Home » » Misi usahawan anggur

Misi usahawan anggur

Written By kall on Friday, 3 September 2010 | 07:00

Misi usahawan anggur


Azrul Nazim Aziz bersama Noraini Syed Norulzaman merupakan tulang belakang projek anggur di Lembah Sendayan.


BAGI yang sering memandu melalui kawasan perumahan di Sendayan, Negeri Sembilan, sepintas lalu tidak ada yang menarik perhatian apatah lagi menggamit perasaan untuk singgah.

Namun jika diamati betul-betul, di satu kawasan perumahan baru akan kelihatan kawasan bukit berteres yang dipenuhi tanaman yang agak asing di negara ini.

Panorama di kawasan bukit tersebut amat menarik kerana ia sebenarnya dipenuhi pokok anggur yang ditanam pada teres dengan konsep pembangunan landskap pertanian yang pastinya menggamit kunjungan orang ramai.

Rimbunan daun-daun anggur yang di celah-celahnya muncul buah kehitaman dan hijau berjuntaian merupakan satu jalinan kesenian warna yang segar dan mengujakan.

Kawasan tersebut sebenarnya sedang dibangunkan dengan projek tanaman buah-buahan pelbagai jenis. Tetapi anggur menjadi komoditi utama kerana ia mampu menarik perhatian.

Selain itu, pemilik ladang mahu projek tersebut dimajukan untuk mengeluarkan buah anggur berkualiti sekali gus menjadikannya pusat agro pelancongan.

''Misi saya ialah untuk menghasilkan anggur berkualiti manakala visi saya mahu berkongsi pengalaman mengenai teknologi penanaman anggur,'' demikian kata pengusaha ladang tersebut, Azrul Nazim Aziz.

Dia juga merupakan Pengurus Besar A-Winn Corporatian Sdn. Bhd. syarikat yang memajukan projek seluas 12 hektar itu.

Sambil merenung jauh ke kawasan bukit yang hijau dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan terutama anggur, beliau dengan nada yakin berkata, wawasannya mampu dicapai seawal-awalnya lima tahun akan datang.

Katanya, bukan mudah menjadikan hasrat itu kenyataan, memandangkan anggur merupakan tanaman yang sensitif.

Katanya, ia bermula melalui penyelidikan bagi mencari kesesuaian tanah dan benih yang boleh ditanam pada 2004 dan segalanya yang sedang dirancang berada pada landasan betul.

Azrul Nazim berkata, beliau membawa masuk teknologi penanaman anggur dari Thailand selepas melawat negara tersebut.

Pada mulanya, projek penyelidikan tersebut dimulakan di Jeram, Kuala Selangor melibatkan kawasan seluas 4.2 hektar.

Selepas itu, projek penyelidikan diteruskan di tapak yang ada sekarang melibatkan tujuh spesies anggur. Selepas kira-kira satu tahun setengah, beliau mendapati hanya empat spesies yang sesuai ditanam iaitu malaga, black opal, black pearl dan black pink.

Pada tahun 2006, penanaman secara serius dimulakan di ladang dan sehingga kini kos yang telah dibelanjakan mencecah hampir RM7 juta.

Beliau menjelaskan, kos tersebut agak tinggi kerana melibatkan pembangunan kemudahan seperti kolam takungan bekalan air, sistem paip, membersihkan kawasan selain kos baja.

Kos paling tinggi melibatkan pemindahan teknologi selain hak paten dari Thailand.

Anak pokok yang yang digunakan pula daripada sistem tut bagi menghasilkan pokok yang berkualiti.

Ketika ini terdapat kira-kira 6,000 pokok anggur yang ditanam dan memenuhi sebahagian besar ladang yang dibangunkan kira-kira 12 hektar daripada kawasan asal sedia ada.

Anak pokok perlu dipelihara dengan teliti selama kira-kira setahun selepas dipindahkan ke ladang dan kawasan penanaman perlu dilengkapi dengan tempat penggantungan atau rumah anggur sebagai teduhan.

Pada tahap ini, buah akan mula muncul tetapi ia masih belum berkualiti dan rasanya masam.

Menurut beliau, penjagaan memainkan peranan penting bagi menghasilkan buah yang berkualiti.

Sebab itu ladangnya mengamalkan penjagaan satu lot yang menempatkan 500 pokok anggur dijaga oleh lima pekerja.

Anggur kata beliau memerlukan air yang banyak tetapi bagi membolehkan buah yang dihasilkan lebih manis, tuaian perlu dibuat pada musim panas.

Buah boleh dipetik antara tiga ke empat bulan semusim atau tiga kali tuaian setahun.

Sepohon anggur mampu menghasilkan 10 kilogram buah anggur semusim.

Pokok anggur ladang milik beliau hanya akan diganti pokok baru selepas berumur enam tahun kerana pada tahap itu, kualiti buah yang dihasilkan mula berkurangan.

Setakat ini ladang beliau mampu menghasilkan 50 tan anggur setahun dan menyasarkan untuk menghasilkan 300 tan buah setahun menjelang lima tahun akan datang dengan jumlah pokok ketika itu mencapai 9,000.

Azrul Nazim juga berkongsi pandangan bahawa pokok anggur perlu 'direhatkan' selama beberapa minggu iaitu dengan memangkas semua daun pada batang pokok.

Selepas tiga minggu, daun baru akan muncul bersama-sama putik buah dan kualitinya lebih baik.

Mengenai wawasannya, Azrul Nazim berkata, beliau mahu menjadikan ladang tersebut sebagai agro pelancongan yang dapat menarik pengunjung mengenali dengan lebih dekat lagi pokok anggur.

''Pengunjung yang melawat Port Dickson khususnya boleh boleh singgah di sini untuk melihat sendiri pokok anggur,'' katanya yang turut menanam beberapa jenis buah-buahan termasuk bidara, mempelam harum manis, jambu madu, jambu batu dan pokok buah naga.

Beliau juga mahu membangunkan pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan pelawat antaranya surau, kafeteria dan ruang untuk berehat.

Pada masa sama, beliau akan membangunkan produk berasaskan anggur seperti jus anggur dan jem secara komersial berjenama Sendayan Valley.

Pengeluaran secara komersial itu bermakna, syarikatnya akan membina kilang memproses di kawasan tersebut, sekali gus melengkapkan impiannya untuk menjadikan Lembah Sendayan terkenal dengan industri tanaman anggur.

''Inilah sebabnya saya memilih anggur sebagai tanaman komersial,'' ujarnya.

Kata-kata beliau itu turut disokong oleh Pengarah Eksekutif syarikat, Datin Noraini Syed Norulzaman bahawa anggur mempunyai keunikan sendiri yang boleh menarik perhatian pengunjung.

''Kami memilih anggur kerana keunikannya, sesuatu yang sangat istimewa,' kata Noraini.

Mereka yang berminat untuk melawat ladang boleh menghubungi 012-3701777 atau emelazrul@a-winn.com.

Panduan penanaman anggur


Mereka yang berminat boleh menanam anggur di kawasan sendiri perlu mengambil berat hal-hal berkaitan penjagaan.


TANAMAN anggur telah bermula di negara ini pada 1980-an. Pada 1986, Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk menanam anggur di Perlis kerana kesesuaian cuaca yang panas dan kering dalam tempoh tiga bulan.

Perlis merupakan antara negeri pertama yang mengusahakan penanaman anggur pada skala yang agak besar.

Dari situ ia telah menimbulkan minat di kalangan beberapa pengusaha pertanian di negara ini untuk turut terlibat dalam penanaman anggur.

Bagaimanapun, disebabkan tanaman itu sensitif maka ia memerlu penjagaan dan pemerhatian rapi jika mahukan hasil tuaian yang baik.

Ketika ini, ada juga pengusaha yang menggunakan teknologi penanaman anggur dari Thailand untuk disesuaikan dengan persekitaran negara ini.

0 comments: