Home » » Ensiklopedia Britannica akur saingan digital

Ensiklopedia Britannica akur saingan digital

Written By kall on Friday 23 March 2012 | 07:03

Britannica akur saingan digital



LAZIMNYA pada masa lapang, D.G. Martin akan menghampiri rak buku yang berdiri gah di satu sudut rumahnya. Dengan pantas jarinya menarik sebuah buku berkulit tebal warna coklat. Kemudian, sebaik saja melabuhkan punggung di kerusi empuk, pemuda kelahiran Atlanta, Amerika Syarikat (AS) berkenaan menyelak halaman 335.

Wajahnya mula mengukir senyuman apabila membaca artikel bertajuk, United States of America: Made my way to the North Carolina. Apatah lagi, di penghujung cerita itu tercatat susunan huruf Pe.S.G/D.G.M yang merujuk kepada nama Peter S. Gilchrist dan D.G. Martin.

Jika ditanya, sehingga ke hari ini, Martin tidak mempercayai bahawa artikel hasil nukilannya bersama rakannya terpilih untuk disiarkan secara rasmi dalam Ensiklopedia Britannica, Jilid 29.

“Saya sering mengisi masa lapang dengan membaca artikel ini berulang kali. Terasa bangga dan gembira kerana nama kami tercatat secara rasmi dalam ensiklopedia yang paling popular di serata dunia.

“Menarik mengenai ensiklopedia ini, ia bukan saja mendedahkan pembaca dengan pelbagai fakta dan informasi berguna malah turut memaparkan koleksi foto yang cantik,” tutur Martin, bekas peguam, ahli politik dan merangkap hos UNC-TV, program North Carolina Bookwatch.

Bicara Martin yang pernah berkhidmat di bahagian pentadbiran Universiti Carolina, AS, menulis artikel untuk dimuatkan dalam Ensiklopedia Britannica secara tidak langsung membantu mengukuhkan portfolionya. Pada masa yang sama, ia membuatkan ramai pihak mempercayai kredibiliti Martin dalam bidang penulisan.

Menyorot penglibatannya menulis untuk ensiklopedia yang berusia 244 tahun itu, semuanya bermula pada dua dekad lalu. Seorang kawannya, Marshall Gilchrist telah mencadangkan nama Martin kepada penerbit Britannica untuk bergabung bersama Peter S. Gilchrist untuk menghasilkan artikel mengenai Carolina Utara.

Pada ketika itu, Martin ditawarkan sebanyak $300 (RM923) sebagai upah tugasan tersebut. Namun, graduan Kolej Davidson itu enggan menerima bayaran itu sebaliknya memohon untuk digantikan dengan satu set lengkap Britannica.

“Mereka tidak percaya saya inginkan set Britannica berbanding wang. Melihat tekad saya untuk memiliki Britannica, akhirnya permintaan saya diluluskan. Lebih mengharukan, set baharu Britannica yang saya terima memuatkan artikel saya bersama Gilchrist.

“Sebelum munculnya era digital, ensiklopedia ini adalah sumber rujukan lengkap dan ideal untuk semua peringkat umur. Saya sanggup menyelak satu persatu helaiannya semata-mata untuk membaca kandungannya,” ujar Martin dalam nada sedih apabila buku Britannica semakin berkurangan dan dipandang sepi memandangkan individu hari ini cenderung mencari maklumat menerusi Internet.

Bertambah mengecewakan apabila pada awal Mac lalu, Martin dikejutkan dengan berita bahawa penerbitan Britannica versi buku akan dihentikan kerana mereka ingin fokus pada versi digital.


WAJAH lukisan Andrew Bell yang merupakan salah seorang pengasas Ensiklopedia Britannica.


Himpunan maklumat

Ensiklopedia Britannica mula diterbitkan pada tahun 1768 di Edinburgh, Scotland. Cetakan pertamanya hadir dengan judul, A Dictionary of Arts and Sciences yang menghimpunkan maklumat tentang seni dan sains. Ia diasaskan oleh Colin Macfarquhar dan Andrew Bell, warga Scotland yang memiliki kepakaran dalam bidang cetakan, ukiran dan penjualan buku.

Pada awalnya, tujuan ia diterbitkan adalah untuk menawarkan bahan bacaan berbentuk ilmiah. Sekitar tahun 1974 sewaktu melancarkan ensiklopedia jilid ke-15, pihak Britannica menyasarkan objektif untuk mendedahkan kepelbagaian ilmu pemahaman manusia.

Selama dua abad beroperasi dalam industri buku, Britannica mengekalkan konsep, saiz, ketebalan dan isi kandungan yang sama. Setakat ini, dianggarkan Britannica sudah mencetak 40 juta perkataan dan setengah juta topik mengikut peredaran semasa.

Walaupun pusat operasi ensiklopedia tersebut telah berpindah ke AS pada tahun 1901, sidang pengarangnya masih menggunakan ejaan British.

Sepanjang penerbitan, setiap kandungannya dikemas kini oleh 100 orang pengarang sepenuh masa dan 4,400 orang penyumbang artikel. Kredibiliti dan kesahihan maklumat Britannica tidak dipertikaikan memandangkan ia turut melibatkan penyumbang profesional seperti ahli fizik tersohor, Albert Einstein; bekas Presiden AS, Bill Clinton; dan bekas Ketua Biskop Cape Town, Desmond Tutu.

Dari segi pemilikan pula ia bersilih ganti. Pada era kedua cetakan, syarikat itu diambil alih oleh firma penerbitan Edinburgh, A & C Black, sebelum bertukar hak milik kepada Horace Everett Hooper, Sears Roebuck dan William Benton. Pada tahun 1911 hingga kini, penerbitannya adalah di bawah syarikat Encyclopedia Britannica Inc., milik jutawan Switzerland, Jacqui Safra.

Kenangan ilmiah

Dalam pada itu, pemilik kedai buku antik MacLeod’s Books, yang terletak di bandar Vancouver, Kanada, Don Stewart, melahirkan rasa bertuah kerana memiliki 20 set Britannica sejak dari keluaran tahun 1817. Jelasnya, ensiklopedia tersebut unik memandangkan ia mengandungi bermacam-macam topik, ilustrasi dan diagram.

“Salah satu topik yang menarik minat saya berkaitan dengan cara menghasilkan belon udara panas. Pembaca diberi penerangan yang lengkap dan jelas tentang proses pembuatannya kerana dilengkapi ilustrasi.

“Sememangnya Britannica melalui proses suntingan dan pemilihan artikel yang begitu teliti serta perlu mengikut standard yang ditetapkan,” ujar Stewart.

Sejak berita berakhirnya penerbitan Britannica diumumkan pada awal Mac lalu, ia menjadi topik hangat dalam kebanyakan agensi berita antarabangsa, blog dan laman sosial.


PENGGUNA kini selesa melayari maklumat dan informasi menerusi Ensiklopedia Britannica versi digital.


Kumpulan pakar akademik khususnya tidak bersetuju dengan isu berkenaan kerana menyifatkan Britannica antara ensiklopedia nostalgik yang sarat dengan informasi berguna.

Walaupun reaksi demikian sudah dapat dijangka, Encyclopaedia Britannica, Inc., yang menguruskan buku itu sudahpun menghentikan pencetakan sejak dua tahun lalu. Set Jilid 32 merupakan koleksi Britannica yang terakhir dan ia telah dicetak sebanyak 8,000 set. Kini pihak Britannica sedang berusaha untuk menjual koleksi ensiklopedia yang masih berbaki 4,000 set.

Kejatuhan jualan

“Ini berita yang paling menyedihkan. Saya mula membaca Britannica ketika belajar di sekolah rendah kerana terhibur dengan paparan topiknya. Suatu ketika dahulu, kanak-kanak yang membaca Britannica selalu diejek sebagai nerd (ulat buku yang tidak tahu bersosial) tetapi saya tidak ambil peduli,” jelas Diakow, pengacara Breakfast Television menerusi Twitternya.

Jika diteliti, tahun 1990 dianggap detik yang melonjakkan nama ensiklopedia itu apabila sebanyak 120,000 set versi cetakan berjaya dijual di seluruh dunia. Tapi, kejayaan itu tidak bertahan kerana penjualannya jatuh mendadak hinggakan pada tahun 1996, hanya 40,000 set dapat dijual.

Menurut pegawai bahagian bahasa, sastera dan sejarah, Perpustakaan Negeri Hawaii, Lynne Kobayashi, hakikatnya 70 peratus pengguna selesa merujuk bahan bacaan versi cetakan. Namun, seiring dengan kecanggihan teknologi yang serba pantas, selera masyarakat mula berubah.

Setiap tugasan dan maklumat ingin diperoleh dalam masa yang singkat maka Internet merupakan jalan penyelesaian terbaik.

Penggunaan enjin carian seperti Google dan Yahoo! sudah memadai untuk memberikan informasi dalam tempoh yang singkat. Disebabkan itu, individu gemar klik pada web Wikipedia berbanding membelek helaian demi helaian ensiklopedia Britannica.

“Terdapat banyak keistimewaan carian maklumat secara dalam talian. Hanya menaip beberapa kata kunci segala informasi tertera di skrin komputer. Pengguna cuma perlu melakukan kajian sama ada maklumat itu sahih atau tidak.

“Tetapi, kekurangannya pula apabila kita terpaksa memiliki komputer dan peranti untuk mengakses Internet,” tegas Kobayashi yang turut menyatakan sebahagian besar perpustakawan masih memerlukan sumber bahan bacaan kerana segala catatan yang terkandung dalamnya daripada sumber yang sahih.

0 comments: