Tempahan langsir tidak pernah surut
RUTIN bulan Ramadan bagi pasangan suami isteri, Mohamad Zaki Gering dan Norhaslinda Hassan@Atan, 35, sejak tiga tahun lalu tidak banyak berubah.
Tidak seperti pasangan berkahwin lain yang keluar bekerja setiap hari, aktiviti mereka bermula pada awal pagi. Di dalam bilik khas dalam rumah banglo setingkat pasangan itu menempatkan sebanyak empat buah mesin jahit.
Di bilik itulah, Zaki dan Norhaslinda bekerja setiap hari. Sambil memotong kain dan menjahit, pasangan itu mempunyai kelebihan berbanding pasangan lain kerana mereka dapat membesarkan sendiri anak-anak di depan mata.
Menurut Zaki yang pernah bekerja sebagai jurutera kerja menjahit langsir yang dilakukannya pada hari ini pada awalnya hanya membantu Norhaslinda. Bagaimanapun, pada hari ini, kerja sampingan untuk membantu isterinya itu bertukar menjadi kerjaya tetapnya.
“Dulu, saya hanya tolong isteri ambil ukuran langsir dan memasang langsir di rumah pelanggan tetapi disebabkan tempahan yang semakin banyak, akhirnya saya kini bekerja sebagai tukang jahit sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kg. Sungai Merab Hulu, Kajang, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, pembahagian tugas amat penting bagi memastikan perjalanan bisnes langsir Adanis Chantek yang mereka jalankan sentiasa lancar.
“Walaupun selesa menjahit langsir, tugas itu lebih berat kepada Norhaslinda. Saya bertanggungjawab memantau tempahan di laman sosial Facebook kami dan mengambil ukuran di rumah pelanggan yang tinggal sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Senawang, Negeri Sembilan.
“Pelanggan kami bukan sahaja di sekitar bandar-bandar berdekatan tetapi juga di seluruh negara.
“Bahkan, kami pernah menerima tempahan dari Sabah dan Langkawi di mana segala urusan dilakukan secara talian,” katanya.
Norhaslinda pula memberitahu, ketika hamil anak kedua, dia mabuk teruk tetapi ketika itu banyak tempahan perlu disiapkan segera.
“Akhirnya suami terpaksa membantu saya menjahit langsir. Dia mula belajar perlahan-lahan dengan saya sehinggalah mahir pada hari ini,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.
Musim perayaan
|
Menurut Norhaslinda, mereka suami isteri semakin sibuk dengan tempahan yang tidak pernah surut sepanjang tahun terutama pada musim perayaan.
“Untuk langsir baharu sempena Aidilfitri, pelanggan sudah hantar beberapa bulan sebelum Ramadan lagi, sebab ramai yang akan hantar pada musim perayaan.
“Jika mereka lambat hantar, kami terpaksa menolaknya kerana tidak sanggup melihat pelanggan kecewa sekiranya langsir yang ditempah tidak sempat disiapkan sebelum Aidilfitri,” katanya.
Bekas pegawai sains sukan itu memberitahu, walaupun pernah bekerja sebagai pegawai kerajaan, dia menjadikan pekerjaan itu sebagai batu loncatan untuk membuka perniagaan.
“Ketika bekerja dahulu, saya kumpulkan duit untuk menghadiri kursus menjahit langsir yang menelan kos sehingga RM700 untuk satu-satu kursus.
“Apabila sudah mahir, saya menjahit langsir untuk rumah sendiri terlebih dahulu sebelum mengambil tempahan,” katanya yang menawarkan lebih 15 rekaan langsir mengikut cita rasa pelanggan seperti Roman, Bamboo dan Timber Blinds.
Tambahnya, jadual mereka semakin padat sejak memasarkan perkhidmatan mereka melalui laman Facebook iaitu www.facebook.com/adanisch.antekcurtains.
Turut sibuk dengan bisnes menjahit langsir ialah pasangan suami isteri Noraini Abd. Rahman, 52, dan Zainal Mohd. Ali, 53. Kedua-duanya menjalankan perniagaan Aniza Textile and Fashion dari rumah mereka yang terletak di Taman Seri Jelok, Kajang.
Pengalaman jahit baju
Menurut Noraini, sudah tiga tahun dia menjahit langsir selepas mengikuti kursus pada tahun 2001. Pada masa yang sama, dia juga berpengalaman menjahit dan mengambil tempahan pakaian selama tiga dekad.
“Selepas lima tahun berkahwin, saya berhenti kerja dan mengambil upah menjahit baju.
|
“Kini saya mengambil upah menjahit langsir sahaja kerana ia lebih mudah berbanding menjahit baju yang memerlukan ketelitian dan lebih rumit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Noraini, dia selesa menjahit kerana selain minat yang mendalam, dia juga dapat memberi perhatian kepada lima orang anaknya kerana bekerja dari rumah.
“Dahulu, menjahit langsir memang sukar kerana rekaan langsir dahulu lebih rumit dan banyak perincian tetapi kini pelanggan lebih sukakan rekaan yang ringkas, mudah dipasang dan dibasuh,” katanya.
Begitupun, kepuasan menjahit langsir bagi Noraini adalah apabila dia mendapat pujian daripada pelanggan yang berpuas hati dengan hasil kerjanya.
“Pelanggan ni ada macam-macam jenis. Yang cerewet pun ada sehingga ada sahaja yang tidak kena dan saya perlu membuka jahitan dan menjahitnya semula.
“Tetapi, secara keseluruhannya saya gembira menjalankan bisnes ini kerana mendapat banyak maklum balas yang baik daripada pelanggan,” katanya.
Menurut Noraini, musim perayaan adalah salah satu musim paling banyak orang menghantar tempahan tetapi tempahan juga banyak di kawasan-kawasan perumahan-perumahan yang baharu dibuka.
“Rumah-rumah baharu semestinya memerlukan langsir baharu. Sehubungan itu, perniagaan menjahit langsir tidak hanya bergantung pada musim perayaan.
“Kadang-kadang bila terlalu banyak tempahan dan tidak sempat menyiapkannya, saya akan hantar langsir-langsir itu untuk dijahit oleh rakan-rakan lain yang turut mengambil upah menjahit langsir,” katanya.
Tambah Noraini, untuk sebuah rumah teres dua tingkat, kos upah membuat langsir berharga sekitar RM2,500 hingga RM3,000, bergantung kepada jenis fabrik dan rekaan langsir.
“Ada fabrik yang murah dan ada yang mahal boleh dipilih pelanggan tetapi pelanggan juga boleh membawa fabrik mereka sendiri.
“Upah menjahit sebenarnya tidaklah terlalu mahal, sekitar RM1,000 sahaja untuk sebuah rumah tetapi yang mahal adalah fabrik untuk membuat langsir itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, kerjaya Noraini turut disokong oleh suaminya, Zainal yang merupakan seorang pesara tentera.
“Selepas bersara, saya banyak menghabiskan masa di rumah menolong isteri sahaja terutama menguruskan blog kami iaitu anizatextile.blogspot.com dan laman Facebook kami iaitu Aniza Textile and Fashiion. (double ii)
“Saya juga ke rumah-rumah pelanggan untuk mengambil ukuran langsir tetapi kami mengupah pekerja untuk memasang langsir yang sudah siap dijahit ke rumah-rumah pelanggan,” katanya.
Menurut Zainal, stok fabrik langsir yang dibeli daripada para pembekal terutamanya di Nilai, Negeri Sembilan dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
“Saya akan mengambil gambar fabrik-fabrik ini untuk dimuat naik ke laman Facebook dan blog bagi memudahkan pelanggan-pelanggan kami yang jauh untuk membuat pilihan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment