Home » » Kuih Apam pun boleh buat duit

Kuih Apam pun boleh buat duit

Written By kall on Friday 18 November 2011 | 17:55

Inovasi kuih apam


Azahari Abdul Aziz bersama isteri Noor Harnani Ab. Halim gembira melihat apam polka dot yang dihasilkan.


WARNA-warna terang apam polka dot mudah menarik perhatian ramai lebih-lebih lagi kanak-kanak. Ditambah dengan corak yang cantik, apam polka dot turut sesuai dijadikan sebagai cenderahati di majlis-majlis.

Permintaan terhadap apam polka dot baik untuk dimakan sendiri, sebagai hadiah kepada saudara-mara yang mengadakan majlis, hantaran pertunangan atau perkahwinan, majlis cukur jambul dan sebagainya membuatkan Azahari Abdul Aziz tidak lagi mempunyai masa terluang.

Setiap malam setelah selesai makan, Azahari akan ke dapur untuk membancuh adunan apam polka dot sambil dibantu isterinya, Noor Harnani Abdul Halim.

Telah setahun pasangan suami isteri ini membuat apam polka dot bagi memenuhi tempahan pelanggan dan jumlahnya juga tidak terkira, mungkin sudah beratus ribu biji.

Dalam sebulan Azahari menerima tempahan sehingga 7,000 biji dan semakin banyak pada musim cuti sekolah dan musim kahwin.

Bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat swasta, kata Azhari, dia membuat kuih ini pun secara kebetulan sahaja.

''Sebetulnya saya tertarik dengan apam polka dot ini apabila pergi ke rumah mak cik isteri saya yang membuatnya untuk makan sendiri. Saya memintanya mengajar saya cara membuatnya. Pulang ke rumah, saya mencuba membuat sendiri.

''Bagaimanapun beberapa kali mencuba, apam yang saya buat tidak menjadi dan tidak secantik yang dibuat oleh mak cik isteri saya itu. Ada yang pecah, kembang, leper dan sebagainya. Saya hampir putus asa dan mengambil keputusan untuk menyimpan sahaja barang-barang yang digunakan seperti kukus, bekas kuih dan mangkuk,'' kata Azahari yang ditemui baru-baru ini di rumahnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Tambahnya, selepas beberapa hari, seorang kawannya hendak menempah sebanyak 100 biji apam polka dot daripadanya setelah terlihat facebook Azahari yang menunjukkan apam yang dibuatnya.

Menurut Azahari, dia tidak mahu memberitahu kawannya bahawa dia belum mahir lagi membuat apam polka dot. Dia mencuba sekali lagi dan kali ini menjadi. Namun ketika itu dia hanya membuat apam polka dot sahaja kerana belum pandai membuat corak lain.

Tiga bulan selepas itu kata Azahari, dia mula mencuba membuat corak-corak lain di atas apam seperti angry bird, lady bird, strawberi dan manggis. Selepas ini, dia ingin mencuba corak kun ais krim pula.

Pelanggan juga boleh memilih inti yang dikehendaki untuk dimasukkan ke dalam apam seperti strawberi, blueberi, mentega kacang, kaya dan coklat.

''Sebenarnya membuat apam ini amat cerewet. Api kukusan perlu paling perlahan. Kalau api terlalu besar, apam akan pecah dan tidak masak. Sebelum apam dikukus, air perlu dididihkan dahulu. Kemudian perlahankan api untuk mengurangkan panas dan barulah dikukus.

''Semasa membuat apam ini juga perlu berada dalam keadaan tenang dan menumpukan konsentrasi. Jangan menggelabah dan hendak cepat siap. Nanti apam tidak menjadi dan warnanya akan kembang,'' jelas Azahari yang menjual sebiji apam dengan harga di antara 30 sen hingga 60 sen bergantung kepada corak.

Katanya, apam polka dot yang dibuatnya boleh tahan sehingga empat hari tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk. Tetapi jika disimpan di dalam peti sejuk boleh tahan sehingga dua minggu dan hanya perlu dikukus semula untuk melembutkannya.

Selain menerima tempahan daripada pelanggan di sekitar Lembah Klang, Azahari turut menerima tempahan dari Terengganu, Johor dan Perlis. Tempahan jauh akan dihantar melalui pos laju.