Home » » Keberanian 'azimat' Nonee Ashirin

Keberanian 'azimat' Nonee Ashirin

Written By kall on Sunday, 6 March 2011 | 20:02



CEKAL...keyakinan Nonee dapat kepercayaan Turbomeca dari Perancis.

MINAT terhadap teknologi penerbangan mula berputik sejak Nonee Ashirin bersekolah rendah lagi. Buku berkaitan enjin kapal terbang dan helikopter menjadi santapan mindanya.

Melangkah ke sekolah menengah, Nonee acap kali dibawa ayahnya berlegar di ruang udara dengan helikopter. Ayahnya, Datuk Mohd Radzi Manan yang juga ahli Kelab Penerbangan Perak tidak mensasarkan Nonee menjadi juruterbang.


Apa difikirkan Nonee ketika helikopter dipandu ayahnya berlegar-legar di udara hanyalah pengalaman luar biasa.

  • Foto

    CARI INFO...masa terluang diguna Nonee untuk berdiskusi dengan pakar teknikal Hepipartner, Jean Francois.

  • Foto

    HELI LADY...kebanggaan wanita alaf baru.

"Bila di udara, saya rasa seronok, damai dan luar biasa. Tanpa disedari, berada di tempat tinggi menyuntik diri saya untuk jadi berani," katanya.


Sememangnya keberanian itu bak 'azimat' buat Nonee menceburi perniagaan aeroangkasa. Bukan mudah bersaing dalam bisnes berisiko tinggi yang didominasi lelaki, tetapi Nonee membuktikan jantina bukan ukuran, sebaliknya keyakinan, kecekalan jiwa serta pengetahuan mendalam dalam teknologi penerbangan memberi kepercayaan pihak Turbomeca menjalin usaha sama dengan Helipartner Engines (M) Sdn Bhd sejak April 2010.


"Kepercayaan diberi Turbomeca peluang terbaik untuk negara, kerana secara tradisi pihak itu menjalin usaha sama dengan Singapura sejak sekian lama. Kelebihan republik itu sebagai pusat kewangan antarabangsa tidak menghairankan kerana Turbomeca mempunyai kilang di sana.

"Bagaimanapun, kebelakangan ini kita mempunyai kompetitif daripada segi kos, yang mana Singapura semakin mahal. Alternatif lain seperti pengecualian cukai bagi MRO (teknologi penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih diberi kerajaan) menarik pihak luar seperti Turbomeca melabur di sini. Peluang ini seharusnya kita rebut, tetapi tidaklah semudah itu kerana prestasi syarikat kami diaudit pihak Safran di Perancis apakah layak atau tidak," katanya.


Sebagai pusat servis, penyelenggaraan dan perkhidmatan helikopter yang dikira masih 'hijau', Nonee selaku Pengerusi Eksekutif Helipartner menyanjung tinggi kepercayaan Turbomeca, syarikat pembuat enjin helikopter terbesar dunia yang ditubuhkan di Perancis sejak 29 Ogos 1938. Kontrak kerjasama Turbomeca dengan Helipartner bertempoh lima tahun dengan nilai sebanyak RM140 juta.

"Berurus niaga dalam teknologi penerbangan dan aeroangkasa ini begitu teknikal, kena ada 'solid information' untuk meyakinkan pihak yang berminat menawarkan kontrak pada kita.


"Dalam Helipartner, lembaga pengarah kami adalah kalangan berpengalaman rata-rata lebih 15 tahun dalam aeroangkasa, umpamanya Syed Abdul Rahman Alhadad yang mempunyai 30 tahun pengalaman, selama 21 tahun beliau mencurah bakti di Penerbangan Malaysia.


"Bisnes yang saya ceburi ini tidak boleh bergerak sendiri, ia menuntut kerjasama sepasukan untuk berjaya," katanya.


Pendedahan dalam industri penerbangan mula menguji Nonee ketika membantu ayahnya menganjurkan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) pada 1999.


Menariknya, Nonee yang berlatarkan jurusan guaman baru dua tahun kembali ke tanah air ketika itu selepas menuntut di University Of Wolverhampton dan Lincoln's Inn United Kingdom, namun kerana minat dia tidak sedikit pun kekok sepanjang Lima.


"Untuk tempoh tiga tahun pertama, saya mencurah khidmat di firma guaman Mohammad Ali & Co. Saya sukakan cabaran, ini yang mendorong saya terbabit dalam Lima 1999.


"Pendedahan di Lima sungguh bermakna kerana ia beri peluang untuk saya luaskan lagi konteks, sekali gus memberi keyakinan pada saya menjalankan bisnes sendiri melalui penubuhan Unique Globe, seterusnya menyertai Eurocopter Malaysia pada 2002.


"Melalui Eurocopter, saya banyak jayakan pelbagai projek kerajaan, selain terbabit dalam penganjuran Paris Airshow pada 2003," katanya.


Helikopter dengan Nonee bagaikan tidak boleh dipisah, agak menarik bila mendengar ceritanya ada kala terasa mahu makan tengah hari di Langkawi, dia bersama juruterbang cuma mengambil masa satu setengah jam ke pulau peranginan itu.


Jika sebelum ini kita ada 'Iron Lady', tidak salah dengan segala kepakaran dimiliki, Nonee sesuai digelar 'Heli Lady' yang pastinya membanggakan golongan wanita era alaf baru.


Dalam bisnes, Nonee ketika ditemui di Skypark, Terminal 3, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang, meletakkan usahawan tempatan, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary dan usahawan Indonesia, Sandiaga Salaudin Uno sebagai mentor.


"Kita sedia maklum ketokohan Syed Mokhtar, sementara Sandiaga Uno buat saya kagum kerana dalam usia 40 tahun beliau sudah menjadi jutawan," katanya.


Sementara daripada segi prinsip, Nonee berpegang pada apa yang disematkan ibunya, Datin Normah Hanum sekian lama.


"Pesan ibu saya, nawaitu kena betul dalam ada juga kita lakukan. Pastikan usah menipu, kerana menipu kelak menghancurkan nawaitu itu," katanya.


Natijahnya, melihat revolusi aeroangkasa secara global, Nonee mempunyai cita-cita dan impian tersendiri.


"Saya merancang satu hari nanti teknologi aeroangkasa luar dapat dipindah pada rakyat di sini. Melalui perkongsian kepakaran begini, saya yakin kita tidak akan tercicir untuk bersaing dengan negara maju," katanya.



>PROFIL
NAMA PENUH: Nonee Ashirin Datuk Mohd Radzi
LAHIR: 26 Disember 1971
ASAL: Ipoh, Perak
KELUARGA: Kedua daripada empat beradik
JAWATAN: Pengerusi Eksekutif Helipartner Engines (M) Sdn Bhd (sejak 2009)
AKADEMIK: Sekolah Perempuan Methodist Ipoh, LLB (Law) University Of Wolverhampton (1996) & Barrister-at-law Lincoln's Inn (1997) United Kingdom
PENGALAMAN: Firma guaman Mohammad Ali & Co, Pengurus Komunikasi Korporat Le Proton LIMA Sdn Bhd (2001-2004), Pengurus Pembangunan Bisnes & Jualan Eurocopter (M) Sdn Bhd (sektor kerajaan dari April 2004-2007), Ketua Pegawai Eksekutif World Aerospace Sdn Bhd dan Pengarah Pemasaran Unique Globe (M) Sdn Bhd
AKTIVITI: Exco Pro Waris - portfolio pertahanan (sejak 2005), Ahli Promuda (sejak 2001), Ahli Sekretariat Melayu Muda (sejak 2005) dan Ahli Kelab Polo Diraja Malaysia

LATARBELAKANG keluarga membuatkan jiwa Nonee Ashirin membara apabila diajak bual perihal politik tanah air. Majoriti ahli perniagaan lazimnya lebih terarah bersembang untung rugi bisnes mereka, tetapi berbeza dengan Nonee.

Ketika pergolakan politik di Perak meruncing, beliau antara yang bertanggungjawab memanggil beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) bermesyuarat di kediaman ayahnya bagi menangani isu itu.


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitulah dirasai Nonee kerana sebagai anak jati Perak, apatah lagi 'orang kuat' dalam Pro Waris (Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa), Nonee tidak sanggup melihat bangsanya sekadar 'menang sorak, kampung tergadai'.

"Tanah tumpah darah saya hanya satu, sewajarnya saya kena pelihara supaya anak cucu kita tidak melukut di tepi gantang. Kesedaran untuk menangani kemelut politik di negeri saya itu, bukan asing pada saya.


"Ketika belajar di United Kingdom, saya perjuangkan isu semasa bagi pelajar dan di Pro Waris, kami persoalkan mengapa bilangan akauntan Melayu kurang, dan kita keluarkan kertas kerja mencari resolusi dilema itu," katanya.


Sewaktu menuntut di luar negara, Nonee pernah menyandang jawatan Ketua Wanita Kelab UMNO UK & Eire. Sukar untuk Nonee nafikan darah pejuang datuknya, Allahyarham Datuk Ibrahim Abdullah dan ibu saudaranya, Datuk Kamaliah Ibrahim, menjalar di segenap urat sarafnya.

Ketokohan datuknya yang berstatus senator diabadikan Profesor Ramlah Adam melalui biografi Datuk Ibrahim Abdullah, Budi Ditabur Menyokong Nusa.


Malah Yayasan WIBA PRIMA (Yayasan Warisan Ibrahim Bin Abdullah (WIBA), Pembangunan Remaja Islam Malaysia (PRIMA), umpama bekalan generasi akan datang tinggalan datuknya selaku pengasas bersama neneknya, Allahyarhamah Datin Fatimah Abu Bakar, di mana kini yayasan itu dipengerusikan Kamilia. Malah ibu saudaranya itu kini menjawat jawatan Timbalan Ketua Wanita Umno.

Justeru, di mana tumpahnya kuah jelas keterampilan yang ada pada Nonee, lalu tidak hairan menjelang penubuhan Puteri Umno dulu, dia dipelawa Datuk Azalina Othman untuk menggerakkan jentera sayap Umno itu, namun tumpuannya pada rumah tangga dengan keadaannya berbadan dua ketika itu merencatkan cita-cita. Perjuangan politik keluarga kini diteruskan adiknya, Nolee Ashilin, Adun Tualang Sekah.


"Keluarga saya memang keluarga politik, tetapi ayah tidak paksa saya menceburi politik. Yang boleh saya katakan, saya diprogram menjadi peguam. Namun saya bersyukur adik saya meneruskan legasi datuk untuk mencurah bakti pada rakyat, sekali gus mengabadikan diri dalam politik," katanya.


Sekalipun tidak serius berpolitik, Nonee yang menyertai Umno sejak 1990 masih memegang jawatan AJK Wanita Umno Bahagian Kampar sejak 2005 dan Ketua Cawangan Umno Jalan Kampung Gajah sejak 2006.


"Kebelakangan ini saya sibuk. Saya dalam proses melepaskan jawatan ketua cawangan itu untuk memberi tumpuan pada bisnes," katanya.


Jika dalam bisnes, Nonee meletak Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary dan Sandiaga Salahudin Uno sebagai mentor, pemimpin politik dikaguminya pula ialah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


"Ketokohan Tun, dengan ketajaman fikirannya, membuatkan kita sebagai generasi baru bersemangat dan tidak mudah mengaku kalah untuk mencapai apa juga wawasan kita, jelaslah Tun adalah tokoh yang masih disegani," katanya

Oleh ADAM SALLEH