DI UNIVERSITI, pensyarah menggelarnya ‘bunga kembang lewat’ iaitu orang yang lambat nampak kecemerlangannya. Bagaimanapun, baginya, bukan lambat cemerlang tetapi keadaan serba kekurangan menyebabkan dia sukar menyerlahkan bakat, kemampuan dan potensi diri.
Melihat air mukanya tenang, wajah ‘kebapaan’ serta intonasi suara yang lembut pasti membuatkan hati golongan sasaran mudah terusik dan ingin berubah. Inilah kekuatan Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, 47, ketika memberi motivasi, terutama kepada pelajar.
Kesusahan hidup waktu kecil banyak mengajarnya erti kehidupan.
Asalnya, Pengarah Urusan/Perunding Motivasi MAP Trading & Consultancy Sdn Bhd (MAP) itu daripada keluarga sempurna, namun liku kehidupan bermula ketika dia berumur tujuh tahun apabila bapa meninggalkan dia sekeluarga
Dr Tengku Asmadi anak sulung lima beradik. Seorang adik perempuannya meninggal dunia ketika masih bayi manakala seorang lagi pada usia 13 tahun.
Selepas kematian dua saudara perempuan, tinggal Dr Tengku Asmadi tiga beradik dibesarkan ibu yang mengambil upah membuat bakul dan mengemas rumah serta pekerjaan terakhir sebagai tukang masak restoran.
“Kehidupan kami waktu kecil memang sukar kerana ibu terpaksa mengambil alih tugas menjadi ketua keluarga. Pernah beberapa hari kami tidak jumpa nasi. Susahnya hinggakan hendak beli kasut sekolah pun tiada duit.
“Ibu membelikan kasut plastik berharga 50 sen di pasar malam untuk saya pakai ke sekolah. Kasut berkenaan keras dan panas, apabila berjalan kaki pulang dari sekolah, habis tapak kaki pecah.
“Ketika kehabisan wang, anak saudara ibu memberi pinjam RM3 daripada duit belanja sekolah miliknya. Wang berkenaan ibu gunakan untuk membeli beras. Zaman dulu, beras dibungkus dengan kertas surat khabar.
“Dalam perjalanan balik, bungkusan beras yang ibu bawa pecah ditimpa hujan lebat dan berserakan di tanah. Ibu hanya dapat menyelamatkan dua genggam untuk makan kami adik-beradik.
“Keesokannya, pagi-pagi lagi ibu keluar untuk mengutip beras yang tumpah bagi mengelak ia dimakan ayam. Beras itu ditampi kerana bercampur dengan pasir,” katanya.
Banyak peristiwa menyentuh perasaan ketika mereka sekeluarga bergelut dengan kesusahan. Ibunya biasa membeli batang pokok sagu yang sering digunakan orang sebagai makanan ayam, tetapi diparut bagi membuat tepung dan dijadikan lempeng untuk sarapan pagi.
“Apabila tiba waktu makan, ibu mencari kami di segenap ceruk dan pastikan kami makan serentak kerana lauk sedikit dan dapat dirasa secubit seorang.
“Ibu juga akan pastikan anak tidur awal. Saya yang paling tua akan berpura-pura tidur kerana jika bergerak, takut ibu rotan.
“Selepas ibu menunaikan solat, saya terdengar dia berdoa, antara doanya ‘Ya Allah, aku ada tiga anak, biarlah seorang berjaya’. Mendengar doa ibu, saya menjawab di dalam hati, ‘yang seorang itu, biarlah aku’,” katanya.
Tidak mahu terus tenggelam dalam kemiskinan, Dr Tengku Asmadi tekad melakukan perubahan untuk berjaya. Pada peperiksaan Penilaian (darjah lima), dia cuma mampu meraih 1A.
Dia pernah mendapat nombor satu dalam kelas tetapi tidak mampu meneruskan kecemerlangan kerana kekangan kemiskinan iaitu kekurangan makanan dan buku.
Keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) juga masih di tahap ‘biasa-biasa’. Dr Tengku Asmadi menyedari dia tidak boleh belajar di rumah jika ingin berjaya.
Mana tidak, berteman pelita minyak tanah, meniarap beralaskan tikar serta bersendal bantal, tidak sampai setengah jam mengulang kaji, dia akan tertidur.
Dia kemudian meminta izin guru agamanya untuk menumpang tinggal di surau kerana kemudahan di situ yang lebih baik membolehkan Dr Tengku Asmadi mengulang kaji pelajaran.
Bersama beberapa rakan lain, dia tinggal di surau selama dua tahun sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dibantu pelajar cemerlang yang banyak memberi tunjuk ajar.
Anak jati Seberang Takir itu tekun belajar. Pernah dia mengulang kaji pelajaran dari Isyak hingga ke Subuh kerana sayang hendak berhenti berikutan takut tidak dapat momentum seperti itu.
Rumahnya hanya 500 meter dari surau dan setiap pagi Dr Tengku Asmadi pulang ke rumah untuk bersiap ke sekolah. Dia memegang kata-kata rakannya yang sudah ke universiti iaitu untuk melayakkan diri ke menara gading, pastikan Bahasa Melayu, Matematik dan Sains cemerlang.
Untuk itu, dia memberi tumpuan penuh dan berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam tiga subjek berkenaan manakala subjek lain dengan kepujian sederhana.
Dengan kelulusan SPM yang cuma memenuhi syarat minimum untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM), dia membuat permohonan melalui Unit Pengambilan Universiti (UPU), tetapi ditawarkan ke Universiti Sains Malaysia (USM).
“Ketika matrikulasi, ibu tidak dapat hantar dan saya tumpang kawan yang dihantar oleh ayahnya. Sewaktu pendaftaran dan masuk asrama, saya lari ke bilik air kerana sedih melihat pelajar lain ada ibu bapa yang menguruskan tetapi saya datang sendirian.
“Saya rasa diri sangat kecil apabila bersembang dengan kawan di katil kerana kebanyakan mereka bersekolah di bandar dengan agregat enam atau tujuh dalam SPM, malah ada yang menolak tawaran ke luar negara. Ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk belajar,” katanya.
Mengambil ijazah sarjana muda kejuruteraan di tahun dua, Dr Tengku Asmadi bertanya dekan cara melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di bawah pembiayaan universiti.
Dia dimaklumkan, untuk terpilih, seseorang itu mestilah pelajar terbaik dalam jurusan yang diambil.
“Saya bekerja keras untuk meraih keputusan baik dan selepas meraih ijazah, memohon menjadi felo di USM dan melanjutkan pelajaran ke Australia.
“Di sana, pelajar tahun satu dari luar Australia perlu mengikuti ‘master quality programme’ untuk tapisan sebelum melayakkan mereka mengikuti pengajian sarjana atau PhD.
“Bagaimanapun, disebabkan keputusan cemerlang, saya tidak perlu menjalani program itu, sebaliknya terus membuat PhD,” katanya.
Selesai menamatkan PhD pada 1993, Dr Tengku Asmadi bertugas sebagai pensyarah USM di kampus kejuruteraan di Tronoh, Perak. Waktu itu, dia mula menjalankan bisnes kecil-kecilan menerusi perniagaan jualan langsung (MLM) bagi menambah pendapatan.
MLM turut mengasah bakatnya bercakap di depan orang ramai. Dia mula memenuhi permintaan untuk berceramah dan menyedari bakat dalam ceramah dan motivasi.
“Ketika itu saya memikirkan sikap mahasiswa yang ponteng kelas, malas belajar dan tidak mahu berjumpa pensyarah. Jika pelajar universiti seperti itu, pelajar lain apa lagi. Saya kecewa dengan keadaan itu dan ingin menyelamatkan mereka dari peringkat bawah lagi,” katanya.
Ketika mengerjakan umrah, dia menunaikan solat istikharah di depan Kaabah bagi memohon petunjuk sama ada mahu meneruskan kerjaya sebagai pensyarah atau menjadi pakar motivasi.
Selepas itu, dia terasa mengantuk dan pulang ke hotel. Ketika tidur, Dr Tengku Asmadi bermimpi bertemu adik kandungnya, Tengku Osman, yang bekerja sebagai buruh, meminta menyelamatkan kehidupannya.
“Selepas terjaga, saya termenung memikirkan maksud mimpi itu lalu bertanya ustaz. Ustaz bertanya, apa doa saya dalam solat istikharah. Katanya, jika saya terus jadi pensyarah, bagaimana saya hendak menyelamatkan adik saya, tetapi jika menjadi pakar motivasi, sudah tentu boleh membantu iaitu memberikan peluang pekerjaan kepadanya,” katanya.
Dia nekad berhenti sebagai pensyarah pada 1995 dan mula menganjurkan motivasi pelajar pada tahun berikutnya. Mengambil isterinya, Norsarina Zakaria, 45, sebagai pengurus dan adiknya, Tengku Osman sebagai penolong, Dr Tengku Asmadi mula menghantar risalah mengenai perkhidmatan ditawarkan sekitar Ipoh.
“Pelbagai usaha dilakukan untuk menarik orang mengikuti motivasi yang saya anjurkan. Ketika menghantar risalah dari rumah ke rumah, saya pernah dikejar anjing hingga kasut tercampak. Saya turut membuat panggilan telefon secara rambang dengan nombor telefon yang diperoleh daripada ‘whitepages’ untuk menawarkan kursus motivasi kepada pelajar.
“Alhamdulillah, usaha itu menerima maklum balas positif daripada ibu bapa yang membenarkan anak mereka mengikuti kursus motivasi yang saya anjurkan,” katanya.
Apabila kedudukan syarikat bertambah baik, dia membuat promosi menerusi radio dan sering berulang alik Kuala Lumpur - Ipoh untuk menganjurkan kursus.
Pada 2000, dia diberi peluang muncul di kaca televisyen membicarakan mengenai anak.
“Saya anggap ia peluang keemasan. Untuk muncul 20 minit di kaca televisyen, saya membuat latihan berhari-hari di depan cermin dan isteri. Selepas itu saya diberi peluang muncul selama lapan minggu lagi di program berkenaan,” katanya.
Dr Tengku Asmadi berkata, selepas itu peluang semakin terbuka luas dan berpeluang muncul memberikan motivasi pelajar di hampir semua rangkaian televisyen tempatan.
Kursus motivasi dianjurkan setiap minggu di seluruh negara juga disertai 150 hingga 200 pelajar. Kini daripada kursus motivasi pelajar, Dr Tengku Asmadi mengembangkan khidmat motivasi kepada usahawan dan pekerja.
“Kata-kata seorang guru iaitu tiada kegagalan bagi insan berhati waja, saya jadikan azimat untuk berjaya. Biar apa pun cabaran, tetap saya harungi demi meraih kejayaan. Seorang rakan berkata, dia melihat saya selalu bernasib baik tetapi dia tidak tahu sebenarnya saya berusaha untuk nasib saya jadi lebih baik
iaitu dengan mengulangkaji pelajaran hingga Subuh,” katanya.
Baginya, manisnya kejayaan ialah daripada keperitan dilalui sepanjang perjalanan kerana ia menjadikan siapa kita hari ini dan akan datang.
Dr Tengku Asmadi jenis yang mudah bergaul dan cepat mesra serta tahu asal usulnya. Dia tidak mahu menjadi sombong dan melupakan tangan yang pernah membantu kejayaannya hari ini.
PROFIL
NAMA: Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad
UMUR: 47 tahun
ASAL: Seberang Takir, Kuala Terengganu
JAWATAN: Pengarah Urusan / Perunding Motivasi MAP Trading & Consultancy Sdn Bhd
ISTERI: Norsarina Zakaria dan Tun Nurul Huda Abdul Rahim
ANAK: Tengku Safwan (21), Tengku Suhaila (19), Tengku Syakira (13), Tengku Syazwina Aqeelah (7), Tengku Puteri Qaisara (7), Tengku Sarah Aisyah (4) dan Tengku Imran Daniel (3)
RAMAI generasi muda hari ini tidak nampak tujuan hidup, tiada matlamat, mempunyai masalah sikap dan tiada cara belajar serta jauh daripada agama. Didapati kira-kira 80 pelajar tidak cukup mengerjakan solat lima waktu.
“Program dua hari yang dilaksanakan akan menekankan tujuan hidup, menanam matlamat serta sistem belajar. Remaja perlu faham, hidup ini sebagai ibadah,” kata Dr Tengku Asmadi.
Katanya, dia merancang supaya anaknya mengambil alih syarikat yang diusahakan sejak 15 tahun lalu. Persediaan ke arah itu dibuat apabila anak sulung, Tengku Safwan, 21, mengikuti jurusan pentadbiran perniagaan manakala anak kedua, Tengku Suhaila, 19, melanjutkan pengajian dalam Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL). Ini kerana, dia ingin mewujudkan satu sayap lagi yang bergerak sebagai satu bidang latihan.
Dr Tengku Asmadi turut menurunkan ilmu motivasi kepada anak didik di bawah syarikatnya sebagai pelapis pakar motivasi dan usaha itu didapati membuahkan hasil
“Ketika menunaikan ibadah haji, kakitangan dan jurulatih di syarikat saya mampu menguruskan program dengan baik. Anak didik saya harus klon nada suara, marah dan lawak saya untuk MAP,” katanya yang bercadang memfrancaiskan MAP.
Di bawah Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Malaysia (Tamrin) yang ditubuhkannya sejak dua tahun lalu, Dr Tengku Asmadi berusaha menyatukan syarikat motivasi dengan pakar motivasi senior membantu mereka yang masih hijau dalam bidang itu.
“Dulu tidak ramai mengadakan motivasi, cuma ada beberapa nama terkemuka seperti Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan Shukri Abdullah. Memikirkan mengenai jarak usia, saya terfikir siapa akan mengambil alih jika mereka bersara.
“Kini syarikat motivasi tumbuh macam cendawan. Mereka menganggap syarikat lain sebagai pesaing, tetapi saya cuba satukan kerana kita satu perjuangan, bukan pesaing,” katanya.
Mengenai kehidupan berkeluarga, Dr Tengku Asmadi cuba memperuntukkan masa berkualiti dengan keluarga. Bapa penyayang itu tidak begitu menekan atau memaksa anaknya untuk dapat semua A dalam peperiksaan.
“Saya bukan jenis ibu bapa yang obses untuk anak mendapat semua A , sebaliknya memadai keputusan yang melayakkan mereka masuk universiti.
“Saya mahukan anak seronok menikmati usia remajanya. Saya cuba suburkan minat anak terhadap kecenderungan mereka kerana jika jiwa anak terisi, mereka tidak jadi orang bermasalah,” katanya.
Menurutnya, rumah ialah dunia kecil untuk kita mendedahkan cabaran sebenar anak di dunia besar yang lebih mencabar.
“Jika anak bergaduh, jangan cepat campur tangan. Pandailah mereka selesaikan sendiri kerana tidak sampai beberapa jam, mereka akan berbaik semula,” katanya.
Kini, lebih 100,000 pelajar mengikuti program motivasi alihan pelajar dianjurkannya. MAP mempunyai pejabat di Kuala Lumpur dan Ipoh.
Dr Tengku Asmadi turut membeli pejabat sendiri di Cheras yang akan beroperasi tidak lama lagi.
0 comments:
Post a Comment