Home » » Nizam berguru dengan idola

Nizam berguru dengan idola

Written By kall on Sunday 21 February 2010 | 16:21

SIKAPNYA yang suka memudahkan kerja pada zaman persekolahan mengundang padah. Bayangkan, dalam satu buku tulis, dia menulis nota untuk subjek Bahasa Inggeris, Pengetahuan Agama Islam dan latihan Matematik.

PENDEDAHAN...memberi penerangan mengenai perniagaan Internet di satu karnival.
PENDEDAHAN...memberi penerangan mengenai perniagaan Internet di satu karnival.

PERMATA HATI...anak menjadi pembakar semangat. PERMATA HATI...anak menjadi pembakar semangat. BAHAGIA...bersama isteri dan anak. BAHAGIA...bersama isteri dan anak. ATUR PELAN...berbincang dengan kakitangan. ATUR PELAN...berbincang dengan kakitangan.

PERMATA HATI...anak menjadi pembakar semangat.

Khairul Nizam Mukhtar, 33, juga dikenali sebagai Nizzura, menuntut di 11 sekolah kerana mengikut bapanya, Datuk Mukhtar Ismail, yang sering berpindah-randah demi tuntutan tugas sebagai polis dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Polis Johor.


Anak keempat daripada tujuh beradik itu boleh dikatakan seorang yang nakal tetapi bijak kerana sentiasa mendapat nombor teratas dalam kelas.


Walaupun dididik dengan disiplin sejak kecil, Nizam dan adik beradiknya masih diberi ruang kebebasan oleh ibu bapa, asalkan tidak melampaui batas.


"Saya boleh bergaul dengan sesiapa saja dan boleh keluar malam tetapi tidak dibenarkan tidur di rumah kawan. Pernah sekali, ketika menuntut di MRSM Pangkalan Chepa, ketika saya memanjat pagar sekolah, bapa yang berkereta terlihat perbuatan saya tetapi mendiamkan saja," katanya.

Pengerusi Eksekutif Koperasi Usahawan Pendidikan Internet Selangor Berhad ini berkata, sejak bersekolah dia bercita-cita menjadi juruterbang tetapi cita-cita itu terpaksa dikuburkan kerana keputusan subjek Fizik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang baik.


Selepas SPM dia menyambung pelajaran ke peringkat A Level di Kolej Mara Banting sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK).


Namun disebabkan kegawatan ekonomi, hasrat itu terpaksa dilupakan dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menghantarnya menyambung pengajian ke Universiti Tenaga Nasional (Uniten).


Nizam antara kumpulan pertama yang belajar di universiti itu. Walaupun kecewa tidak dapat menyambung pengajian ke UK, Nizam tetap meneruskan kursus perakaunan sehingga peringkat ijazah.


Tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan, Nizam tidak bekerja dalam bidang perakaunan, sebaliknya ingin berniaga walaupun tiada pengalaman.


Untuk dua tahun pertama, anak muda ini merasai sepak terajang dalam dunia perniagaan. Antara perniagaan diceburi ialah pembinaan, memasang kamera litar tersembunyi dan menghasilkan filem dalam bentuk cakera padat video berjudul 'Cinta Betting'.


Projek terbesar dijalankan Nizam ialah pembinaan di Jalan Petaling, tetapi mengalami kerugian apabila kontraktor utama tidak menjelaskan bayaran hingga syarikatnya kerugian RM170,000.

Selepas kegagalan itu Nizam yang fobia tidak melakukan sebarang pekerjaan. Selama tiga tahun, kehidupannya ditanggung isteri, Azura Abdul Aziz.


"Disebabkan tidak bekerja, kawan semakin menjauh, saudara mara pun tak layan. Lebih-lebih lagi, apabila anak Datuk gagal, orang akan kutuk. Selama menganggur, saya cuma duduk di rumah bermain permainan komputer dan menjaga anak sulung.


"Puas saya mencari kerja tetapi tidak dapat kerana keputusan perakaunan saya cuma cukup untuk mendapat ijazah.


"Saya pernah buka gerai makan iaitu dengan mengambil alih perniagaan pengusaha bukan Bumiputera, tetapi tidak sampai tiga bulan gerai itu terpaksa ditutup. Rupa-rupanya tempat itu akan ditutup oleh pemilik sebenar. Akhirnya saya gagal dan rugi lagi," katanya.


Pada 2006, isterinya yang bertugas sebagai pensyarah di kolej swasta mendapat tawaran kerja selama dua tahun sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah antarabangsa di Jakarta, Indonesia.


"Apabila isteri bertanya sama ada saya mahu pergi ke Indonesia, saya bersetuju. Mana tahu, masa depan saya cerah di sana. Di Indonesia, saya berniaga kecil-kecilan iaitu menguruskan penghantaran amah untuk saudara-mara.


"Tugas itu sukar dan membabitkan banyak pihak. Saya perlu keluar masuk kampung, bertemu ketua kampung, ibu bapa bakal amah, bakal amal itu sendiri manakala gangster kampung pula perlu disuap.


"Kebanyakan agen tidak yakin dengan Malaysia. Pening berurusan dengan manusia iaitu daripada amah, ibu bapa mereka, ketua kampung, imigresen Indonesia dan majikan. Walaupun lumayan, tetapi apabila amah lari, memang tidak berbaloi," katanya.


Menurutnya, ketika menjalankan perniagaan itu, dia terdedah dengan dunia perniagaan Internet.


"Saya menghantar e-mel spam menawarkan khidmat menyediakan amah. Walaupun itu bukan cara yang betul, saya mendapat banyak pengetahuan mengenai perniagaan Internet," katanya.


Pada 2007, berlaku banjir besar di Jakarta yang menyebabkan dia sekeluarga tidak boleh keluar dari rumah selama seminggu.


"Waktu itu Jakarta lumpuh dengan banjir paras pinggang. Kenderaan tidak boleh melalui jalan raya manakala kami tiada wang kerana mesin juruwang automatik tidak berfungsi.


"Selain saya sekeluarga, ada empat amah di rumah. Harga air minuman untuk satu gelen naik 50,000 rupiah (RM20) berbanding 9,000 rupiah (RM4) sebelum banjir.


"Kami terpaksa mencatu air minum dan bekalan susu anak kehabisan. Ketika itu anak kedua baru lahir. Selain itu, kebetulan bahan mentah untuk memasak juga kehabisan dan tidak sempat membeli kerana banjir.


"Peristiwa itu menyebabkan isteri tidak mahu menyambung kontrak pekerjaannya. Kami sekeluarga membuat keputusan kembali ke Malaysia," katanya.


Pulang ke tanah air, Nizam gelabah kerana tiada pekerjaan, sedangkan dia sekeluarga menjalani kehidupan selesa di negara orang.


Pada Ogos 2007, dia terjumpa iklan mengenai seminar perniagaan Internet dikendalikan warga Singapura, Ewen Chia, iaitu orang nombor satu di dunia dalam perniagaan Internet.


"Saya berminat menyertai seminar itu, tetapi tiada wang. Hendak minta dengan isteri, wang ada cukup-cukup saja untuk menyara keluarga. Hendak pinjam dengan keluarga atau kawan, agak sukar.


"Akhirnya, seorang rakan sedia membantu membayar yuran penyertaan berharga RM3,000 menggunakan kad kreditnya," katanya.


Akhir Ogos, Nizam mendapat wang pertama hasil perniagaan menerusi Internet berjumlah AS$54 dari Kanada. Berikutan itu, minatnya dalam perniagaan Internet bertambah kerana menyedari ia boleh mendapatkan keuntungan. Selepas mendapat AS$1,000, dia menanam tekad untuk menimba lebih banyak ilmu daripada Ewen.


Jalan terbuka luas apabila Nizam menerima e-mel daripada Ewen yang memerlukan pekerja untuk syarikatnya.


"Saya membuat permohonan dan diterima bekerja dengan idola saya. Pada Januari 2008, saya bekerja dengan Ewen dan mencungkil rahsia kejayaannya dalam dunia perniagaan Internet. Dia suka sesuatu yang ringkas dan itu yang menjadi rahsia kejayaannya.


"Selama ini orang fikir, jika ingin menjalankan perniagaan Internet, perlukan laman web yang canggih. Sebenarnya, ia boleh dilakukan dengan mudah dan ringkas," katanya.


Ketika 'menuntut ilmu' dengan Ewen, Nizam menetap di Johor Bahru dan berjimat cermat mengeluarkan belanja kerana barangan di Singapura mahal disebabkan tukaran matanya yang tinggi.


"Setiap hari dari jam 6.30 pagi hingga 12 tengah malam, saya berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura. Antara tugas saya ialah mengendalikan seminar," katanya.


Apabila puas mempelajari ilmu perniagaan daripada ikon usahawan Internet itu, dia bercadang berhenti kerja dan menjalankan perniagaan sendiri.


"Walaupun gaji diterima agak lumayan iaitu RM10,000 sebulan, saya nekad berhenti pada Disember 2007. Orang yang paling marah ialah bapa saya.


"Saya rahsiakan tindakan saya berhenti kerja sehingga Februari 2008, tetapi dia musykil kerana saya sering ada di Kuala Lumpur dan saya terpaksa memberitahunya saya sudah berhenti kerja dan kini menjalankan perniagaan Internet dari rumah," katanya.


Tidak sampai sebulan menjalankan perniagaan, Nizam membuktikan dia mampu berdiri sendiri apabila berjaya memperoleh RM10,000. Semangatnya untuk serius dalam perniagaan itu semakin membara.


"Saya tak boleh buat kerja di rumah kerana setiap kali buka komputer riba, anak berkerumun. Oleh itu saya mengambil keputusan menyewa pejabat dan membuka Pusat Latihan Nizzura untuk berkongsi pengetahuan dengan orang lain.


"Kemudian saya dapat idea menubuhkan koperasi kerana belum ada koperasi untuk usahawan Internet," katanya.

>Profil
NAMA: Khairul Nizam Mukhtar
UMUR: 33 tahun
ASAL: Bukit Rambai, Melaka
JAWATAN: Pengerusi Eksekutif Koperasi Usahawan Internet Selangor Berhad
ISTERI: Azura Abdul Aziz
ANAK: Khairyn Iryna Sofea (7), Khairyl Danial Mukhriz (4) dan Khairyl Aidil Danish (3)


Koperasi bantu usahawan Internet

"KALAU tak fikir mengenai isteri dan anak, saya sudah ke Amerika Syarikat untuk bawa teksi. Biarlah ke sana sebab saya tak kenal sesiapa," kata Pengerusi Eksekutif Koperasi Pendidikan Usahawan Internet Selangor Berhad, Khairul Nizam Mukhtar mengenang kehidupan getir masa lalu.

Bagaimanapun, rajuk dan kekecewaan itu tidak lama. Ia menjadi pengajaran dan pemangkin untuknya memperbaiki diri dan masa depan.


Menebus kekecewaan masa lalu, Nizam bangkit dengan semangat baru. Hanya dalam tempoh dua tahun membabitkan diri dalam perniagaan Internet, dia mampu mengecapi keselesaan hidup dan kebebasan masa.


"Dulu saya pening kepala dan tertekan dengan masalah hidup. Alhamdulillah, kini saya menikmati kebebasan kewangan dan masa. Apabila dapat memiliki dua kebebasan itu, pelbagai peluang lain akan hadir. Masa dengan anak juga lebih banyak dan dapat melihat mereka membesar," katanya.


Menurutnya, sesiapa pun boleh menjalankan perniagaan Internet walaupun tiada produk sendiri, pengetahuan teknikal dan tanpa laman web menerusi bimbingan diberikan.

"Setiap orang tiada alasan untuk tidak memulakan perniagaan Internet dan perlu tahu cara yang betul. Kemahiran utama ialah salin dan tampal. Ada orang yang daripada tidak tahu buka komputer kini mempunyai perniagaan Internet sendiri," katanya.


Nizam membuka pusat bimbingan untuk berkongsi pengalaman dalam dunia perniagaan Internet serta menubuhkan koperasi yang menjadi pusat sehenti.


"Daripada seminar dianjurkan, seseorang boleh mempelajari perkara baru. Ada yang menganggap perniagaan Internet memerlukan modal besar, tetapi sebenarnya tidak," katanya.


Selain kursus berbayar selama dua hari, Nizam mengadakan perjumpaan setiap bulan secara percuma untuk meluaskan pengetahuan orang ramai mengenai perniagaan Internet.


"Saya dapat ilham menubuhkan koperasi kerana belum ada koperasi untuk usahawan Internet. Ini adalah koperasi usahawan Internet pertama di Malaysia," katanya yang menubuhkan koperasi pada April 2009.


Menurutnya, mereka yang mengikuti seminar perniagaan Internet secara automatik menjadi ahli secara percuma.


Koperasi itu ditubuhkan untuk menjadi tempat rujuk dan perkhidmatan sokongan kepada mereka yang menjalankan perniagaan Internet meliputi kursus pembelajaran, bantuan teknikal dan pemasaran