Home » » Ditipu pelaburan ikan patin

Ditipu pelaburan ikan patin

Written By kall on Tuesday 5 July 2011 | 03:22


SYED IDRIS menunjukkan dokumen perjanjian pelaburan ikan patin buah dan laporan polis di Klang semalam.


KLANG – Impian seorang lelaki yang baru mendirikan rumah tangga untuk mendapat habuan sebanyak RM1,440 sebulan dalam satu skim pelaburan ternakan ikan patin buah berkecai selepas mendapati dia ditipu syarikat pengendali ternakan berkenaan.

Bukan itu sahaja, Syed Idris Syed Ishak, 28, kini terpaksa membayar balik pinjaman bank berjumlah RM80,000 termasuk faedah selama 15 tahun yang telah dijadikan sebagai modal pelaburan tersebut.

Syed Idris berkata, dia terjebak dalam skim pelaburan itu setelah diperkenalkan oleh rakan-rakannya dan terpedaya dengan janji manis syarikat terbabit.

“Saya sebelum itu pergi ke syarikat tersebut di Bukit Tinggi di sini dan mereka menasihati saya supaya membuat pinjaman bank untuk menyertai pelaburan itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Syed Idris yang berkhidmat di sebuah syarikat swasta di Temerloh memberitahu, dia kemudian menandatangani surat perjanjian dengan syarikat terbabit pada Januari tahun lalu.

Berdasarkan perjanjian, jelasnya, semua urusan perniagaan akan diuruskan oleh syarikat terbabit dan dia sebagai pelabur hanya menunggu bayaran bulanan.

“Saya juga diberikan sebuah sangkar yang mempunyai 1,800 benih anak ikan patin,” ujarnya.

Menurutnya, dia mula menerima habuan sebanyak RM1,020 pada Mac tahun lalu dan RM1,140 pada bulan berikutannya.

Bagaimanapun, kata Syed Idris, pada bulan Mei sehingga kini, dia tidak lagi menerima bayaran dan apabila syarikat terbabit dihubungi, pelbagai alasan tidak munasabah diberikan.

“Mereka mendakwa syarikat telah berhadapan dengan masalah, banyak ikan mati dan kesukaran pasaran,” katanya.

Syed Idris berkata, tidak lama selepas itu dia cuba menghubungi pihak terbabit namun tiada jawapan sehingga dia terpaksa pergi ke pejabat syarikat berkenaan.

“Saya terkejut apabila mendapati pejabat syarikat itu sudah ditutup menyebabkan saya bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 23 Jun lalu sebelum merujuk kes tersebut kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

“Difahamkan terdapat lebih 20 pelabur lain terdiri daripada kakitangan kerajaan yang telah ditipu syarikat yang sama,” ujarnya.

0 comments: