Home » » Siti Ropiah tokey coklat

Siti Ropiah tokey coklat

Written By kall on Friday, 20 July 2007 | 09:11


Penglibatan dirinya dalam dunia perniagaan pada mulanya adalah sekadar hobi. Penjualan kuih-muih hanya untuk kenalan terdekat semasa hari lebaran. Namun ia mula menimbulkan minat apabila kuih-muih yang dibuat mendapat permintaan yang tinggi dengan rasa resipi yang enak bercoklat.

Atas kesedaran itu, Pengarah Urusan Dazzle Food Enterprise, Siti Ropiah Hambali berpendapat perniagaan kuih dan coklat mempunyai prospek yang tinggi untuk dimajukan.

Wartawan Utusan MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK dan jurufoto, AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN berpeluang berkongsi pengalaman dengan pengusaha bumiputera berjaya ini, baru-baru ini.

MEGA: Kenapa nama Dazzle menjadi pilihan nama syarikat dan produk?

SITI ROPIAH: Dazzle menjadi pilihan kerana ia mempunyai nama komersial serta mempunyai tarikan untuk dipasarkan. Buat masa ini produk coklat kami mendapat sambutan menggalakkan.

Para pengedar dan pengeluar juga bekerjasama memastikan Dazzle mendapat tempat di pasaran tempatan dengan bersaing dengan produk-produk coklat terkemuka lain di premis-premis terpilih.

Dazzle juga adalah syarikat usahawan bumiputera yang kini berdaya saing dalam pasaran global untuk memastikan produk coklat ini mempunyai variasi kepelbagaian dari segi permintaan dan penawaran.

Namun usaha itu didokong kerjasama baik syarikat dan Lembaga Koko Malaysia yang banyak membantu memberi tunjuk ajar dan bantuan sehingga syarikat dapat berdiri kukuh sebagaimana kini.

Perjuangan kami berhasil setelah beberapa tahun kajian dan penyelidikan dijalankan oleh syarikat dalam memperkembangkan sayap perniagaan dengan lebih berkesan.

Apakah faktor yang mendorong syarikat untuk mengeluarkan produk coklat dan bila ia bermula?

SITI ROPIAH: Pada mulanya, saya hanya melakukan untuk suka-suka di rumah dan menerima tempahan daripada kenalan rapat. Namun apabila mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai saya berjinak-jinak dalam bidang pembuatan makanan berorientasikan coklat.

Pada ketika itu, saya bukan hanya mengeluarkan produk coklat tetapi menerima tempahan untuk membuat kuih-muih dan biskut terutamanya pada musim perayaan.

Sasaran hanya untuk keluarga dan kenalan terdekat. Lagipun ia diusahakan secara sambilan dan tidak pernah terfikir untuk menceburi perniagaan ini. Namun atas minat dan desakan para pelanggan yang sukakan kuih raya berasaskan coklat, timbul idea untuk membuka perniagaan ini.

Alhamdulillah berkat kesabaran, saya mengikuti kursus anjuran badan-badan kerajaan khususnya seminar untuk melahirkan usahawan industri kecil sederhana. Hasil pengalaman dan teknik pembelajaran ini, saya membuka perniagaan coklat secara sepenuh masa.

Selain itu siapa pendorong utama dalam mengusahakan perniagaan ini?

SITI ROPIAH: Suami dan anak-anak adalah individu yang banyak membantu malah memberi sokongan kepada saya bergelar usahawan. Mereka memahami minat saya dalam pembuatan kuih- muih dan coklat ini.

Salah seorang anak saya adalah siswazah dalam bidang pembuatan makanan dan tiada masalah bagi saya untuk meneruskan perniagaan ini. Saya bersyukur kepada Allah yang memberi saya dan anak-anak kekuatan untuk berusaha lebih tekun untuk menjayakan perniagaan ini.

Tanpa dorongan dan sokongan mereka sudah pasti saya kecundang kerana banyak cabaran dan pahit maung yang banyak saya lalui sebelum sampai ke tahap ini.

Apakah pendekatan yang digunakan oleh syarikat dalam memasarkan produk coklat Dazzle ini?

SITI ROPIAH: Buat masa ini, syarikat dalam proses untuk menambah baik pengeluaran produk. Saya dan ahli keluarga sedang merancang memasarkan produk ini di semua peringkat sekolah sehingga ke pasar raya terpilih.

Dalam pada itu, syarikat merangka untuk memasarkan secara berkesan melalui persidangan dan pameran-pameran anjuran daripada badan-badan kerajaan atau swasta. Syarikat turut melantik perunding imej produk untuk merancang perkembangan pemasaran serta produk baru. Malah syarikat bukan hanya memfokuskan kepada pemasaran tetapi bagaimana memikat hati pengguna di samping mengeluarkan produk coklat yang mempunyai variasi dari segi rekaan dan saiz serta halal.

Itulah kelebihan syarikat ini kerana bahan-bahan kandungan yang digunakan mendapat kelulusan serta piawaian halal 100 peratus.

Selain itu apakah pendekatan syarikat bagi mengekalkan permintaan di pasaran?

SITI ROPIAH: Kami masih memerlukan sokongan kerajaan khususnya membantu syarikat memberi pinjaman dan peralatan yang baru untuk digunakan. Ini kerana perniagaan yang dijalankan merupakan perniagaan keluarga dan dibuat secara kecil-kecilan.

Kami juga mempelbagaikan teknik pembungkusan coklat mengikut kesesuaian pasaran. Syarikat bukan sahaja mengeluarkan produk coklat tetapi memfokuskan kepada teknik pembungkusan untuk cenderamata perkahwinan, majlis korporat dan hari raya.

Buat masa ini, syarikat menjalin kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan bagi mendapatkan tender atau ruang-ruang perniagaan tertentu. Namun pada itu, strategi pemasaran kini disusun berdasarkan permintaan khususnya untuk memasarkan produk Dazzle ke luar negara.

Apakah perancangan syarikat untuk 10 tahun akan datang?

SITI ROPIAH: Syarikat bercadang menerokai perniagaan di peringkat antarabangsa, namun perkara itu memerlukan modal dan ruang yang besar. Cita-cita dapat dilaksanakan di dalam pasaran tempatan terlebih dahulu.

Dalam tempoh itu, syarikat memperteguhkan impiannya untuk membuka sebuah kilang. Itu masih dalam peringkat perancangan untuk menembusi pasaran asia tengah terlebih dahulu.

Apakah etika yang digunakan pakai oleh syarikat khususnya dalam perniagaan ini?

SITI ROPIAH: Pertama saya lebih menyerapkan pendekatan berkonsep perniagaan Islam. Soal kebersihan diserapkan pada kakitangan dan ruang operasi kilang supaya ia berteraskan kepada persekitaran yang suci di samping menjaga kualiti dan mutu produk yang dihasilkan.

Buat masa ini ruang operasi akan diperbesarkan untuk menampung tempahan yang banyak sebelum menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Apakah nasihat kepada usahawan wanita yang berminat menceburi bidang ini?

SITI ROPIAH: Mereka harus mempunyai keyakinan yang tinggi serta berusaha untuk memajukan diri dan keluarga. Faham dan belajar terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan.

Perasaan hormat kepada pelanggan menjadi aset kerana mereka merupakan pengguna dan pencetus kepada kejayaan syarikat. Tanpa pengguna sudah pasti produk sukar untuk menembusi pasaran. Pastikan modal mencukupi sebelum membuka perniagaan.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarikat Dazzle Food Enterprise boleh menghubungi talian 019-3369040 atau 03-90217955.

0 comments: