Home » » Usahawan Minuman bergas roselle

Usahawan Minuman bergas roselle

Written By kall on Friday 16 July 2010 | 06:34

Minuman bergas roselle


MOHD. RAZIP menunjukkan produk-produk yang dihasilkan daripada tanaman roselle keluaran kilang syarikat Heazelle.


KETIKA diperkenalkan kerajaan pada awal tahun 1980-an sebagai sumber pendapatan baru kepada petani, ramai yang sangsi dengan keupayaan roselle.

Ada yang memanggilnya dengan nama asam paya atau asam kumbang, namun projek tanaman roselle atau nama saintifiknyaHibiscus Sabdariffa, terus berkembang di negara ini.

Roselle merupakan salah satu daripada spesies famili bunga kebangsaan bunga raya, bukanlah tumbuhan popular sehinggalah pendedahan mengenai kegunaan dan khasiatnya dilakukan secara besar-besaran oleh kerajaan termasuk melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Penyelidik tempatan turut menjalankan penyelidikan sehingga menghasilkan banyak penemuan baru mengenai khasiat tumbuhan itu. Promosi hebat mengenai roselle membuka mata petani dan usahawan di seluruh negara terhadap tanaman yang mudah ditanam dan sesuai dikebanyakan tanah serta mengambil masa yang singkat iaitu kira-kira tiga bulan sahaja untuk mendapatkan hasil.

Sehinggakan ada suri rumah yang menanam pokok roselle di sekeliling halaman rumah dan memproses sendiri kelopak bunga roselle untuk dijadikan minuman.

Pokok roselle boleh tumbuh daripada biji benih atau keratan dengan ketinggian di antara tiga dan lima meter serta mengeluarkan bunga hampir sepanjang tahun.

Bunga roselle berwarna cerah, kelopak bunganya berwarna merah gelap dan lebih tebal jika dibandingkan dengan bunga raya biasa.

Bahagian bunga roselle yang boleh diproses menjadi makanan ialah kelopak bunganya yang mempunyai rasa yang amat masam, diproses menjadi pelbagai jenis hasilan makanan seperti minuman, halwa, jeli, jem, jeruk dan ekstrak.

Teknologi moden dan penyelidikan yang berterusan menyerlahkan potensi besar roselle dalam menghasilkan makanan dan minuman berkhasiat setanding dengan produk buah-buahan tempatan.

Tanaman tropika dan eksotik itu juga berpotensi sebagai makanan kesihatan, ubatan dan kosmetik.

Potensi roselle

Potensi besar roselle turut diakui oleh Pengurus Besar Heazelle Sdn. Bhd., Zuraihan Zakaria, yang menyatakan tanaman itu kini menjadi satu industri berdaya maju dan mempunyai masa depan yang cerah.

Heazelle syarikat bumiputera yang melibatkan diri dengan industri roselle sejak dua tahun lalu, kini mengeluarkan jus, jem, halwa dan minuman berkarbonat atau minuman bergas roselle dengan jenama Heazelle.

"Produk kami diperbuat daripada kelopak roselle asli, tanpa pewarna perisa atau pemanis tiruan," katanya kepada ketika ditemui di kilangnya yang terletak di kawasan Melaka Halal Hub, Serkam, Melaka.

Zuraihan berkata, dengan modal permulaan RM150,000, syarikat itu menyasarkan untuk mengeluarkan 200,000 botol minuman berkarbonat roselle dengan empat jenis botol isian iaitu 250 mililiter (ml), 340ml, 500ml dan 1.25ml mulai awal bulan ini.


ROSELLE hanya mengambil masa tiga bulan untuk berbunga.


Produk tersebut dipasarkan ke seluruh negara dan boleh juga didapati di pasar raya borong Mydin.

Menceritakan khasiat roselle, Zuraihan berkata, roselle boleh bertindak sebagai antikanser, antipenuaan, pemakanan kesihatan, membantu menyihatkan sistem kardiovaskular dan antiradang.

Syarikatnya mendapat bimbingan dan bantuan daripada Jabatan Pertanian, MARDI, FAMA dan Pertubuhan Peladang Negeri Melaka.

Ladang kontrak

Sementara itu, pengarah operasi perladangan dan pengilangan syarikat itu, Mohd. Razip Mahat berkata, syarikat berkenaan menggunakan kira-kira lima tan roselle mentah segar setiap bulan yang dibekalkan oleh petani di sekitar Melaka dan Muar, Johor.

"Berikutan pengeluaran yang semakin meningkat maka roselle yang diperlukan juga sudah tentu akan berlipat ganda," katanya. Bagi memastikan bekalan roselle mencukupi, syarikat tersebut menawarkan program ladang kontrak kepada peladang yang berminat menceburi tanaman itu.

"Setakat ini, seramai 28 petani di kawasan Kesang, Muar terlibat dalam program tersebut dan kita memerlukan ramai lagi peserta," katanya.

Di bawah program itu, syarikat berkenaan akan membekalkan anak benih serta memberi kursus selama dua minggu kepada peladang. -Bernama