Home » » Jenama ‘anak’ Suraiti

Jenama ‘anak’ Suraiti

Written By kall on Monday 24 August 2009 | 00:26

“JENAMA ibarat anak. Sebaik dilahirkan, menjaganya memerlukan perancangan bijak dan pembiayaan yang banyak. Selepas menempuh pelbagai penderitaan dan tangisan, akhirnya Ita berjaya menaikkan nilai tambah kepada produk,” kata Pengarah Urusan Ita Produk Sdn Bhd (Ita), Suriati Rahman.

Berkat usaha gigih syarikatnya sejak beberapa tahun lalu, kini Ita berwajah baru dengan produk terbarunya, sos barbeku lada hitam dengan enam perasa.

Ditubuhkan pada 2003 melalui gabungan ahli persatuan wanita (Usahanita) dengan Suriati menjadi pengerusi ketika itu, Ita menjadi platform kepada ahli yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di rumah untuk memasarkan produk mereka.

Namun, lawatan dagang ke Sarawak mencetuskan idea kepada usahawan wanita itu untuk meluaskan perniagaan membabitkan produk makanan.

Katanya, dalam kunjungannya ke kilang makanan dalam tin milik orang Islam, beliau mendapati Ita berpeluang menjalin kerjasama untuk menjadi pengedar barangan makanan halal memandangkan tiada ejen memasarkan produk berkenaan di Semenanjung Malaysia.

Daripada situ, makanan dalam tin seperti sardin, kari daging, kari ayam, daging lembu kisar, kaya dan rendang ayam dipasarkan mengikut program promosi anjuran badan kerajaan seperti ekspo dan pasar tani.

Beliau berkata, melalui strategi pemasaran Ita, Tesco menunjukkan minat lalu mengundang syarikat terbabit menjadi pembekal produk dalam tin kepada pasar raya itu.

Pada 2003, Ita menerima anugerah syarikat baru harapan daripada Tesco di atas komitmen dan keupayaan memenuhi permintaan bekalan pasar raya hiper itu.

Lebih membanggakan, Ita juga berjaya memperluaskan pasaran ke pasar raya hiper lain seperti Carrefour, Giant dan Mydin.

Dalam setiap perniagaan, cabaran tidak dapat dielakkan, apatah lagi membabitkan soal kewangan.

Ia terjadi kepada Ita apabila menjadi vendor pasar raya hiper kerana memerlukan modal tinggi untuk bersaing dengan syarikat besar.

Sokongan pengiklanan dan promosi (A&P) adalah sesuatu yang tidak mampu dilakukan Ita, ditambah pula kesedaran terhadap jenama dan produk membuatkan Ita menunjukkan kemerosotan dari setahun ke setahun.

“Apabila produk dalam tin rosak, ia dipulangkan semula kepada syarikat. Kami juga perlu mematuhi pelbagai terma lain yang tidak mampu dilakukan kerana kurang pengetahuan dan persediaan.

“Pengajaran di atas pengalaman dilalui Ita, usahawan yang ingin menembusi pasaran pasar raya hiper perlu faham sepenuhnya mengenai kos pengeluaran. Kadangkala kita terlalu ghairah untuk memasuki pasaran pasar raya hiper tanpa membuat persediaan untuk menghadapi cabaran yang datang,” katanya.

Beliau berkata, syarikat hampir lumpuh kerana menanggung kerugian daripada potongan dikenakan akibat kegagalan pihaknya sebagai pembekal.

Cabaran getir terpaksa dilalui dari 2005 hingga 2007 apabila tidak mampu membuat pusingan modal.

Dengan bantuan seorang rakan yang menjadi rakan kongsi perniagaan serta pemegang saham, Sabariah Din, Suriati menghasilkan produk baru.

“Berikutan pengalaman dilalui dan selepas membuat penyelidikan, Ita menghasilkan produk yang boleh diterima dan kurang risiko. Produk baru iaitu sos barbeku lada hitam hasil pengalaman tiga tahun saya mengikuti misi dagangan ke luar negara bersama Matrade.

“Idea menghasilkan sos barbeku lada hitam tercetus ketika lawatan ke Eropah dan China. Saya dapati, ia digunakan oleh pelbagai bangsa dan negara. Gaya hidup di Malaysia yang inginkan makanan disediakan dengan cepat tetapi menyihatkan juga memberi semangat kepada saya untuk menghasilkan produk ini.

“Sos ini boleh digunakan pelbagai cara seperti perap, goreng, dimasak, dicicah atau sos barbeku. Ia didatangkan dengan pelbagai perasa bagi memberi pilihan kepada pengguna,” katanya.

Produk baru ini kini memasuki pasaran Giant di 41 cawangan seluruh Semenanjung Malaysia dan rangkaian Save More yang dimiliki Padi Beras Nasional (Bernas).

Suriati menjelaskan, beliau dulu suka membeli produk saingan dan membuat perbandingan daripada segi nilai yang pengguna dapat.

Selepas membuat perbandingan dan kajian, beliau dapati ada baiknya memberi pengetahuan kepada pengguna mengenai khasiat pemakanan daripada produk Ita.

“Makanan yang bagus ialah tiada kolesterol. Kita tidak akan jumpa produk yang ada label begitu. Ini membuatkan saya terpanggil untuk menyediakan maklumat mengenai bahan dan khasiat pemakanan. Maklumat ini penting bagi mereka yang ingin mengamalkan diet,” katanya.

Suriati berkata, selepas berjaya mengukuhkan pasaran tempatan, Ita ingin menumpukan terhadap pasaran luar negara. Produk sos barbeku lada hitam Ita mula memasuki pasaran United Kingdom (UK) akhir bulan lalu.

Berhasrat melupakan terus produk lamanya, Ita kini mengintai peluang memasarkan produk sos barbeku lada hitam ke Australia, Indonesia dan Iran yang dijangka dapat direalisasikan sehingga akhir tahun ini.

“Jika diberi pilihan, makanan runcit bukan perniagaan yang saya minati kerana memerlukan modal besar dan cabaran bersaing di pasaran terbuka. Banyak pengorbanan perlu dilakukan bagi membolehkan orang mengenali produk kita.

“Pulangan daripada pelaburan serta kepercayaan pelanggan bukan boleh diperoleh dalam tempoh singkat. Namun, hakikat yang perlu kita terima ialah perniagaan makanan tiada putusnya, orang tetap makan,” katanya.

Disebabkan itu, Suriati menyertai bidang makanan walaupun menempuh bahang keperitan bertahun-tahun lamanya.

PROFIL
NAMA: Suriati Rahman
UMUR: 57 tahun
ASAL: Meru, Klang
JAWATAN: Pengarah Urusan Ita Produk Sdn Bhd
SUAMI: Hassan Omar
ANAK: Bakhtiar (38); Nor Batty (36); Safri (29) dan Shahirul Syafiq (25)
DI rumah, beliau isteri dan ibu, tetapi di pejabat pula bos. Namun situasi begitu asing apabila anak bongsunya, Shahirul Syafiq, 25, yang bekerja di di bawah satu bumbung memanggilnya Puan.

Anaknya tidak pernah memanggil Suriati dengan panggilan ibu ketika di pejabat.
Secara automatik, panggilan akan bertukar sebaik menjejakkan kaki ke pejabat kerana situasi berbeza.

Bagi Suriati, urusan rasmi tidak seharusnya dicampur aduk dengan urusan keluarga dan seboleh-bolehnya urusan pejabat juga dielak dibincang di rumah.

Ibu empat cahaya mata dan nenek enam cucu itu mahu anak yang bekerja dengannya membezakan antara hubungan di rumah dan pejabat.

Selain Shahirul Syafiq yang bertanggungjawab mengendalikan bahagian operasi, anak keduanya, Nor Batty juga bekerja dengan syarikatnya iaitu mengendalikan perhubungan korporat dan pembangunan perniagaan.

Menurut Suriati, beliau mengambil anaknya bekerja dengan syarikat itu bagi memberi pendedahan mengenai selok-belok perniagaan yang akan diwariskan kepada mereka pada masa depan.

Anak jati Meru, Klang itu adalah anak ketujuh daripada 14 beradik. Bapanya berkhidmat sebagai polis manakala ibunya suri rumah.

Hanya beliau empat beradik menceburi bidang perniagaan, manakala adik-beradik lain bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta.

Suriati menimba pengalaman kerja di syarikat perdagangan milik asing sebelum melihat potensi besar dalam bidang perniagaan.

Beliau yang pernah memegang jawatan pengurus jualan, kemudian mengatur langkah membuka perniagaan sendiri iaitu membeli dan menjual alat tulis, tetapi tidak mampu bersaing dengan syarikat besar.

Syarikat Ita Produk Sdn Bhd yang ditubuhkan mengambil sempena hujung namanya, Ati yang diterbalikkan menjadi Ita. Beliau tidak menyangka nama itu ‘menjadi’ dan boleh dikomersialkan.

“Apabila perniagaan ini semakin maju dan jenama semakin kukuh, saya berhasrat memperkenalkan konsep makanan segera, sama ada menerusi kiosk atau restoran yang menggunakan sos barbeku lada hitam Ita sebagai bahan utama.

“Ia kesinambungan daripada perniagaan runcit dijalankan sekarang. Perniagaan berkonsep makanan segera itu dapat membantu aliran tunai serta memperkasakan jenama Ita,” katanya.

0 comments: