Home » » Murtabak Pak Don

Murtabak Pak Don

Written By kall on Saturday, 12 September 2009 | 07:02


 

Sebut sahaja murtabak Pak Don, penduduk di Jengka 8 sudah dapat membayangkan siapakah penjualnya.

ZALIZAN menunjukkan murtabak Pak Don di Jengka 8, Jerantut, Pahang. 


MAKAN sekeping sudah cukup mengenyangkan. Begitulah janji murtabak Pak Don jika anda menikmatinya sebagai juadah berbuka puasa. Dengan saiz yang besar dan tebal kerana dibuat dua lapis, murtabak yang dijual di gerai yang terletak di sebelah Masjid Ubudiah, Jengka 8, Jerantut, Pahang itu diisi dengan inti yang cukup istimewa.

Penjualnya, Zalizan Osman, 39, berkata, beliau mewarisi resipi murtabak itu daripada arwah ayahnya yang berasal dari Kedah. 

"Selain inti sayur-sayuran yang digaul dengan rempah-ratus dan telur, saya juga mencampurkan rendang daging berempah di dalamnya. Ini yang membezakan murtabak Pak Don dengan murtabak lain,'' katanya kepada Kosmo! sambil memberitahu, murtabak Pak Don dijual pada harga RM4 sekeping.

Beliau menggunakan tujuh kilogram (kg) daging, lima hingga enam biji kobis, 150 hingga 200 biji telur dan enam hingga tujuh kg tepung gandum untuk menghasilkan 100 keping murtabak. 

"Daun sup, bawang besar, karot dan kentang turut dicampur ke dalam inti ini," katanya. 

Selain itu katanya, persediaan untuk membuat inti murtabak dilakukan pada waktu pagi oleh isterinya, Noriza Abd. Rashid, 38.

"Oleh kerana saya tidak mempunyai pembantu, saya hanya mampu menyediakan 100 keping murtabak sehari sahaja.

"Memang jumlah itu tidak mencukupi kerana pelanggan yang datang bukan hanya penduduk Jengka 8 tetapi juga dari kawasan lain seperti Pulau Tawar dan Kota Gelanggi,'' katanya.

Gerai itu dibuka setiap hari sepanjang Ramadan dari pukul 3 petang hingga 6.30 petang.

"Tak payah tunggu sampai waktu berbuka kerana biasanya, pukul 6.30 petang, semua murtabak habis dijual,'' katanya yang sesekali dibantu oleh anaknya, Izzul Syafiq, 13. 

Pada bulan-bulan Ramadan yang lalu, beliau menjual murtabak di Bazar Ramadan Bandar Pusat Jengka dan dibantu oleh seorang adik lelakinya.

Namun katanya, pada tahun ini, beliau hanya menjual murtabak di gerai tersebut kerana pada waktu malam, beliau sibuk mengurus restorannya yang terletak di tepi jalan raya Jerantut-Maran, dekat Jengka 8.

Ditanya bagaimana murtabak itu mendapat nama Pak Don, katanya, ia dinamakan sendiri oleh arwah ayahnya yang merupakan seorang penjual murtabak yang popular di Bazar Ramadan Bandar Pusat Jengka.

"Biasanya, orang sebut murtabak Pak Din. Arwah ayah tak mahu tiru nama itu tetapi mahu sebutannya tidak jauh berbeza. Jadi, arwah ayah pilih nama Pak Don. Sejak guna nama itu, murtabak arwah ayah laris dijual,'' ujarnya.

Katanya, nama murtabak Pak Don bukan sahaja dikenali di seluruh Jengka 8 tetapi juga di kampung-kampung sekitarnya.

"Sebut sahaja murtabak Pak Don, penduduk di sini sudah dapat membayangkan siapa penjualnya," katanya sambil memberitahu, sungguhpun ayahnya telah meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu, namun sehingga hari ini, nama murtabak Pak Don terus popular dan dikenali ramai. 

Mempunyai pengalaman lebih daripada 20 tahun membuat murtabak, beliau juga mahir menebar roti canai.

"Saya mula tebar roti canai semasa berusia 15 tahun dan dua tahun kemudian, saya mula membuat murtabak kerana membantu arwah ayah di kedai makan di sini,'' katanya.

Dengan pengalaman yang lama itu, beliau tidak kisah untuk bersaing dengan penjual murtabak lain kerana tahu murtabaknya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Mengulas mengenai restorannya pula, katanya, restoran yang dinamakan Selera Kesidang itu terkenal dengan sajian sup perut dan aneka sup lain termasuk mihun sup kuning yang popular di Kedah.

"Tetapi pada bulan Ramadan, saya tidak menjual sup kerana sibuk membuat murtabak. Restoran tetap dibuka tetapi pada sebelah malam sahaja. Untuk bulan puasa ini, kami turut menyajikan nasi lemak,'' tambahnya.