Home » » Produk seramik mata pencarian utamanya.

Produk seramik mata pencarian utamanya.

Written By kall on Friday 24 February 2012 | 07:04

Produk tanah liat dikomersialkan


Tanah liat juga digunakan sebagai bahan utama membuat seramik.


Sebut sahaja labu sayong pasti minda terbayang sebuah perkampungan kecil yang terkenal dengan pembuatan produk itu.

Bernama Kampung Kepala Bendang yang dikelilingi hutan dan Sungai Perak ia terletak dalam mukim Sayong di Kuala Kangsar, Perak.

Menurut cerita orang tua-tua, ketika mula-mula membuka kampung tersebut, mereka tercari-cari barangan yang sesuai digunakan untuk keperluan harian.

Menyedari kehalusan dan kesesuaian tanah di kampung tersebut telah mendorong mereka mencipta peralatan yang diperbuat daripada tanah di situ.

Kesesuaian tanah merupakan antara faktor kebanyakan penduduk di kampung tersebut menjadikan perusahaan membuat barangan seramik seperti labu sayong sebagai sebahagian daripada mata pencarian mereka.

Tambahan, air minuman yang disimpan di dalam labu sayong dipercayai mempunyai khasiat dan rasanya sejuk seperti meminum air yang diletakkan ais.

Menariknya, labu sayong yang dihasilkan di sini menggunakan sepenuhnya tanah liat yang diambil di tebing-tebing sungai berdekatan rumah penduduk.

Proses pengambilan tanah juga dilakukan secara teliti kerana tanah yang diambil secara sembarangan akan menyebabkan produk yang dihasilkan rosak dan tidak elok apabila dibakar.

Warisan keluarga

Walaupun kampung itu terkenal dengan pengeluaran barangan seramiknya, namun tidak semua penduduknya berminat dan mempunyai bakat dalam bidang pembuatan seramik terutama di kalangan generasi muda.

Tetapi berbeza pula dengan Mohd. Pareb Zamari@ Zamri, 34, yang menjadikan bidang itu sebagai mata pencarian utamanya.

Lagi pula keluarganya memang berkecimpung dalam pembuatan produk seramik yang menjadikan Mohd. Pareb terus bersemangat mengekalkan warisan turun temurun itu.

Walaupun berpeluang untuk bekerja dalam bidang lain, tetapi anak jati Kuala Kangsar itu lebih senang memilih kerjaya membuat seramik seperti labu sayong sebagai sumber pendapatannya.

Berkat keazaman dan kesabaran yang tinggi beliau telah menyambung warisan keluarga dengan penubuhan syarikat miliknya iaitu Kz Kraf Enterprise.

Dia telah mempelajari selok belok pembuatan seramik daripada ayahnya sejak kecil kerana minat yang mendalam terhadap pembuatan produk tersebut.

Menurutnya, ayahnya merupakan pakar membuat barangan seramik yang turut mempelajari teknik pembuatan tersebut sejak turun temurun.

"Arwah ayah seorang yang bersemangat untuk meneruskan warisan seramik ini sejak dari dahulu lagi.

"Sebab itulah sehingga sekarang saya berusaha untuk kembangkan ilmu pembuatan labu sayong kepada generasi muda.

"Bagi saya lebih baik saya menurunkan ilmu membuat labu sayong kepada orang muda bagi memastikan warisan terus terpelihara," jelas Mohd. Pareb.

Namun katanya, bukan semua orang ada kemahiran membuat labu sayong. Selain bakat, mereka juga perlu ada minat mendalam terhadap seni pembuatan seramik.

Sebagai contoh katanya, kalau ada pelajar ingin mempelajari teknik pembuatan produk seramik perkara pertama yang mesti ada adalah minat.

"Untuk hasilkan sesuatu produk seramik, bukan semua orang ada bakat dan minat, jadi janji ada minat perkara mudah pun boleh jadi senang.

"Sehingga sekarang saya sentiasa terbuka dan mengalu-alukan pelajar dan orang ramai yang datang untuk belajar membuat seramik.

"Saya rasa senang dan seronok apabila berjaya mengajar mereka sehingga berjaya menghasilkan sesuatu bentuk daripada tanah liat," kata Mohd. Pareb.

Tambahnya, bagi memastikan produk seramik tidak dilupakan dan hilang ditelan zaman, dia merancang untuk membuka sebuah galeri dalam masa terdekat ini.

"Galeri tersebut akan dipamerkan dengan pelbagai produk dan hasil seramik kepada orang ramai," katanya.

Selain itu, beliau juga antara pengusaha bertuah kerana telah mendapat bantuan dan peruntukan dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

"Alhamdulillah, sejak menyertainya pada tahun 2002 produk saya semakin terkenal dan mendapat sambutan orang ramai.

"Kraftangan telah memberi bantuan dari segi peralatan seperti mesin dan promosi .

"Sehingga hari ini produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat saya telah mendapat permintaan baik dari hotel-hotel di Malaysia," kata Mohd. Pareb.

Selain itu, terdapat juga beberapa produk syarikat itu telah melangkaui pasaran antarabangasa seperti Macau dan Sepanyol.

"Tidak dinafikan, wujud persaingan dalam memastikan produk ini sentiasa mendapat permintaan daripada orang ramai.

"Orang ramai masih belum yakin dengan produk yang dihasilkan dari tanah liat terutama dari aspek kebersihan.

"Kononnya mereka andaikan air yang tersimpan dalam sayong tidak dijamin bersih kerana dihasilkan daripada tanah liat.

"Sebenarnya, kualiti air yang disimpan dalam sayong dijamin lebih bersih dari air paip yang ditapis di samping mempunyai khasiat kepada kesihatan tubuh badan.

"Selain itu, saya terpaksa bersaing dengan produk dan barangan yang dihasilkan daripada bahan seperti kaca dan plastik," kata Mohd. Pareb.

Namun, bagi memastikan produk itu sentiasa mendapat permintaan ramai, kualitinya dijaga dan rekaan-rekaan perlu sentiasa baru dan menarik.

"Selalunya, rekaan dan corak dihasilkan sendiri oleh saya dan juga Kraftangan Malaysia.

"Saya juga menyertai demonstrasi dan membawa produk-produk pada hari Kraftangan Malaysia yang diadakan setiap tahun pada bulan Mac," katanya.

Ketika ini, labu sayong adalah produk utama yang dihasilkan Mohd. Pareb yang kekal sebagai produk warisan walaupun cara penghasilannya telah dimodenkan.

"Kalau dahulu produk ini dihasilkan secara tradisional iaitu dari awal pemilihan tanah sehinggalah proses pembakaran untuk membentuk sebiji seramik.

"Bahan bakar untuk menghasilkan seramik berwarna hitam menggunakan sekam padi, tetapi sekarang bahan bakar tersebut telah ditukar kepada abu kayu.

"Terdapat dua warna labu sayong, iaitu warna asal hitam setelah dibakar dan warna merah bata.

"Selalunya, air yang disimpan dalam labu sayong berwarna merah bata akan lebih sejuk dan segar.

"Suhu yang digunakan untuk membakar labu sayong adalah sekitar 800 hingga 900 darjah celcius,' katanya.

Antara bentuk labu sayong yang terkenal adalah labu panai, labu gelugor, labu licin dan labu tela.

Pelbagai corak menarik diukir di atas permukaan labu iaitu corak bunga raya, bunga cengkih, pucuk kelapa, pucuk paku,tapak kucing.

"Walaupun banyak corak dan bentuk labu sayong telah dimodenkan, labu sayong bercorak tradisonal masih dikekalkan," kata Mohd. Pareb.

Sempena pameran Hari Kraftangan Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan Mac depan, beliau telah menghasilkan beberapa produk terbaru.

"Kesemua produk ini akan dipamerkan pada hari tersebut kepada orang ramai.

"Antara produk terbaru yang dihasilkan ialah pasu besar, porselin dan tempayan," katanya

0 comments: