Home » » Bisnes Padi

Bisnes Padi

Written By kall on Thursday 13 September 2012 | 17:27


SELALUNYA pada umur yang muda, usia banyak dihabiskan dengan menimba ilmu. Sementara masa senggang diisi dengan minum teh dan lepak bersama rakan-rakan atau berhibur.

Tetapi tidak bagi Zulkifli Awang, 33, yang sejak awal 20-an sudah membanting tulang di bendang di kampungnya di Machang Kelantan.
Dia ketika itu mula berjinak-jinak dengan penanaman padi, memandangkan persekitaran kampungnya merupakan kawasan bendang.

Zulkifli yang berkongsi mengenai kepayahan yang terpaksa dilaluinya kerana tidak berpelajaran tinggi memberitahu, dia tidak menyesal terlibat dalam pertanian meskipun terpaksa membanting tulang empat kerat pada usia muda.

''Saya pada mulanya hanya menyambung usaha menanam padi seluas empat hektar milik arwah ayah saya di kampung," ujarnya yang berasal dari Kampung Bukit Tiu, Machang, Kelantan.
Dengan hanya mempunyai kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) , Zulkifli mengaku dia tidak tahu apa hendak dilakukannya.

''Saya malas hendak menyambung pelajaran ketika itu dan akhirnya membantu ayah," ujarnya ketika di temui di tapak projek penanaman padi di Kelaweh, Machang.


Beliau ditemui pada program lawatan pegawai - pegawai Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang turut disertai Utusan Malaysia di Machang baru-baru ini.
Sambil merenung jauh melihat mesin memotong padi sedang menyempurnakan kerja-kerja di salah satu pekat sawah di situ, Zulkifli berkata, dia masih teringat peritnya membantu ayah mengusahakan tanaman padi tanpa menggunakan mesin.
Penggunaan kerbau untuk membajak tanah satu ketika dulu menjadi amalan penduduk kampung berkenaan.

Dia yang berkahwin pada 2000 dan kini memiliki seorang anak juga tidak lupa kata-kata bapa mertuanya yang tidak begitu yakin dengan usahanya menanam padi.
''Bapa mertua saya pernah menyatakan begitu sedangkan pada hari ini dia sendiri mengusahakan 20 hektar kawasan padi," ujarnya sambil tersenyum.

Usaha tanpa jemu akhirnya menampakkan sinar kejayaan apabila semakin lama projek penanam padi khususnya varieti MRQ 74 yang pada mulanya sekadar membantu bapanya kini semakin maju.
Zulkifli selepas itu tidak menoleh ke belakang lagi apabila projek yang pada mulanya memanfaatkan varieti padi hasil penyelidikan MARDI yang ditanam sejak 2000 seperti MR219 dan MR220 beralih kepada varieti baru.

Sejak beberapa tahun lepas, dia telah beralih kepada varieti MRQ 74 iaitu padi wangi dan menambah keluasan tanaman kepada kira-kira 41 hektar ketika ini menerusi pajakan daripada pemilik.
Kejayaan Zulkifli juga wajar menjadi teladan kerana setakat berbekalkan sijil PMR dan beberapa sijil kursus mengendalikan jentera, tidak banyak mampu dilakukan untuk mengubah nasib hidup.
Namun ketika ini, dia memiliki beberapa jentera seperti pembajak, jentera penuai dan beberapa buah lori serta 25 orang pekerja.

Ini tidak termasuk kenderaan sendiri hasil titik peluh nya selama lebih sedekad penanam padi.
Terbaru , dia mampu memperoleh 125 tan padi dengan kawasan 26 hektar selepas dituai daripada keseluruhan kawasan penanaman yang dimilikinya ketika ini.
Lebih menggembirakan dalam catatan kejayaannya, Zulkifli juga terlibat dalam penanaman tembikai seluas 4.8 hektar berhampiran dengan Kompleks Penjara Machang.

Maswangi
Sementara itu menurut penyelidik padi di MARDI, Datuk Dr. Othman Omar, varieti yang banyak ditanam di situ adalah jenis MRQ 74 atau padi Maswangi.
Beliau berkata, ia sebahagian daripada Projek Peningkatan Pengeluaran Padi di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang melibatkan tiga Entry Point Project (EPP) iaitu EPP 9, EPP 10 dan EPP 11.
''Projek di Machang ini ialah di bawah EPP 9 yang melibatkan pengeluaran beras wangi di luar kawasan jelapang,'' ujarnya.
Menurut Dr. Othman, projek EPP 9 tersebut melibatkan beberapa negeri termasuk Kelantan, Pahang, Melaka dan Langkawi di Kedah.
''Projek ini digerakkan menerusi peruntukan daripada PEMANDU.
"Kaedahnya ialah melalui penanaman secara kontrak kepada syarikat peneraju dan diusaha sendiri oleh syarikat peneraju melalui sewa tanah terbiar daripada tuan tuan tanah yang tidak lagi mampu mengusaha sawah mereka," kata beliau.
Katanya, PEMANDU memberi peruntukan kepada syarikat peneraju untuk pulih tanah atau sawah terbiar.
''Di Kelaweh, ia melibatkan penanam kontrak oleh pengusaha dan musim pertama ini melibatkan 40 hektar," ujarnya.
Syarikat peneraju menandatangani satu kontrak dengan pengusaha yang menentukan harga belian dan lain lain terma.
Menurut Dr. Othman, kawasan 40 hektar itu asalnya adalah tanah atau sawah terbiar yang disewa oleh pengusaha.
Berdasarkan purata seorang pemilik sawah memiliki satu hektar, dengan adanya projek ini, sekurang-kurangnya 25 pemilik sawah mendapat manfaat.
Terdapat kawasan lain yang disewa terus oleh syarikat peneraju yang mana bilangan petani yang mendapat manfaat adalah ramai, bergantung kepada keluasan tapak.
Selalunya persetujuan penyewaan dibuat melalui PPK atau menerusi perbincangan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)
Kebanyakan penanam padi MRQ 74 di Kelantan adalah penanam kontrak dengan jumlah keluasan melibatkan 132 hektar
Sementara itu, beberapa negeri lain juga di kenal pasti terlibat dengan projek tersebut masing - masing 48 hektar di Pahang, 40 hektar di Melaka dan 60 hektar di Langkawi.