Home » » Kolam mancing Pak Abu

Kolam mancing Pak Abu

Written By kall on Thursday 7 July 2011 | 06:37

Dulu bekas lombong kini kolam ikan




MUSIBAH yang menimpa pengusaha ladang agro Iron Lake Agro Farm, Abu Bakar Awang, 54, pada Oktober tahun lalu membuatkannya tidak dapat tidur lena hampir tiga bulan. Dalam kejadian tersebut, lebih 60 ekor kambing jenis boer dan jamnapari hilang.

Akibat kejadian itu, Abu Bakar yang lebih selesa dipanggil Pak Abu terpaksa menanggung kerugian sekitar RM40,000. Ketika itu hanya tinggal kira-kira 60 ekor kambing sahaja dan kandang yang sebelum ini penuh, nampak kosong.

Ia amat menyedihkan kerana usahanya dalam bidang itu sejak tahun 2003 seperti sia-sia.

Bagi menyedapkan hati, bekas jurulatih ternakan dan pertanian di Pusat Latihan Belia Dusun Tua di Hulu Langat, Selangor selama lima tahun dari 1976 hingga 1981, meletakkan baki kambing yang ada di satu tempat supaya kambing nampak banyak dan penuh di dalam kandang.

Kandang kambing dengan keluasan 3.65 meter x enam meter itu terletak berhampiran sebuah kolam bekas lombong bijih besi iaitu di ladang agro Iron Lake Agro Farm di A1, Jalan Lombong, di Kampung Banggol Besi, Pendang, Kedah.

Selepas tiga bulan menenangkan fikiran dan menerima kejadian hitam itu sebagai ketentuan Allah, Pak Abu kembali bersemangat. Kali ini, dia bangkit semula untuk mencapai impian bergelar seorang pengusaha ladang agro berjaya.

Elak kambing hilang

Beliau kemudian mengusahakan kolam memancing dengan nama Iron Lake Fishing Centre Agro Farm berdekatan kandang ternakannya. Apabila kawasan meriah dengan kunjungan pemancing ia dapat mengelakkan kejadian kambing dicuri berulang lagi.

“Kolam seluas kira-kira 0.4 hektar yang merupakan bekas lombong bijih besi itu sudah lama ditinggalkan dan ketika itu saya dapat idea untuk membersihkannya bagi dijadikan kolam memancing,” ujarnya.

Beliau mula mengusahakan kolam pancing dengan membersihkan bahan buangan seperti kayu dan besi buruk yang tenggelam di dasar kolam serta menyediakan sebanyak 20 pondok untuk kegunaan pemancing.


ABU BAKAR (kiri) memberi ubat cacing kepada anak kambing peliharaannya di pusat memancing Iron Lake Agro Farm di Kampung Banggol Besi, Pendang.


“Sekarang semuanya sudah lengkap iaitu dengan kemudahan pondok rehat, surau, tandas dan juga gerai makan,” jelasnya.

Menurut Pak Abu, operasi kolam memancing itu semakin popular bukan sahaja dalam kalangan penduduk Pendang tetapi, juga daerah lain seperti Alor Setar, Jitra, Sungai Petani dan Kuala Nerang.

“Saya tidak sangka kolam memancing yang dibuka hanya untuk mengelakkan kambing dicuri menjadi lebih maju, inilah hikmah di sebaliknya,” jelasnya.

Kolam pancing itu dibuka kepada orang ramai bermula dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam dengan bayaran RM23 untuk satu joran dalam masa tiga jam.

“Kami benarkan semua jenis umpan seperti dedak, roti dan lain-lain kecuali organ dalaman ayam kerana ia berbau busuk dan boleh mencemarkan kualiti air di sini,” jelasnya.

Selain itu, ujar Pak Abu, beliau juga akan mengadakan pertandingan memancing pada setiap hari Sabtu dengan tawaran hadiah pertama antara RM500 hingga RM1,000.

Tarikan kolam

Menyentuh tentang keistimewaan kolam pancing miliknya, Pak Abu berkata, kolamnya mempunyai kedalaman sehingga sembilan meter selain ikan yang dikatakan tidak berbau.

“Kaki pancing memang sukakan kolam yang dalam kerana boleh layan tarik ikan lebih lama berbanding kolam buatan sendiri yang tidak terlalu dalam,” katanya.

Ramai yang datang memuji ikan di lombong itu seperti ikan rohu, patin, patin mekong, keli dan likoh tidak hanyir seperti ikan di kolam pancing lain.

“Ada juga yang kata isi ikan rohu di sini lemak manis seperti ikan terubuk dan kebiasaannya ikan jenis ini dibakar kerana banyak tulang.

“Ikan-ikan di sini tidak hanyir mungkin disebabkan airnya lain berbanding kolam baharu buatan sendiri memandangkan kolam ini kolam lama iaitu bekas lombong bijih besi sejak lebih berpuluh tahun yang lalu,” ceritanya.

Beliau membeli stok ikan di beberapa kolam ternakan ikan di sekitar Ipoh, Taiping dan Gopeng di Perak dan akan memasukkan sehingga 500 kilogram ikan daripada pelbagai jenis ke dalam kolam pada setiap minggu.


PENGUNJUNG menggunakan pondok yang disediakan untuk berteduh sementara menunggu umpan dijamah ikan di Iron Lake Agro Farm.


“Air di kolam ini juga dialirkan 24 jam menggunakan pam air bagi memastikan kualiti air sentiasa terjaga sesuai untuk ikan-ikan hidup,” ujarnya.

Selain itu, kata bapa kepada tiga orang anak tersebut, suasana persekitaran kampung dengan angin sepoi-sepoi bahasa juga mampu menenangkan fikiran para pemancing di situ.

“Ada yang membawa keluarga berkelah sambil memancing di sini yang mana suasana di sini amat sesuai untuk berkelah kerana persekitarannya yang damai dengan pemandangan pokok kelapa, buluh merimbun dan sawah padi.

“Ada pemancing yang menjadikan kolam pancing ini seperti rumah keduanya dan sampai ke sini pukul 10 pagi dan pulang hanya pada sebelah malam,” katanya sambil tersenyum.

Malah, menurut Pak Abu, ada seorang pemancing yang boleh dikatakan hampir setiap minggu berkunjung ke kolam berkenaan. Menariknya pengunjung setia kolam Iron Lake Fishing Centre Agro Farm itu turut menawarkan khidmat nasihat dan mengajar cara membuat umpan serta memancing dengan betul secara percuma.

“Saya gelarkan dia sifu kerana sesiapa sahaja yang datang ke kolam pancing ini dan tidak tahu cara membuat umpan dan memancing dengan betul, boleh berguru dengannya secara percuma,” ujar Pak Abu lagi.

Mengenai perancangan masa hadapan, dia masih mengumpul modal untuk membina sebuah rumah tumpangan berkonsepkan homestay untuk penginapan para pemancing dan pelancong yang mahu merasai suasana di ladang agro berkenaan.

“Saya juga akan menanam lebih banyak pokok buah-buahan seperti manggis dan rambutan bagi mewujudkan suasana lebih redup,” katanya.

0 comments: