Home » » Mudah menjual barang kelengkapan haji

Mudah menjual barang kelengkapan haji

Written By kall on Saturday 5 November 2011 | 00:21

Persediaan material ibadah

AMRAN di hadapan kedainya Juita One di SACC Mall Shah Alam.


MUSIM haji diibaratkan pintu rezeki terutamanya kepada peniaga-peniaga yang menjual barangan kelengkapan haji dan umrah.

Meskipun perniagaan itu dilihat berkembang menjelang musim haji sahaja namun, bagi anak jati Selangor ini, Amran Yahya, 53, beliau melihat prospek perniagaan tersebut semakin cerah dari semasa ke semasa.

Tambahan pula, Malaysia sentiasa memperoleh pertambahan kuota daripada kerajaan Arab Saudi berikutan populasi penduduk Malaysia yang kian meningkat.

Menyedari hakikat itu, Amran memberanikan diri menceburi bidang perniagaan tersebut dengan menjual barangan seperti telekung, mini telekung, sarung kaki, beg, jubah ihram, singlet, tasbih dan lengan tawaf serta kasut.

Dalam erti kata lain, semua barangan kelengkapan untuk menjalani kedua-dua ibadah itu boleh didapati di kedainya yang terletak di SACC, Mall Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, premis kedua yang dibukanya sejak dua tahun lalu memudahkan orang ramai yang ingin menunaikan haji dan umrah untuk membeli kelengkapan yang diperlukan.

“Harga yang ditawarkan pula murah dan berbaloi bertepatan dengan kualiti barangan. Bagi harga jubah lelaki atau wanita ia dijual dari RM89 ke RM200, manakala kanak-kanak harganya dari RM49 ke RM79. Setakat ini sambutan adalah amat memberangsangkan, malah saya mempunyai pelanggan-pelanggan tetap yang membuat tempahan barangan kelengkapan haji dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Berbicara lanjut mengenai perniagaannya itu, Amran memberitahu dia mula berkecimpung dalam bisnes tersebut sejak tujuh tahun lalu.

“Ketika itu, saya mohon untuk menyewa tapak perniagaan di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam.


JUBAH moden yang direka khas oleh tukang jahit Amran di Indonesia.


“Pada masa itu, pihak pengurusan mensyaratkan untuk membuka perniagaan menjual peralatan ibadah haji dan umrah sahaja. Oleh itu, saya tidak mempunyai pilihan lain. Lagi pun, tidak pernah terlintas untuk membuka perniagaan itu memandangkan sebelum ini saya hanya menjalankan perniagaan jamu dan makanan sahaja,” jelasnya.

Gabungan cita rasa

Pada permulaan perniagaan akui Amran, beliau memang menghadapi persaingan sengit memandangkan ramai peniaga yang turut membuka jenis perniagaan itu.

“Bagaimanapun, saya cuba menghadapi saingan tersebut dengan mengutamakan kualiti barangan. Oleh itu, saya membawa masuk barangan kelengkapan ibadah ini terutamanya telekung dan jubah dari negara Indonesia, Vietnam, Turki dan Dubai,” ujarnya.

Bapa kepada empat orang anak itu menambah, produk yang paling laris sepanjang musim haji dan umrah kebiasaannya jubah, telekung, kain ihram, kasut, sarung tangan, beg serta kelengkapan lain yang digunakan untuk menunaikan kedua-dua ibadah itu.

Dalam usaha memberikan kelainan dalam perniagaannya, Amran mempelbagaikan produk di butiknya yang berkonsepkan luar negara namun, mengikut cita rasa rakyat di negara ini.

“Memandangkan ramai peniaga yang membuka perniagaan yang sama, barangan yang dijual pun sama jadi saya mengambil langkah membawa masuk barangan dari luar negara.

“Alhamdulillah, pelanggan saya semakin bertambah setiap hari dan untuk itu saya boleh terus bersaing dengan produk-produk yang sedia ada hari ini,” jelasnya lagi.

Akui Amran, dengan berkat kesabaran dan bantuan isteri serta anak-anak, beliau akhirnya mampu meneruskan perniagaan itu sehingga hari ini.

“Setakat ini, saya sudah mempunyai dua cawangan yang terletak di Kompleks PKNS dan SACC Mall, Shah Alam.

“Insya-Allah, pada tahun depan saya akan membuka sebuah lagi cawangan di Bukit Jelutong,” katanya.


AMRAN menunjukkan antara kasut yang dijual di kedainya.


Di sebalik perniagaan barangan haji dan umrah, Amran memberitahu dia turut menjual jubah moden untuk wanita.

“Jubah moden di kedai ini diterima daripada pembekal di negara Indonesia. Ia berikutan fesyen di negara - negara itu lebih terkini namun, kebiasaannya pemilihan warna jubah itu akan dibuat mengikut cita rasa wanita di negara ini.

“Di Indonesia, saya ada tukang jahit sendiri. Jadi, jubah-jubah yang dijual di kedai saya sememangnya mempunya kelainan terutamanya dari segi corak. Kebiasaannya jubah moden yang dijual berharga dari serendah RM99 hingga RM250,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk membeli barangan tersebut boleh mengunjungi Juita One yang terletak di Tingkat 1, Kompleks PKNS, Shah Alam dan Tingkat 3 SACC Mall, Shah Alam.