Home » » Sanggup berenti kerja untuk kerja sendiri

Sanggup berenti kerja untuk kerja sendiri

Written By kall on Tuesday 21 February 2012 | 18:46

Tinggalkan kerja makan gaji bekal benih


Ismail Abdullah menunjukkan anak ikan puyu dari kolam kuarantin yang sedia untuk dipasarkan.


JIKA dahulu beliau bekerja makan gaji di sebuah syarikat elektronik namun kini tidak lagi. Selain mampu tersenyum bangga dengan hasil usaha yang baru mencecah tiga tahun, syarikat Aquaculture Resource Centre (ARC) yang dibangunkan bersama rakan kongsinya kian dikenali ramai sebagai pembekal benih ikan yang berkualiti tinggi.

Semuanya bermula apabila hati anak muda bernama Mohd. Hafiz Nordin terdetik untuk terjun ke bidang akuakultur apabila melihat peluang bidang tersebut amat luas selain memiliki permintaan yang tinggi.

Baginya bekerja makan gaji di kilang tidak dapat memberi kepuasan sebenar berikutan prestasi sesebuah kilang kadang kala mengikut pasang surutnya ekonomi dunia.

"Saya nekad untuk mengusahakan bidang ternakan ikan yang saya lihat mempunyai potensi yang lebih besar daripada kerja makan gaji.

"Pastinya produk yang berasaskan makanan tidak akan surut permintaannya kerana semua orang memerlukannya dan ia adalah permintaan sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kolam asuhan atau kuarantin di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Jelas Mohd Hafiz, ARC bermula secara rasminya tiga tahun lepas namun operasi penternakan dan pembenihan ikan telah lama dijalankan secara kecil-kecilan melalui bantuan kewangan daripada bapanya.

"Semasa menyertai pelbagai kursus dan latihan mengenai penternakan ikan air tawar ini saya bertemu dengan rakan kongsi dan di sinilah bermulanya penubuhan ARC," ujarnya.

Terdapat empat individu yang bertanggungjawab memastikan ARC beroperasi dengan lancar.

Mereka adalah Mohd. Hafiz sendiri sebagai pengurus, seorang pengurus pemasaran, seorang pakar pembenihan ikan dan seorang lagi adalah penyumbang bantuan kewangan.

Ketika ditanya mengapa memilih mengusahakan benih ikan, Mohd. Hafiz berkata ia berdasarkan permintaan yang tinggi untuk produk tersebut di pasaran kini.

Katanya, penternak ikan sama ada sangkar mahu pun kolam sememangnya ramai namun pembekal benih ikan amat kurang terutamanya dalam kalangan bumiputra.

"Justeru saya membuat kajian serta menyertai mana-mana seminar dan kursus untuk melakukan pembenihan ikan.

"Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menghasilkan benih ikan yang berkualiti," katanya.

Tambah Hafiz, ramai yang mampu melakukan proses pembenihan ikan namun untuk memastikan berjaya memperolehi benih ikan yang benar-benar berkualiti adalah amat sukar.

Justeru tenaga pakar dan individu yang benar-benar berkemahiran diperlukan untuk melaksanakan tugas tersebut dan ARC dianggap bertuah kerana memiliki salah seorang daripada pakar tersebut.

Dikenali sebagai Ismail Abdullah, beliau merupakan salah seorang tenaga pakar dan pengajar yang telah berkhidmat dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam aktiviti pembenihan ikan hampir selama 18 tahun.

Kini Ismail bekerja untuk ARC dan beliau merupakan tonggak utama kejayaan syarikat berkenaan menghasilkan benih yang berkualiti tinggi.

Antara benih ikan utama yang disediakan oleh ARC adalah ikan puyu, keli dan patin. Namun mereka turut menyediakan benih ikan tilapia jika terdapat permintaan.

Pasaran bagi benih ikan tersebut adalah terdiri daripada pengusaha kolam ternakan di sekitar Selangor, Perak dan Pahang.

Menurut Hafiz, bagi benih ikan puyu, ia banyak dibeli oleh penternak dari Perak berikutan ikan puyu dewasa popular untuk dijadikan ikan pekasam di sana.

Manakala benih ikan keli adalah di sekitar Selangor, dan benih ikan patin sekitar Pahang.

Benih-benih ikan tersebut akan dikuarantin terlebih dahulu berdasarkan jenis anak ikan dan paling lama adalah seminggu.

Menurut Ismail, tujuan kuarantin adalah bagi mengasingkan benih ikan yang benar-benar kuat sebelum ia dijual.

"Hampir 20-50 peratus benih yang dihasilkan biasanya akan mati atau tidak menjadi justeru ia perlu dikuarantin bagi menjamin kualiti benih yang dihasilkan adalah terbaik.

"Jika tidak, pastinya pelanggan tidak akan mempercayai lagi kami kerana menjual anak benih yang tidak tahan lama malah mereka juga akan kerugian," ujarnya.

Biarpun pengeluaran anak benih ikan di ARC mencecah dua juta ekor sebulan namun ia masih tidak mampu menampung permintaan yang tinggi daripada penternak ikan air tawar.

Kini ARC hanya memiliki sebidang tanah seluas lima ekar yang menempatkan empat buah kolam dan purata pengeluaran bagi benih ikan keli adalah 500,000 ekor dan 200,000 dan 300,000 ekor bagi ikan puyu untuk sebuah kolam.

Manakala benih ikan patin dikeluarkan berdasar permintaan pelanggan.

ARC juga memiliki pelanggan tetap bagi membeli benih-benih ikan mereka dan mereka turut memperolehi pelanggan baru yang berminat setelah melihat iklan yang dipaparkan di laman web mereka.

Biarpun apa jua cabang perniagaan pastinya terdapat cabaran begitu juga bagi ARC di mana mereka masalah untuk mendapatkan kawasan yang lebih luas untuk menambah kolam pembenihan.

"Permintaan kini amat menggalakkan namun kita tidak mampu untuk memenuhi tempahan pelanggan berikutan benih yang dihasilkan adalah amat terhad.

"Oleh itu, cabaran utama ARC kini adalah untuk mendapatkan tanah seluas 30 ekar bagi menampung permintaan benih ikan daripada pelanggan kami," katanya.

Biarpun stok benih ikan ARC yang agak terhad namun ia telah pun dikenali ramai malah turut mendapat permintaan sejauh dari Sabah.

1 comments:

KANG LATEP said...

Selamat maju jaya kepada mohd hafiz