Home » » Jaharah bukti wanita mampu usahakan bas

Jaharah bukti wanita mampu usahakan bas

Written By kall on Friday, 20 July 2007 | 21:31

Mustika Enterprise rancang perluas khidmat KK city Bus ke Labuan, Sandakan dan Tawau

OPERASI `KK City Bus' di Kota Kinabalu bukan saja memajukan perkhidmatan pengangkutan awam, malah lebih membanggakan 80 peratus pegangan saham pemilik syarikat Mustika Enterprise Sdn Bhd (Mustika) dikuasai wanita.

Malah, daripada jawatan tertinggi ketua eksekutif (CEO) sehingga pekerja am seperti konduktor, ia turut memperlihatkan pembabitan wanita secara menyeluruh.

CEO Mustika, Jaharah Patimbangi, sanggup meninggalkan kerjaya profesional sebagai peguam untuk beralih angin menjadi pengusaha pengangkutan awam di Bandaraya Peranginan Semulajadi yang agak ketinggalan berbanding bandar raya lain di Malaysia.

Ibu empat anak berusia di antara lapan hingga 19 tahun itu mengakui, sudah mengurangkan kegiatan guaman dan hanya terbabit dengan kes lama yang memerlukan pembabitan beliau secara langsung.

"Saya bukan bosan menjadi peguam tetapi minat dalam bidang pengangkutan awam semakin menebal, ditambah pula mahu melihat kemajuannya di Kota Kinabalu setanding bandar raya lain.

“Ramai rakan saya terutama di kalangan peguam wanita dari Semenanjung yang datang ke Kota Kinabalu menggalakkan saya menceburi sektor perkhidmatan pengangkutan awam yang dilihat sebagai perniagaan berpotensi besar.

"Mereka memberi pelbagai idea termasuk menyediakan bas moden setanding di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang," katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.

Jaharah adalah anak pemandu teksi yang sememangnya terdedah kepada pengangkutan awam sejak kecil. Justeru, tidak hairan jika beliau sendiri memahami apa yang perlu disediakan atau dikehendaki penumpang.

Ketika ini, Mustika Enterprise Sdn Bhd memiliki enam bas berhawa dingin dengan setiap sebuah kapasiti 36 penumpang serta dikawal selia menggunakan sistem satelit.

Penulis sendiri sempat menaiki kenderaan awam itu dari Sutera Habour Resort ke Taman Indah Permai dan layanannya ternyata mesra pelanggan.

Syarikat itu merancang memperluaskan perkhidmatan ke Labuan serta dua bandar besar di Sabah iaitu Sandakan dan Tawau, selain menambah bas untuk perkhidmatan di ibu negeri.

Modal permulaan syarikat itu adalah RM400,000 dan mendapat pinjaman sebanyak RM3 juta daripada Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (Bank SME).

Jaharah berkata, peringkat awal beliau hanya memiliki beberapa bas mini yang beroperasi jarak dekat dari Putatan dan Tanjung Aru ke bandar raya Kota Kinabalu dan sebaliknya.

Katanya, perbincangan dengan beberapa rakan wanita dari seluruh Sabah memberi ilham kepada mereka untuk menubuhkan Mustika dan beliau dilantik sebagai CEO syarikat itu.

"Kami sedang mencari pemandu bas wanita tetapi dalam beberapa siri temu duga, tiada yang membuat permohonan," katanya.

Mengenai cabaran, Jaharah berkata ada pengusaha pengangkutan awam melaporkan kepada pihak berkuasa kononnya perkhidmatan mereka tidak mematuhi laluan ditetapkan dan menawarkan tambang murah.

Katanya, syarikat mereka mematuhi undang-undang dan keadaan itu berlaku kerana pengusaha pengangkutan awam sedia ada belum memahami perkhidmatan disediakan.

"Kami yakin masalah ini akan dapat diatasi sedikit demi sedikit bertepatan matlamat asal kami untuk memantapkan sektor pengangkutan awam di bandar raya Kota Kinabalu, bukan menyaingi sesiapa" katanya.

0 comments: