Home » » Rezeki Tepi Jalan

Rezeki Tepi Jalan

Written By kall on Saturday, 8 December 2012 | 10:28





SHAIPUR AZWAN ABDUL HAMID, 31, pernah berkecil hati apabila cuba mempertahankan keputusannya untuk berdikari dengan membuka gerai menjual burger dan roti john.
Masih segar dalam ingatan, dia pernah ditegur jiran, kenalan dan ahli keluarganya sendiri yang skeptikal dengan masa depan kerja tersebut. Begitupun, dia tidak pernah berjauh hati atau kecewa dengan pilihannya, lebih-lebih lagi dia kini sudah melihat pulangan hasil titik peluhnya itu.
Biarpun 'pejabatnya' hanyalah di tepi jalan, lelaki berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mesra disapa sebagai Wan itu mengakui bersyukur dapat menjana pendapatan demi menyara keluarganya.
Bapa kepada seorang anak itu percaya, pengusaha gerai yang rajin berusaha dengan jualan memberangsangkan mampu menjana pendapatan yang setaraf dengan gaji purata pekerja pejabat.
Namun, untuk mencapai objektif tersebut, banyak yang perlu Wan lalui terutamanya tentang cabaran dan selok-belok berniaga.
"Perlu ada semangat untuk berjuang. Berniaga perlu ada niat yang betul untuk berjaya dan jangan mudah berputus asa," ujar Wan ketika ditemui di gerainya di Taman Kenanga, Seksyen 17, Shah Alam.
Pada awalnya, Wan bermula sebagai pekerja di sebuah warung dengan gaji RM10 sehari. Kesanggupan bekerja pada usia semuda 17 tahun dengan gaji yang rendah bukan suatu untuk disesalkan.
Dia sebaliknya menganggap itu merupakan peluang terbaik untuk mempelajari asas perniagaan memandangkan dia sifar pengalaman.
"Ketika kawan-kawan menyambung pengajian dan mencari kerja yang lebih 'selamat', saya pula ketika itu berkawan dengan seorang abang bernama Zulmahizam dan menjual burger bersamanya," kata Wan mengimbas memori tahun 1999 ketika berjualan di Seksyen 2, Shah Alam.
Selepas dua tahun berniaga, dia dan tuan gerainya didekati seorang chef yang sedia berkongsi tip menjadikan burger lebih lazat iaitu sos yang digunakan.
"Chef itu memberi kami tip bahawa keenakan burger terletak pada kombinasi sos cili dan mayonis yang terbaik. Jadi, kami pun mencuba kombinasi pelbagai jenis sos cili dan mayonis sehingga mendapat rasa terbaik.

WAN (kiri) sibuk melayan pelanggan yang datang membeli burger dan roti john di gerainya.


"Pada masa yang sama, tuan gerai menghantar saya belajar buat roti john secara sambilan selama dua minggu di sebuah gerai lain," katanya.
Kumpul semangat
Namun, adat dalam perniagaan, Wan tidak terlepas daripada jatuh dan bangun dalam resam berniaga. Kerugian dan menanggung hutang itu lumrah. Semua itu berlaku ketika dia berhasrat membuka perniagaan sendiri.
"Saya pernah membuka restoran makanan Thai namun, ia terpaksa ditutup berikutan menanggung kerugian yang teruk," luahnya yang pernah menjual segala barangan peribadi seperti seluar jean dan kasut Timberland kesayangannya untuk memulakan perniagaan itu.
Wan tidak pernah putus asa. Berkat usaha dan kecekalan, wang RM50 pemberian abangnya dijadikan modal azimat. Dia membaiki sebuah gerai sorong yang dijumpai di tempat pembuangan barang seterusnya membeli sedikit barang mentah untuk memulakan semula perniagaan menjual burger.
"Hanya dengan empat beg roti dan dalam masa dua jam, saya berjaya mengembalikan wang RM50 kepada abang saya," ujarnya lalu meneruskan perniagaan pada hari-hari berikutnya dan menambah kuantiti jualan berikutan sambutan yang semakin bagus.
Sambil sibuk melayan pelanggan yang sudah beratur panjang menempah burger ayam, daging dan roti john, Wan memberitahu, dia sudah terbiasa dengan suasana tersebut. Jika ada tempahan secara pukal, Wan akan menggandakan operasinya.
"Kebiasaannya saya akan menjual kira-kira 150 biji burger dan 60 hingga 80 roti john. Ada hari-hari yang lebih tinggi jualan. Semuanya, memberi pulangan yang lumayan iaitu dengan untung bersih kira-kira RM200 hingga RM250 sehari," katanya yang menjalankan perniagaan dari pukul 5 petang hingga 11.30 malam.
Wan bagaimanapun taat dengan permintaan ibunya yang mengharapkan dia bekerja secara tetap. Tiga tahun lalu, dia memulakan tugas di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) manakala perniagaan gerainya diteruskan oleh isterinya, Yiska Maida Anggrani, 26.
Jika berkelapangan, Wan tetap akan menemani isterinya di gerai untuk membantu apa yang patut. Kini, mereka memiliki dua buah kereta dan dua buah motosikal hasil rezeki berniaga di tepi jalan itu.
"Persepsi orang bahawa menjual burger tepi jalan tidak akan membawa saya ke mana-mana adalah sama sekali tidak benar. Jika seseorang itu rajin, mempunyai semangat berniaga dan mahu terus maju, rezeki boleh diraih di mana-manapun," katanya yang tidak pernah lupa jasa gerai itu dalam hidupnya.
Warga emas gigih
PEKERJA di gerai milik Linggem di Brickfields sedang menggoreng sajian popular.


Kosmo! turut menemui sepasang warga emas di kawasan Brickfields yang terkenal dengan gerai jualan mereka. Keenakan dan kesegaran produk jualan mereka memang didambakan ramai orang yang ingin mengisi perut dan melegakan kerongkong yang dahaga.
"Saya buka gerai setiap hari. Ramai orang datang, mungkin kerana banyak promosi di internet, laman sosial, akhbar dan sebagainya," kata Chan Wai Keong, 59, sambil tersenyum.
Ditemani isterinya, Choi Sai Yen, 59, Wai Keong berkata bahawa dia tidak mahu mengecewakan pelanggan yang datang untuk merasai secawan air kelapa atau semangkuk cendol mahupun ais batu campur (ABC).
"Saya mesti berikan yang terbaik. Mereka mungkin datang dari jauh, datang semata-mata untuk minum, terutama sekali pada hari-hari panas," katanya lagi yang sibuk melayan pelanggan yang tidak putus-putus sejak gerainya dibuka pada pukul 10 pagi.
Gerai tersebut mempunyai keistimewaan kerana ia sudah berusia lebih 40 tahun. Namun, Wai Keong mengambil alih operasinya sejak 10 tahun lalu daripada pemilik asal yang juga saudaranya.
Ditanya mengenai keistimewaan gerai minuman itu, Wai Keong hanya menggeleng kepala sambil tersenyum. Sambil menghulurkan semangkuk cendol, ABC dan segelas air kelapa, dia berkata: "Kamu rasa sendiri."
Gula melaka yang terpilih dan santan segar, kata Wai Keong, antara resipi yang digunakan untuk membuat cendol yang lazat itu. Bagi ABC pula, dia mendakwa sekadar menggunakan bahan-bahan biasa.
"Paling penting, semuanya disediakan segar dan dengan niat untuk memberikan yang terbaik selain memastikan layanan yang cemerlang buat pelanggan," katanya.
Dalam bersyukur dengan kelarisan jualannya, Wai Keong masih menyimpan seedikit keluhan. Menurutnya, harga barangan semakin mahal. Jika dahulu, katanya, 20 sen boleh menjana RM1, tapi kini RM1 hanya menjana keuntungan 20 sen.
"Tetapi saya berpuas hati. Gerai tepi jalan seperti ini tetap memberi pendapatan memadai buat saya dan isteri. Saya amat bersyukur," katanya.
Wai Keong mengakui bahawa selama ini beliau tidak pernah berhadapan dengan sebarang masalah dalam berniaga, cuma satu-satunya cabaran di luar kawalan ialah musim hujan.
"Memandangkan saya menjual minuman sejuk, maka setiap kali hujan saya hanya berserah kepada takdir," ujarnya lagi.
Menjual sekitar 200 mangkuk cendol dan ABC sehari, Wai Keong memberitahu, komitmen dan disiplin yang tinggi amat diperlukan jika mahu kekal lama dalam perniagaan seperti itu.
PELANGGAN pelbagai kaum mengunjungi gerai Wai Keong untuk membasahkan tekak yang dahaga.


Ujar beliau, jika benar-benar komited dan hanya bermodalkan RM2,000, seseorang itu boleh membuka gerai ABC, cendol atau minuman.
Siew Yap, 59, dari Taman Maluri Cheras, ialah antara pelanggan tetap Wai Keong sejak dua tahun lalu. Menurutnya, tidak lengkap perjalanannya dari stesen monorel Tun Sambanthan ke KL Sentral tanpa singgah di gerai Wai Keong.
"Dia sangat rajin. Setiap hari mesti buka gerainya. Minuman di sini sangat popular dan power," katanya yang bersama-sama pelanggan lain yang berasa puas membayar RM1.70 bagi menikmati segelas air kelapa Wai Keong.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2EQJi8dfq 
Hakcipta terpelihara 

0 comments: