Home » » Dulu suri rumah, kini usahawan

Dulu suri rumah, kini usahawan

Written By kall on Friday 28 December 2012 | 07:31



TIADA siapa yang menolak prubahan jika itu akan membawa kepada kehidupan yang lebih selesa. Dalam menjalani rutin harian di kota besar yang berpaksikan kuasa berbelanja, keupayaan meneruskan kelangsungan hidup sememangnya menjadi taruhan.
Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengecapi kesenangan hidup. Selain ada yang memilih pekerjaan yang menyalahi norma masyarakat dan undang-undang, ada pula yang mengambil jalan mudah untuk cepat kaya tanpa perlu bersusah-payah memerah keringat dengan menyertai perniagaan skim cepat kaya.
Malangnya, janji-janji manis untuk menuai hasil berganda berakhir dengan episod si mangsa berputih mata.
Hakikatnya, amat sukar untuk percaya jika ada pihak yang mendakwa dirinya menjadi kaya dan hidup senang dalam sekelip mata tanpa berusaha.
Begitu juga dengan kisah dua orang wanita cekal yang ditemui Kosmo!. Usaha gigih kedua-duanya untuk menikmati kehidupan yang lebih baik menjadi realiti. Semuanya kerana berkat jerih perih bersengkang mata menjahit.
Jika dahulu Norhaniza Abu Hassan, 38, hanya memperoleh pendapatan kurang daripada RM500 sebulan hasil tempahan menjahit, namun segalanya berubah tiga tahun lalu selepas wanita berasal dari Seri Iskandar, Perak itu menyertai Program 1 Azam.
Kemahiran niaga
“Saya memang minat menjahit dan mengambil tempahan beroperasi dari rumah secara kecil-kecilan sebelum menyertai program tersebut.
“Kini, banyak pengetahuan yang diperoleh. Saya mempelajari selok-belok berniaga seperti cara mempromosikan barangan dan kaedah mempelbagaikan produk jahitan terutamanya melibatkan jahitan kreatif,” kata suri rumah yang mempunyai dua cahaya mata itu.
Jika sebelum ini ada kenalan Norhaniza yang tidak yakin atau percaya pada kebolehannya, namun dia menjadikan kata-kata tersebut sebagai cabaran yang harus dibuktikan sebaliknya.
Berbekalkan ilmu jahitan yang diperoleh daripada program tersebut, Norhaniza kini menerima pelbagai tempahan jahitan seperti langsir, pakaian, hantaran perkahwinan, cenderamata, tag nama sekolah, sarung kusyen dan banyak lagi.
MEJA kreatif ini boleh digunakan sebagai meja serba guna.


Kini, Norhaniza mampu menjana pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan atau lebih mengikut musim.
“Dengan menggunakan mesin jahit berjenama Janome dan mengikuti program di Pusat Latihan Kraftangan Epal, apa yang kita hajati semuanya dapat dilakukan dengan mesin ini.
“Buat masa ini, saya menjalankan operasi menjahit dari rumah dan dalam proses mencari kedai,” ujarnya sambil memberitahu bahawa dulu dirinya tiada keyakinan diri untuk bercakap dengan orang ramai apatah lagi mahu mempromosikan hasil tangannya.
Perubahan landskap kehidupannya sekeluarga kini bukan terjadi dalam masa sehari dua. Baginya, rezeki sentiasa ada bagi mereka yang terus berusaha.
Tiada kata yang dapat diceritakan oleh wanita itu saat diminta mengimbas kembali saat kehidupannya dahulu yang cukup-cukup makan. Norhaniza bersyukur dan mengakui kehidupannya lebih baik berbanding sebelumnya.
Tiada kemahiran
Berkongsi kronologi cerita yang lebih kurang sama, Rohaya Shaari, 40, tidak segan mengaku bahawa dirinya tidak punya pengetahuan luas dalam bidang jahitan. Sebelum ini, dia sekadar mengambil tempahan membuat baju daripada saudara-mara.
Namun, setelah mengikuti program tersebut selama tiga bulan, ibu kepada dua cahaya mata itu belajar asas jahitan hingga menguasai pelbagai kemahiran jahitan kreatif.
“Daripada tiada apa-apa kemahiran, kini saya mampu membuka sebuah kedai jahit dan menerima pelbagai tempahan jahitan.
“Sebelum ini susah untuk saya mendapatkan pelanggan kerana tidak tahu asas perniagaan apatah lagi menjahit. Program 1 Azam ini melatih segala-galanya mengenai jahitan dan cara untuk memasarkan produk,” katanya yang menetap di Taman Sri Subang, Petaling Jaya.
JEAN terpakai boleh diolah secara kreatif menjadi jaket dan beg sandang.


Ceritanya, ketika dia meluahkan hasrat untuk membuka kedai jahit, ada dalam kalangan rakan-rakannya yang memperlekehkan niatnya itu.
Oleh kerana mahu membuktikan dirinya mampu pergi lebih jauh dan berjaya, berbekalkan modal RM4,000, Rohaya nekad menyewa sebuah kedai kecil di Petaling Jaya.
Bermula dengan operasi secara sendirian, Rohaya sejak lima bulan lalu sudah mempunyai dua orang pekerja dalam kalangan ibu tunggal.
Walaupun penuh ilmu di dada, Rohaya yang kini memiliki sebuah butik di pusat beli-belah Amcorp Mall mendapat sokongan dan galakan sepenuhnya daripada suami tercinta yang tidak lokek berkongsi ilmu andai ada yang berminat untuk mempelajarinya.
“Ia seperti satu kepuasan dapat berkongsi apa yang dipelajari dengan orang lain. Biasanya saya akan mengajar apa yang mereka mahukan.
“Jika dulu hanya menjahit baju kurung, kini saya menerima pelbagai jenis tempahan seperti langsir, kotak pensil, tudung, cenderamata, tag nama sekolah dan sebagainya,” ujarnya yang meraih pendapatan RM2,000 hingga RM5,000 sebulan mengikut musim.
Bagi Rohaya, Program 1 Azam mampu membantu golongan susah dan kurang bernasib baik terutamanya ibu-ibu tunggal.
“Apabila peluang sudah ada, mereka yang terlibat perlu ada kesungguhan untuk memajukan diri,” katanya penuh makna.


\

0 comments: