MUKADIMAH
PENGALAMAN berniaga secara sambilan serta kecil-kecilan pada hakikatnya menyediakan satu platform berharga dalam usahanya untuk melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan.
Apatah lagi, menyedari pendapatan yang diperoleh menerusi perniagaan produk perhiasan rumah memberi pulangan yang lumayan meskipun ia bermusim.
Lantaran itu, anak kelahiran Sungai Selisik, Hulu Selangor, Rugaya Abd. Rahman, 41, nekad melepaskan pendapatan tetap sebagai pelayan di sebuah restoran antarabangsa dan memulakan perniagaan pakaian kasual dan santai.
Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, ABDUL FATAH SULAIMAN berkesempatan menemu bual pemilik Twenty Nine Shop ini di kedainya yang terletak di LG 101A, Lower Ground Floor, City Square Centre, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur berkongsi rahsia kejayaannya.
MEGA: Adakah ini perniagaan pertama yang puan ceburi?
RUGAYA: Sebenarnya sebelum wujudnya kedai pakaian Twenty Nine Shop, saya bermula dengan berniaga di pasar Ramadan kira-kira lapan tahun lalu di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.
Pada masa itu, saya menjual perhiasan rumah seperti alas meja, cadar, sampul kotak tisu dan banyak lagi yang diimport dari China. Perniagaan ini memang menyeronokkan kerana permintaannya yang tinggi tetapi sayangnya, ia hanya laris pada musim-musim perayaan.
Jadi saya cuba masuk kompleks Dayabumi dan dari situlah saya mula diperkenalkan dengan perniagaan pakaian yang mana saya lihat masa depannya jauh lebih cerah. Ia tidak bermusim kerana orang sentiasa berkehendak kepada pakaian dan ia tergolong sebagai salah satu keperluan asas manusia.
Di samping itu, ada kenalan yang sanggup memperkenalkan saya beberapa orang pembekal.
Pada 2000, saya dapat menyewa lot pameran di bahagian lobi dan dari situ saya mula serius dengan perniagaan pakaian. Operasi sebegini bertahan selama tiga tahun sebelum kemudiannya menyewa lot kedai yang bertahan sehingga sekarang. Tahun lepas, saya ambil lagi satu lot kedai yang terletak bertentangan dengan lot asal.
Nama Twenty Nine Shop cukup unik, mungkin ada kelainan yang yang ditawarkan kepada pelanggan?
RUGAYA: Yang pasti kedai saya memberi pelanggan berpeluang menemui pelbagai jenis pakaian harian dan kasual dengan harga yang mampu dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat.
Konsep pakaian di kedai ini bukan khas untuk golongan tertentu. Sebenarnya, sesiapa sahaja tidak kira bangsa, agama dan usia boleh mendapatkan pakaian dengan aneka corak, saiz, warna pada harga serendah RM10 hingga RM60.
Pun begitu bersempena dengan nama Twenty Nine Shop, jadi tumpuan saya lebih kepada pakaian yang berharga RM29. Alhamdulillah, sejak bertapak di sini saya telah mempunyai pelanggan tetap. Tambahan pula lokasi kedai begitu strategik kerana berdekatan dengan kawasan pejabat dan orang membeli-belah.
Apakah berniaga barangan asasi ini kurang cabarannya atau sebaliknya?
RUGAYA: Mana tidak ada cabaran, kalau dah namanya bisnes cabaran dan risiko sudah menjadi lumrah orang berniaga.
Mungkin dalam perniagaan pakaian, cabarannya lebih tertumpu kepada modal pusingan, mengikut trend semasa dan berhadapan dengan sifat cerewet pelanggan.
Bagi saya, pelanggan selalunya betul. Secara tidak langsung ia menjadikan saya lebih mengalah dan bertolak ansur dengan karenah pembeli yang pelbagai. Ada ketikanya sikap sebegini ada kebaikannya kerana secara tidak langsung, menjadikan hubungan saya dengan pelanggan semakin erat.
Malah, sikap begini akan menarik perhatian pelanggan yang mana mereka akan cuba memperkenalkan kedai kepada teman-teman yang lain. Ini sekali gus promosi percuma kepada Twenty Nine Shop.
Sebelum ini puan mempunyai pekerja sendiri tetapi apakah kelebihan apabila bisnes dikendalikan bersama suami?
RUGAYA: Alhamdulillah, sejak suami, Mohd. Yassin Mohd. Yusuf membantu sepenuh masa di kedai kerja-kerja menjadi semakin mudah. Malah masa saya tidaklah tertumpu di kedai dari pagi sampai ke malam.
Sekurang-kurangnya bebanan di rumah dan di kedai dapat dikurangkan dan diatur seadil mungkin.
Di samping itu juga ada juga pelanggan yang lebih suka berurusan dengan suami saya. Mungkin cara dia dengan saya berbeza sama ada dari segi cita rasa dan sebagainya.
Sekarang inipun kalau saya hendak tinggalkan kedai, saya tidak perlu risau atau tergesa-gesa untuk pulang kerana dengan adanya suami, kita lebih mengenalinya, mudah dipercayai dan tidak timbul perkara-perkara yang tidak diingini.
Saya juga berterima kasih kepada suami kerana tidak ramai kaum lelaki yang sanggup bersama-sama isteri mengusahakan perniagaan, apa lagi bisnes berkaitan keperluan kaum wanita.
Melihat kesungguhan dan semangat suami sama-sama memajukan bisnes, menyakinkan saya bahawa apa yang dilakukan sekarang ini mampu kekal teguh.
Apakah prinsip yang puan pegang dalam urusan perniagaan?
RUGAYA: Saya berpendapat selagi seseorang itu bekerja kuat, jujur, ikhlas serta sentiasa berdoa dan bertawakal, sudah pasti apa yang diusahakan akan membuahkan hasil serta diberkati Allah s.w.t.
Malah dengan berniaga saya dapat rasakan, kita sentiasa lebih dekat dengan Allah kerana rezeki itu datangnya daripada-Nya. Sebagai manusia kita hanya perlu berusaha gigih, biarpun ada ketikanya keuntungan itu tidak banyak tetapi Allah juga yang mengetahui hikmah di sebalik itu.
Begitu juga dengan kesenangan yang Allah kurniakan, itu juga ada pengajarannya agar kita tidak terus alpa.
Hakikatnya apabila kita bekerja sendiri, harapan kita kepada Allah bertambah tinggi dan ini menjadi satu motivasi untuk terus berusaha dan mengingati-Nya.
Satu lagi yang mendorong saya ialah saranan Rasulullah s.a.w. dalam bidang perniagaan di mana Baginda sendiri adalah tokoh yang terbilang dalam dunia keusahawanan. Begitu juga dengan segelintir para sahabat dan umat Islam sebelum ini.
Mengenai persaingan, saya lebih suka berfikiran positif. Saya tidak mahu ambil pusing sifat sesetengah orang Islam yang tidak membangun dengan sikap hasad dengki, kerana saya lebih suka menjadi kawan daripada lawan. Saya harap dengan sikap sebegini akan menyedarkan mereka bahawa tiada faedahnya berlaku buruk sesama Islam kerana ia akan hanya mengundang dosa.
Apakah perancangan anda seterusnya?
RUGAYA: Saya bercita-cita semoga suatu masa nanti Twenty Nine Shop membuka cawangannya di tempat-tempat lain, insya-Allah.
Selain itu, saya juga berharap apa yang diusahakan dari kosong ini akan terus kekal menjadi perniagaan keluarga suatu hari kelak.
Saya tidaklah terlalu berkeyakinan tetapi saya percaya dengan kesungguhan dan keazaman, apa yang diharapkan akan tercapai.
Bagi mereka yang berminat mengajukan sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi saya di talian 012-3980 114.
Home »
Pengalaman Usahawan
» Twenty Nine Shop
0 comments:
Post a Comment