PERJALANAN dari Kuala Lumpur ke Puncak Mutiara Cafe yang terletak di Kampung Pelet, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dirasakan sangat berbaloi apabila kru Jurnal dihidangkan dengan pemandangan indah restoran ala resort tersebut.
Sangkaan restoran tersebut seperti sebuah kandang kambing yang diselubungi bau yang kurang menyenangkan ternyata meleset. Sebaliknya kebersihannya boleh dibanggakan malah suasananya begitu menenangkan.
Selain restoran dan pusat ternakan kambing, kawasan berkonsepkan agropelancongan seluas lima hektar milik Mutiara Kristal Corporation Sdn. Bhd. itu juga mempunyai sebuah pusat ternakan haiwan, kolam memancing dan dusun buah-buahan.
Menurut pemiliknya, Datuk Abd. Halim Ahmad, penggunaan teknologi mikroorganisma efektif (EM) iaitu sejenis bakteria baik yang membantu mengurangkan bau di kandang kambing. Pihaknya juga sangat mementingkan tahap kebersihan kandang dengan melakukan kerja pembersihan sebanyak dua kali sehari.
Beritahu beliau, cecair EM akan dicampurkan ke dalam air minuman binatang ternakan manakala semburan di sekitar kawasan kandang dilakukan seminggu sekali.
"Saya bermula dengan menternak kambing pada tahun 2004. Selepas dua tahun, kami membesarkan lagi perniagaan dengan membuka sebuah restoran.
"Idea ini sebenarnya datang daripada pelanggan yang mahukan sebuah restoran dibuka untuk mereka beristirahat dan menjamu selera tanpa perlu ke lokasi lain selepas selesai melakukan urusan jual beli kambing.
"Apabila difikirkan kembali, tidak salah kita membuka sebuah pusat sehenti yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelanggan," ujarnya sambil memberitahu, ada pelancong dari luar negara yang secara berseloroh mahu tidur di kandang kambing itu kerana persekitarannya yang bersih.
Tambah Abd. Halim, pada awal pembukaannya, sebanyak empat buah pondok ditawarkan kepada pelanggan yang datang dalam kumpulan kecil.
Ujarnya, restoran yang boleh memuatkan sehingga 1,600 tetamu pada satu-satu masa itu menawarkan lebih 200 menu makanan dan minuman.
"Bermacam-macam jenis hidangan dapat disediakan sama ada makanan ala kampung, Thai, Barat mahupun Cina. Begitupun, menu berasaskan daging kambing adalah yang paling digemari di sini.
"Kami juga akan menyediakan menu baharu pada setiap bulan bagi memberikan pilihan kepada pelanggan," katanya yang turut menawarkan menu telur burung unta mengikut musim.
Kolam memancing
Jelasnya, keunikan kawasan itu terletak pada pusat ternakan kambing yang sememangnya sudah terkenal di daerah itu.
"Disebabkan keunikan itu jugalah, kami menamakan setiap pondok makan di restoran ini berdasarkan nama baka kambing seperti Boer, Jamnapari, Dopper, Faral, Kalahari, Saanen dan Kadjang.
"Terdapat 200 buah pondok dan pelanggan boleh memilih untuk menjamu selera di pondok, di tepi kolam renang atau di dewan yang dikhaskan untuk majlis tertentu seperti perkahwinan, sambutan hari lahir atau majlis makan malam," ujarnya sambil memberitahu, lingkungan harga menu makanan dan minuman bermula dari RM1 hingga RM600.
Tambahnya, pihaknya memberi tambah nilai kepada kawasan itu kerana selain menjamu selera, pelanggan juga berpeluang melakukan aktiviti lain seperti memancing atau membuat lawatan ke pusat ternakan haiwan.
Beritahu beliau, bermacam-macam jenis ikan seperti baung, patin, rohu, pacu, haruan dan puyu boleh didapati di kolam memancing dengan kadar bayaran RM50 bagi tiga jam memancing.
"Pelanggan dibenarkan memilih sama ada untuk membawa balik hasil tangkapan mereka atau dimasak oleh cef restoran. Caj untuk masakan dikenakan mengikut jenis ikan iaitu antara RM15 hingga RM20.
"Kami juga turut mengadakan pertandingan memancing. Selain itu, pelanggan akan dibawa ke dusun buah-buahan bagi menikmati buah durian, rambutan, sentul, mangga, anggur dan nangka khususnya pada musim buah," ujarnya yang turut menyediakan kemudahan kolam renang dengan kadar bayaran RM8 untuk sekali masuk.
Bayar guna kad
Beritahu beliau, melihatkan kesukaran pelanggan membuat bayaran selepas selesai menjamu selera, beliau mewujudkan satu sistem pesanan dan bayaran menggunakan kad.
"Pada awal perniagaan dahulu, kami mengamalkan sistem manual dengan pesanan yang dibuat oleh pelanggan akan dicatat di atas sehelai kertas yang dibahagikan kepada lapan item berlainan.
"Tetapi sejak tahun 2008, kami memakai sistem kad elektronik kerana ia lebih mudah.
"Sistem yang menelan kos pemasangan sebanyak RM100,000 itu merupakan idea isteri saya, Datin Safiah Mat Nasir yang mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi maklumat," ujarnya yang dibantu seramai 120 orang kakitangan.
Katanya, pelayan akan mencatatkan pesanan pelanggan dan kemudiannya setiap pesanan makanan dan minuman itu akan direkodkan di dalam kad tersebut. Pelanggan hanya perlu memberikan kad itu kepada juruwang apabila membuat pembayaran.
"Pelayan juga tidak perlu bersusah payah untuk mengingati nombor meja pelanggan kerana menerusi sistem kad ini, setiap pesanan dihubungkan terus kepada bahagian yang terlibat.
"Malah, pelanggan juga hanya perlu menekan butang yang disediakan di setiap ruang makan untuk memanggil pelayan restoran," beritahu beliau yang mengamalkan konsep dapur terbuka bagi membolehkan pelanggan menyaksikan sendiri cara operasi di dapur.
Ujarnya, setiap perniagaan pasti ada cabarannya. Beliau juga tidak terkecuali apabila idea untuk mengetengahkan konsep agropelancongan terbabit menerima pandangan negatif.
"Pada mulanya ada individu yang mempertikaikan lokasi restoran ini tetapi saya tidak mempedulikannya kerana percaya keunikan persekitaran yang ditawarkan.
"Malah, ada juga yang cuba meniru resipi yang kami tawarkan tetapi sudah tentu rasanya berlainan.
"Tetapi saya menganggap itu sebagai satu persaingan yang sihat selagi kita boleh mengekalkan konsep sebenar yang dibawa," tambahnya yang menyediakan kemudahan penghantaran untuk pelanggan yang tinggal di sekitar Kulim, Seberang Perai dan Kepala Batas dengan pembelian minimum sebanyak RM50.
Beritahu beliau, pihaknya juga merancang untuk membangunkan 10 buah inap desa dan zoo mini selain membuka cawangan di Kelantan dan Selangor. Beliau turut bercadang mewujudkan peluang francais.
Seorang pelanggan, Zuraidah Mohamed Isa, 34, memberitahu, beliau berkunjung ke restoran itu sejak tahun 2008 lagi untuk mengadakan majlis istimewa.
"Kawasan ini terkenal dengan pusat ternakan kambing.
"Persekitarannya juga sangat santai dan menyenangkan, malah kesemua menu sungguh istimewa serta jarang diperoleh di restoran lain," ujar ibu kepada empat orang anak ini.
0 comments:
Post a Comment