Home » » Jual Kereta Untuk keluar Modal

Jual Kereta Untuk keluar Modal

Written By kall on Tuesday 28 April 2009 | 14:39

Bagi seseorang bila samapai masa bersara adalah masa bersenang lenang tapi lain pula pada Kapten (B) Yusoff Md Saad ini.

KETIKA memperkenalkan produknya, beliau terpaksa berjalan kaki meredah kampung dan bermotosikal di batas sawah. Malah, modal yang kecil dan terhad menyebabkan penawar minuman kesihatan rumusannya dikeluarkan secara kecil-kecilan di rumah dan cuma dipekkan dalam botol mineral dan dijual dari rumah ke rumah.

Tindakannya menyebabkan ada yang menganggapnya melakukan kerja gila.


Untuk memulakan perniagaan, beliau juga terpaksa menjual kereta bagi mendapatkan modal selepas beberapa permohonan mendapat pinjaman bank ditolak dengan pelbagai alasan.

Membangunkan perniagaan sejak 2001, Kapten (B) Yusoff Md Saad, 62, mencipta ramuan minuman kesihatan ketika menimba pengalaman sebagai tentera hampir 20 tahun lalu.

Keluar masuk hutan dan kawasan pedalaman yang penuh rahsia alam bukan saja mengajarnya ilmu ikhtiar hidup, malah membolehkannya mengenali pelbagai spesies hutan, terutama herba yang berguna untuk tujuan perubatan.

Beliau turut mendapat tunjuk ajar dan petua rawatan tradisional daripada orang tua di kampung Melayu dan perkampungan Orang Asli.

Setelah bersara daripada tentera selepas berkhidmat lebih 30 tahun, Yusoff memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari untuk membantu pesakit kencing manis.

Beliau menjalankan kajian lebih saintifik di makmal bagi memastikan formula ciptaannya yang mengandungi campuran bahan asli dan semula jadi dirumus khas tanpa bahan tambahan, pengawet atau pewarna tiruan itu mampu memberi kesan positif bagi rawatan pilihan membantu pesakit berkenaan.

Pengasas produk Kacip Emas itu berkata, bukan mudah untuk berjaya dalam bidang perniagaan, apatah lagi bergelar jutawan. Apabila perniagaan semakin maju, pelbagai institusi kewangan mula menawarkan pinjaman kepada syarikatnya.

“Jiwa perlu kental, hati harus tabah dan jangan sesekali terlintas niat berputus asa. Perniagaan ini nampak senang seperti setakat jual ubat, tetapi bagi saya bukan setakat menjual ubat atau mencari keuntungan, sebaliknya membantu orang yang memerlukan,” katanya.

Semangat juangnya tidak pernah luntur walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. Malah, berazam mahu memajukan diri demi mencapai tahap lebih baik.

“Saya yakin perubatan tradisional dan rawatan alternatif berasaskan herba dan akar kayu mampu diketengahkan sebagai sesuatu yang bermanfaat kepada semua golongan jika lebih banyak usaha dijalankan bagi mengkaji kebaikan dan khasiatnya.

“Produk herba mempunyai potensi cerah dalam industri perubatan dan lebih banyak peluang perlu diketengahkan seiring permintaan pasaran yang kian terbuka luas.

“Semua pihak perlu sedar dan yakin produk berasaskan herba mampu memberikan sumbangan besar, sama ada dalam negara mahupun peringkat global,” katanya.

Menurutnya, walaupun pengamal perubatan model belum yakin terhadap keberkesanan Kacip Emas sebagai minuman kesihatan bagi membantu pesakit kencing manis, ramai pengguna mengakui khasiatnya serta membantu mereka menjalani kehidupan lebih baik.

Sejak Kacip Emas dipasarkan sebagai minuman kesihatan, pihaknya belum pernah menerima aduan, malah sambutan pengguna yang di luar jangkaan menjadi pemangkin untuk beliau melebarkan sayap dan melipatgandakan usaha memastikan khasiat Kacip Emas dapat dikongsi bersama mereka yang memerlukan.

Berikutan permintaan terhadap Kacip Emas semakin menggalakkan, beliau mampu mendirikan sebuah kilang pemprosesan yang kini beroperasi di Kawasan Perindustrian Mergong, Alor Star, Kedah dengan nilai hampir setengah juta ringgit dan tenaga kerja yang kian bertambah.

Kilang itu mampu menghasilkan produk secara moden, bersih dan komersial untuk memenuhi permintaan yang menggalakkan.

“Saya gembira kerana dengan adanya kilang yang serba lengkap, pengeluaran Kacip Emas mampu memenuhi permintaan mereka yang memerlukan,” katanya.

Jika dulu beliau berjalan kaki dan bermotosikal memasarkan produknya, kini syarikatnya mampu mempunyai lori sendiri sebagai kenderaan pemasaran dan membekalkan produk ke seluruh negara.

Yusoff turut membuka sebuah lagi cawangan di Kota Damansara, Petaling Jaya sebagai pusat pengedar dan pemasaran.

Pada masa sama, Yusoff merancang menempatkan pusat rawatan diabetis berkonsepkan spa yang kini dalam proses pengubahsuaian di situ bagi mendekati pesakit, selain mengelak pesakit berasa tertipu dengan produk tiruan yang semakin berleluasa di pasaran.



PROFIL

NAMA: Kapten (b) Yusoff Md Saad

UMUR: 62 tahun

ASAL; Langkawi, Kedah

JAWATAN: Pengarah Urusan Kacip Emas Global Sdn Bhd.

ISTERI: Rozimah Osman

0 comments: