LEPAS satu, satu cabaran dihadapi. Bukan sedikit rintangan yang harus ditempuh untuk lelaki berjiwa kental ini terus bertahan sebagai pengeluar produk makanan halal. Setiap kali berlaku kes membabitkan keadaan keselamatan dunia dan tahap keselamatan global, dengan asas perniagaannya adalah makanan, dia tidak terlepas menerima tempias hingga perniagaan terjejas teruk.
Namun atas kesedaran menunaikan fardu kifayah menyediakan makanan halal untuk umat Islam, Abang Omar Abang Ali, 47, tidak mudah mengaku kalah. Biarpun perniagaan dijalankan cukup sensitif dengan keadaan semasa dunia, hasrat menjadi pemain industri produk makanan halal yang tidak pernah luntur menyebabkan pemegang Ijazah Kejuruteraan Awam dari Houstan, Texas, Amerika Syarikat itu sanggup meninggalkan bidang dipelajari dan berdepan segala jerih perih membangunkan perniagaan makanan.
Cabaran bermula ketika pemilik Omcorp Sdn Bhd (Omcorp) iaitu pengeluar makanan berasaskan daging proses seperti kepingan daging berperisa dan sosej Omar Deli itu memulakan operasi perniagaan pada 1998. Ketika baru hendak menapak, berlaku krisis ekonomi dunia menyebabkan bank menaikkan kadar pinjaman asas (BLR).
“Saya memulakan perniagaan pada 1995 dengan membeli kilang dan membuat pelbagai persiapan seperti menyediakan mesin serta resipi. Waktu itu saya sedar, industri makanan halal mempunyai pasaran besar tetapi tidak ramai pengusaha produk makanan ialah orang Islam.
“Saya membuat pinjaman bank sebanyak RM 1.2 juta dan RM 300,000 daripada modal sendiri untuk membeli kilang dan mesin. Bagaimanapun, apabila kadar faedah dan BLR (untuk kilang) meningkat sehingga 12 peratus, simpanan yang ada terpaksa digunakan menjelaskan kadar faedah pinjaman dan BLR yang tinggi. Akibatnya perniagaan lambat berkembang berikutan masalah pusingan modal. Masalah itu juga menyebabkan saya sukar mendapatkan pinjaman lebih besar,” katanya.
“Mujur Bank Negara membantu supaya pihak bank tidak mengambil tindakan terhadap saya. Jika tidak, saya sudah muflis. Saya bayar berapa yang saya mampu. Saya pergi ke bank, buat beratus-ratus surat rayuan dan mereka sedia mempertimbangkan rayuan saya. Memang tertekan menghadapi masalah seperti ini, apapun saya perlu berusaha bagi mengelakkan syarikat bungkus. Pegawai bank turut berkata, dia juga membeli produk saya dan yakin syarikat mempunyai potensi untuk berkembang maju,” katanya.
Peristiwa pengeboman World Trade Center (WTC) di New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001 memberi impak besar. Ketika itu, Omcorp yang membekalkan produk kepada Penerbangan Malaysia (MAS) dan hotel terjejas kerana pelancong tidak melawat negara ini.
SARS (Sindrom Pernafasan Akut) yang menimpa Singapura dan Hong Kong, selesema burung dan Influenza A (H1N1) turut menggugat perniagaan kerana syarikat menjual produk berasaskan haiwan.
“Dalam menghadapi kesulitan yang datang, ada masanya saya terpaksa menjual harta yang ada termasuk rumah untuk terus bertahan. Saya juga tidak dapat menawarkan gaji tinggi kepada pekerja,” katanya.
Tidak terkecuali, Omcorp turut terkena bahang panasnya kes sosej dicampur usus babi suatu masa dulu apabila nama syarikat itu turut tersenarai akibat salah faham pihak tertentu yang menyebarkan e-mel mengenai perkara itu.
“Ujian ini paling perit kerana produk kami disenarai hitam oleh banyak tempat. Paling menyedihkan, ia angkara orang kita sendiri yang suka menuduh tanpa usul periksa dan menyebarkan hingga ia cepat merebak. Pihak yang menyebarkan e-mel itu menyangka Omcorp syarikat luar sedangkan huruf O diambil daripada awal nama saya manakala M ialah Mazidah, isteri saya.
“Saya harap pelanggan meneliti kesahihan khabar angin sebelum bertindak menyebarkannya kepada orang lain. Betapa susahnya kami mahu mengembangkan perniagaan gara-gara fitnah seumpama ini sedangkan cuma berapa peratus industri halal diteroka umat Islam,” katanya.
Menurutnya, dia tidak menyesal meninggalkan bidang kejuruteraan yang dipelajari semata-mata untuk menjadi pengusaha produk makanan halal.
“Ketika menuntut di Amerika Syarikat, saya membuat kerja sambilan di restoran makanan segera. Di sana susah hendak mencari makanan halal. Ini menyebabkan timbul minat untuk saya mengusahakan produk makanan yang mudah disediakan,” katanya.
Sebelum ini, Omar pernah bekerja makan gaji dan membuka beberapa perniagaan lain termasuk minyak dan gas dengan rakan kongsi.
Omcorp menghasilkan lebih 100 jenis makanan berasaskan daging dan ayam malah sosej saja ada lebih 30 jenis. Produk dipasarkan di pasar raya besar Giant seluruh negara sejak 10 tahun lalu selepas dipelawa pasar raya besar berkenaan berikutan tiada pesaing pada waktu itu.
Produk turut dibekalkan kepada syarikat penyajian makanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dengan MAS sebagai pelanggan utama.
“Kami menjaga kualiti produk bermula daripada sumber bahan mentah yang bersih, halal lagi suci sehingga ia dijual kepada pelanggan. Kilangnya sentiasa dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Veterinar.
“Saya mahukan rezeki yang mendapat keberkatan daripada penyediaan makanan halal. Tambahan pula, keperibadian anak dibentuk daripada makanan yang
halal dan suci. Lebih 10 tahun dulu, cuma ada dua syarikat yang mengusahakan produk berasaskan daging,” katanya yang mengambil semua pekerja beragama Islam.
Tidak banyak syarikat yang menghasilkan serbuk daging/ ayam dan Omcorp antara syarikat yang berkeupayaan menghasil dan membekalkan bahan itu kepada syarikat lain bagi menghasilkan pati daging dan ayam.
Menampilkan slogan kualiti, halal dan inovasi, Omcorp sentiasa berusaha memperbaiki produk melalui inovasi dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
Ada penuntut dalam sains pemakanan menjalani praktikal di kilang Omcorp di Kajang dan Omar tidak lokek menurunkan ilmu daripada A hingga Z bagi membantu mereka mendapat ijazah melalui praktikal.
Omar menjalin kerjasama dengan syarikat Jepun menghasilkan produk sosej yang tidak perlu disejuk beku. Teknologi baru itu membolehkan penyediaan hidangan lebih mudah kerana sosej dibungkus seperti coklat yang akan diperkenalkan itu tidak mudah rosak walaupun tidak disimpan dalam tempat sejuk beku.
Dia turut bercadang meng�eksport produk Omar Deli ke Timur Tengah dan dijangka menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini. Kini, pihaknya dalam proses mempersiapkan pembungkusan sesuai untuk eksport.
PROFIL
NAMA: Abang Omar Abang Ali
UMUR: 47 tahun
ASAL: Kuching, Sarawak
JAWATAN: Pengarah Urusan Omcorp Sdn Bhd
ISTERI: Mazidah Mohd Zain, 46
ANAK: Amalina, 19; Nadhirah, 16; Syahirah; 16 dan Maisarah, 13
1 comments:
Adakah anda berfikir untuk mendapatkan bantuan kewangan, Adakah anda serius memerlukan pinjaman segera, adakah anda berfikir untuk memulakan perniagaan anda sendiri, anda berada dalam hutang, ini adalah peluang anda untuk mencapai keinginan anda kerana kami menyediakan pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, dan pinjaman syarikat, dan semua jenis pinjaman pada kadar faedah 2%, kami menjamin semua pelanggan berharga kami bahawa mereka akan mendapat semua pinjaman masing-masing dan meraikan musim baru dengan senyuman di wajah mereka.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi kami sekarang melalui email {} mariasednerloanfirm@gmail.com
Maklumat Peminjam:
Nama penuh: _______________
Negara: __________________
Seks: ______________________
Umur: ______________________
Jumlah Pinjaman yang Dibutuhkan: _______
Tempoh Pinjaman: ____________
Pinjaman destinasi: _____________
Nombor telefon: ________
Ibu maria
Post a Comment