkusannya yang begitu penting bagi menarik perhatian pelanggan pada 'pandangan pertama'.

"Perniagaan ini hasil penelitian saya mengenai industri yang berpotensi untuk diceburi kerana hidup saya sudah sebati dengan berniaga," katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Maktab Sultan Abdul Hamid yang juga berasal dari Langkawi itu diberi pendidikan secukupnya oleh bapa, walaupun mempunyai adik beradik yang ramai iaitu seramai tujuh orang.

Beliau mendapat pendidikan dalam bidang Sains di India dan meraih Ijazah Sarjana Muda Sains, sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan menerusi Program Pembangunan Pengurusan Asia, di Manila.

Lazimnya pelajar Malaysia lebih gemar memilih London, Amerika Syarikat atau Australia untuk menimba pengetahuan di peringkat yang lebih tinggi, Salehuddin bagaimanapun memilih untuk belajar di India dan Filipina memandangkan kos perbelanjaan yang lebih murah.

Sekembalinya dari luar negara, beliau menjadi guru di Maktab Adabi di Alor Setar selama empat tahun sebelum dipindahkan ke cawangan pusat pendidikan yang khas untuk pelajar mengulang peperiksaan, di Muar, Johor.

Perpindahannya ke Muar, malah terpaksa tinggal lebih satu tahun di daerah yang asing baginya, membuatkan beliau bertekad berhenti kerja dan balik ke kampung pada awal 1990-an untuk mencari rezeki dengan menyambung perniagaan bapanya.

Syarikatnya banyak terbabit dalam pembinaan projek bersaiz sederhana di Utara Semenanjung, termasuk membina taman perumahan bersaiz sederhana, sekolah dan pusat kemudahan masyarakat, di Kedah.

Ketika kemuncak industri pelancongan di Langkawi, Salehuddin mencuba satu lagi perniagaan baru iaitu membekalkan kuih muih tradisional Melayu dengan dengan pasaran yang luas di sebahagian besar hotel dan restoran di pulau pelancongan itu.

Menerusi perniagaan itu, beliau membuat pelaburan hampir RM50,000 untuk membina sebuah kilang membuat kuih muih basah, selain turut terbabit dalam perniagaan katering.

Pembabitannya dalam perniagaan yang mana beliau perlu menghasilkan lebih 6,000 keping kuih muih setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan, turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung setempat.

Bagaimanapun, krisis ekonomi yang melanda Asia sekali gus menyebabkan kegawatan ekonomi telah memperlahankan industri pelancongan di pulau berkenaan.

Bagi meneruskan perniagaan, Salehuddin, 61, berusaha mencari perniagaan lain yang mempunyai daya tahan yang tinggi serta mempunyai nilai sejagat, sehinggalah munculnya D'Kawi Chocolate Hut.

Salehuddin berkata, ketika memulakan perniagaan, ia tidak memerlukan kos yang terlalu tinggi kerana beliau menggunakan dan mengubah suai kemudahan sedia ada yang sebelum ini digunakan untuk menghasilkan kuih-muih.

"Saya mengeluarkan perbelanjaan sekitar RM30,000 sebelum memulakan operasi D'Kawi, termasuk perbelanjaan untuk menyediakan tempat kemudahan penyimpanan dan pengangkutan," katanya.

Beliau yang mempunyai lima cahaya mata berkata, tidak seperti pengeluaran kuih muih, coklat memerlukan tempat penyimpanan dan penghantaran yang khusus untuk mengekalkan mutu produk berkenaan.

Buat permulaan, katanya, rangkaian pengedarannya hanya tertumpu di Langkawi, tetapi kini telah berkembang hingga ke Alor Setar dan Lembah Klang.

Dalam mengendalikan perniagaannya, beliau berkata D'Kawi banyak mendapat nasihat daripada Lembaga Koko Malaysia, sama ada daripada segi resipi, kualiti produk dan pembungkusan.

Untuk menambah jenis produk, Salehuddin juga banyak melakukan pengubahsuaian menerusi ilmu yang diperoleh dari pembacaan dan internet.

Kini, syarikat itu mengeluarkan coklat dalam pelbagai perasa termasuk nanas, durian, cempedak yang akan dikeluarkan mengikut musim, selain coklat dengan perisa Tongkat Ali dan Kacip Fatimah.

"Kami hanya menggunakan bahan segar dan terpilih. Kami tidak menggunakan perasa tiruan bagi memastikan produk keluaran kami bermutu dan menepati cita rasa pelanggan," katanya yang menjelaskan pelanggannya terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa dari seluruh dunia.

Selain menjual secara runcit, beliau berkata syarikat turut menerima tempahan berupa pakej bungkusan menarik untuk individu dan korporat, khususnya sebagai cenderahati seperti untuk majlis perkahwinan, hari jadi, dan majlis korporat.

Mengulas mengenai kebimbangan pemakanan coklat yang sering dikaitkan dengan kegemukan, Salehuddin berkata pada asasnya coklat adalah baik untuk kesihatan.

"Kandungan asas coklat iaitu koko, mengandungi vitamin, mineral, karbohidrat dan phenol iaitu bahan antioksida yang boleh membantu menghapuskan lipo-protin kepadatan rendah (LDL) atau dalam perkataan mudah, 'kolesterol jahat' dalam badan.

"Coklat juga telah dikenal pasti dapat mengurangkan tahap kolesterol dalam darah, kerosakan gigi dan obesiti," katanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak terhadap kegemaran makan coklat.

Coklat paling popular keluaran D'Kawi termasuk Langkawi Heritage iaitu coklat dengan gabungan kekacang dan perasa, Enak Praline (coklat berpremium dengan perasa oren, kopi dan vanila), Marble Splendure, D'Kawi Bagus, D'Kawi Bagus, D’Kawi All Almond, serta Millenium Bar, Langkawi Special Bar dan Lagenda Candy.

Menurut Salehuddin, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah, syarikat kini beroperasi di kilang baru di Kawasan Perindustrian Kuala Perlis bagi menggantikan kilang lama terletak di Jalan Kemajuan, Kuah, Langkawi.

“Kami melabur hampir RM500,000 untuk membuka kilang baru yang menggunakan mesin pengeluaran yang lebih canggih dan berkualiti. Operasi di kilang lama telah dihentikan, tetapi kami masih memiliki kedai dan ruang pameran di Pulau Langkawi,” katanya.

Bagi meneruskan kesinambungan perniagaan, beliau telah mula melatih anaknya untuk menceburi bidang perniagaan, dengan membantu operasi syarikat itu.

FAKTA: D'Kawi Chocolate

# D'Kawi Chocolate Hut memulakan perniagaan ketika gawat pada 1997/1998

# Pemiliknya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari universiti di India, sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan menerusi Program Pembangunan Pengurusan Asia, di Manila.

# Mengeluarkan perbelanjaan sekitar RM30,000 ketika memulakan operasi D'Kawi

# Hasilkan coklat dalam pelbagai perisa termasuk nanas, durian, cempedak, Tongkat Ali dan Kacip Fatimah

# Coklat paling popular keluaran D'Kawi termasuk Langkawi Heritage iaitu coklat dengan gabungan kekacang dan perasa, Enak Praline (coklat berpremium dengan perasa oren, kopi dan vanila), Marble Splendure, D'Kawi Bagus, D'Kawi Bagus, D'Kawi All Almond, serta Millenium Bar, Langkawi Special Bar dan Lagenda Candy

# Melabur hampir RM500,000 untuk membuka kilang baru yang menggunakan mesin pengeluaran yang lebih canggih dan berkualiti.

1 comments:

Perawatan Pasca Kegugurann Tanpa Kuret said...

Thanks for the information, this is very useful. Allow me to share a health article here, which gods are beneficial to us. Thank you :)

Obat Alami untuk Menghentikan Menstruasi Berkepanjangan
Obat Radang Tenggorokan di Apotik