Home » » Amarah ibu jadi azimat

Amarah ibu jadi azimat

Written By kall on Saturday 20 February 2010 | 16:25

SEWAKTU kecil, hidup sebagai anak peneroka getah banyak mengajarnya erti kesusahan dan lebih berdikari. Jika mahukan sesuatu, harus berusaha untuk mendapatkannya.

BERCITA-CITA TINGGI...mahu lahirkan lebih ramai jutawan di kalangan Bumiputera.
BERCITA-CITA TINGGI...mahu lahirkan lebih ramai jutawan di kalangan Bumiputera.
BERKUALITI...sebahagian daripada produk keluaran Hai-O Marketing.
BERKUALITI...sebahagian daripada produk keluaran Hai-O Marketing.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga besar menuntutnya bekerja lebih bagi menampung perbelanjaan persekolahan selain membeli barangan keperluan harian.


Jika rakan menghabiskan masa bermain sewaktu cuti sekolah, dia pula ke kebun getah yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumah untuk mengutip susu bagi membantu orang tuanya.


"Saya anak bongsu daripada sembilan beradik dan mempunyai saudara kembar. Kehidupan waktu itu sangat susah dan diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.


"Namun bagi saya, kesusahan bukan alasan untuk gagal dalam kehidupan dan memperoleh pelajaran dengan sempurna," kata Rosidi Darus, 41.

Berpegang teguh pada prinsip 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan' dan berazam mahu memperbaiki kehidupan, Rosidi kini boleh berbangga dengan memegang jawatan tertinggi dalam jualan langsung Hai-O iaitu Crown Diamond Manager (CDM).


Beliau tak menduga dapat mencapai tahap berkenaan dalam tempoh singkat iaitu satu setengah tahun saja, sedangkan kebiasaannya ada ahli memerlukan kira-kira lima tahun bagi mencapainya.


Menceritakan kembali zaman kesusahannya sebelum bergelar jutawan Hai-o, Rosidi berkata, selepas menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kuala Kubu Bharu, Selangor, dia bekerja di UMW Toyota sebagai operator pengeluaran.


Seterusnya, dia menjadi guru sandaran untuk subjek Bahasa Melayu, Matematik, Muzik dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati, Kuala Lumpur.


Menurut Rosidi, dalam usia itu juga dia membuat pelbagai pekerjaan lain seperti menjual pakaian, kasut dan menjadi orang tengah untuk menjual kereta dan tanah.


Menyedari pendidikan lebih penting daripada wang ringgit, beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Persekutuan di Tasik Gelugor, Pulau Pinang selama dua tahun sebelum dipindahkan mengajar di Sekolah Kebangsaan Tok Baling, Kelantan.


Kemudian beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan Cherang Luku, Kelantan sebelum mengambil keputusan menyambung pelajaran peringkat ijazah secara jarak jauh (PJJ) di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Bahasa dan Linguistik Melayu.

Tamat pengajian, beliau ditugaskan mengajar di Sekolah Kebangsaan Batang Kali pada 2001 sebelum ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Serendah hingga 2007.


Ketika menjadi guru, dia terbabit dengan perniagaan jualan langsung secara sambilan untuk mencari pendapatan sampingan.


"Pada awalnya hanya sekadar suka-suka, namun apabila pendapatan diterima lebih lumayan dan memberangsangkan, saya terfikir untuk lebih serius.


"Apabila saya menyatakan hasrat untuk meninggalkan profesion perguruan, isteri dan ibu adalah orang paling tidak setuju dan menentang sekeras-kerasnya.


"Hingga pada satu tahap ibu menyatakan tak akan mengaku saya sebagai anak dan menganggap sebagai anak derhaka jika saya menceburi bidang jualan langsung," katanya.


Namun kata-kata itu tak pernah mematahkan semangat Rosidi, malah menganggapnya sebagai cabaran untuk meneruskan hasrat mencapai cita-cita menjadi usahawan berjaya.


Hampir tiga bulan dia cuba memujuk ibunya supaya merestui pilihan dan kerjaya yang diminati supaya diterima.


Sekeras-keras kerak nasi, akhirnya lembut juga. Akhirnya selepas berbincang dan diberitahu serba sedikit mengenai perniagaan itu, ibunya akur dan menerima.


Begitu juga isterinya, Rafidah Salleh, 39. Kalau dulu menjadi pembangkang nombor satunya, kini dia menjadi penyokong utamanya.


Dia turut berbangga kerana hasil usaha kerasnya selama lima tahun di Hai-O dapat membantu sedikit sebanyak meringankan beban ibu serta keluarganya.


"Alhamdulillah, kini masa susah sudah berlalu dan dengan pengalaman yang ada, saya cuba memberi yang terbaik kepada anak buah seramai hampir 20 orang untuk mencapai tahap seperti diharapkan.


"Saya turut berterima kasih kepada ibu dan isteri yang menjadi tulang belakang dan memberi sokongan moral sehingga mencapai tahap seperti sekarang," katanya.


>Profil
NAMA: Mohd Rosidi Darus
UMUR: 41 tahun
PENCAPAIAN: Pemegang Jawatan Tertinggi CDM Hai-O Marketing
ASAL: Felda Sungai Buaya, Selangor
ISTERI: Rafidah Salleh
ANAK: Amirul Hakimi (14), Amirul Hazim (10), Irdina Naqisha (8), Amirul Hasif (5) dan Irdina Nur Elysha (2)

0 comments: