Home » » Buka bisness busana muslimah

Buka bisness busana muslimah

Written By kall on Thursday 17 October 2013 | 09:46

WALAUPUN sudah mempunyai nama sebagai jenama pakaian Muslimah, butik Najjah, Hajaba/ Luvstylista dan NainiKifli sepakat membuka pusat sehenti menjual pakaian Muslimah yang dikenali sebagai Woman Of Jannah (WOJ). Pusat sehenti ini memberi peluang kepada wanita memilih pelbagai pakaian dengan fesyen terkini pada harga berpatutan. Ketiga-tiga butik ini yakin perniagaan berlandaskan Islam dengan persaingan sihat mampu mengembangkan ekonomi selain perasaan ingin membantu sesama sendiri tanpa rasa iri hati sebaliknya, saling memberi sokongan supaya dapat mewujudkan suasana persekitaran membeli-belah yang diinginkan.
Idea WOJ merupakan gabungan lima sahabat yang pada awalnya hanya cakap-cakap kosong mesej whatsapp dan akhirnya menjadi kenyataan.
FARAH Adeeba, Awin, Mona Din, Jida Zulkifli dan Nina Zulkifli mengakui tidak wujud rasa tidak puas hati atau cemburu dengan kelebihan masing-masing.
Sebaliknya mereka saling memberikan pendapat dan berkongsi masalah bagi meningkatkan kualiti pakaian serta layanan kepada pelanggan.
Busana yang disediakan di WOJ bukan hanya tertumpu kepada baju, seluar mahupun skirt labuh sahaja, pemilik Najjah, Farah Adeeba sambil tersenyum berkata, WOJ menawarkan kelengkapan dari kepala sehingga ke hujung kaki.
Selain blaus, jubah, aksesori, gaun dan seluar serta pakaian tradisional yang boleh dipakai pada majlis-majlis formal atau hari-hari kasual, WOJ juga boleh dilihat sebagai sebuah pusat sehenti untuk tudung, selendang, telekung sembahyang dan persalinan umrah wanita.
Tambah Farah, busana yang disediakan sesuai untuk setiap lapisan usia, baik mereka pada awal usia 20-an atau telah melangkaui 50 tahun.
“Malah kami akan mengesyorkan pakaian yang ada di butik lain sekiranya pakaian yang ada di sini kurang sesuai.
“Di sini kami memberi peluang kepada pereka-pereka muda untuk mempromosi rekaan mereka. Setakat ini terdapat 12 jenama lain yang bernaung di bawah WOJ," katanya.
Dalam pada itu, pemilik NainiKifli, Nina memberitahu, ramai pelanggan yang dikenalinya merungut kerana sukar mencari pakaian Muslimah merangkumi pelbagai jenama.
Oleh itu, mereka membuka pusat sehenti ini untuk memastikan peminat fesyen Muslimah berpuas hati kerana dapat membuat pilihan mengikut cita rasa masing-masing.
“Kali pertama melihat lokasi untuk menempatkan pusat sehenti ini kami terus terpikat memandangkan kawasannya strategik kerana pusat beli-belah yang terletak di Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor.
“Setiap rekaan kami tampilkan berbeza namun masih memenuhi ciri wanita Muslimah. Menerusi potongan yang unik serta perincian manik menjadikan setiap helaian mempunyai keistimewaan tersendiri," ujarnya.
Uniknya, jenama yang ditampilkan WOJ dipilih berdasarkan syarat-syarat tertentu termasuk memastikan rekaan mereka asli, bumiputera dan latar belakang kewangan yang baik.
Berfesyen
Dengan adanya WOJ, diharapkan jangan ada membataskan diri dengan berfesyen walaupun sudah bertudung.
Ini kerana, kemanisan dan keayuan wanita bertudung terserlah juga apatah lagi jika fesyen bertudung itu dipelbagaikan.
Ini diakui sendiri pemilik Hajaba, Mona yang mahu membuktikan orang Melayu boleh berjaya jika ada kemahuan.
“Dari situ kami sedar perlu ubah pemikiran masyarakat tentang fesyen Muslimah bahawa perniagaan ini tidak lagi sekadar di kawasan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India.
Kami cuba membuktikan dengan wujudnya pusat sehenti ini, ia meningkatkan lagi kesedaran bahawa fesyen Muslimah sebegini juga boleh bersaing dengan jenama-jenama antarabangsa.
Selain itu ia juga mampu menarik minat masyarakat Islam di negara ini untuk berpakaian menutup aurat bukan sekadar ia satu tuntutan agama tapi pada masa yang sama menunjukkan kita boleh berpakaian cantik dan mengikut peredaran zaman," ujarnya.
Melihat kepada kejayaan lima sahabat ini nyata rahsia mereka adalah kerjasama dan sifat toleransi sebagai rakan niaga.
Namun mereka juga percaya bahawa masa itu adalah emas dan setiap detik bersama akan dihabiskan sebaik mungkin.
Oleh itu, setiap masa terluang mereka akan cuba mengadakan mesyuarat kecil dan menetapkan jadual untuk berjumpa walaupun sekejap.
“Masa itu sangat penting bagi kami kerana masing-masing sudah mempunyai komitmen sendiri. Kami ada butik sendiri , keluarga dan jadual kerja yang berbeza.
“Kami selalu berhubung melalui mesej whatsapp. Jika ada perkara yang penting dan memerlukan kami berlima berkumpul, kami akan cuba mengatur jadual sebaik mungkin. Walaupun hanya sekadar bersarapan bersama untuk lebih kurang 40 minit, masa itu akan kami gunakan sebaik mungkin untuk WOJ," ujar Mona mengakhiri perbualan.