Home » » Kambest best

Kambest best

Written By kall on Monday, 9 December 2013 | 12:45

BERADA dalam zon selesa membuatkan ramai yang tidak berani mengambil risiko untuk mencabar diri melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak dan kemampuan mereka.
Begitu juga dengan dua figura yang mempunyai karier idaman dalam lapangan masing-masing. Dunia korporat menjadi pilihan Mawarni Hassan, 51, manakala Muhd. Huzaimi Razhi, 31, selesa menyarung jubah peguam.
Namun demikian, tidak mahu berada dalam takuk yang sama, mereka mengambil langkah drastik dengan melepaskan jawatan sedia ada untuk menceburi kerjaya lain iaitu sebagai seorang usahawan.
Bagi Muhd. Huzaimi, keputusan bertukar kerjaya tersebut mengambil masa panjang untuk dipertimbang secara mendalam.
“Pada awalnya, ia sangat mencabar kerana kerjaya baharu itu berbeza dengan dunia guaman. Saya bertekad untuk serius dalam bidang perniagaan pada tahun 2010,” katanya yang kini mengambil alih syarikat milik keluarganya, Perfect Agro (M) Sdn. Bhd. (Perfect Agro)
Syarikat itu menceburi pemasaran dan dagangan produk hiliran yang berasaskan aktiviti penternakan kambing dan bebiri.
Walau berat hati, dia percaya segala yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri. Bagi mendapatkan pengetahuan terperinci mengenai haiwan itu, Muhd. Huzaimi ke negara sebarang untuk mempelajari segala aspek yang berkaitan .
“Usaha pencarian itu banyak mengajar saya tentang dunia perniagaan dan kehidupan,” imbasnya yang pernah bekerja di sebuah firma guaman selama tiga tahun.
Dia menambah, melalui hasil kajian yang dilakukan, dia mendapati penternakan kambing mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan ke industri makanan.
Mempunyai tiga buah ladang kambing dan bebiri di Kedah, Perak dan Selangor, syarikat yang diasaskan oleh Datuk Razhi Yahaya itu kemudiannya melebarkan sayap perniagaannya dengan menceburi bidang pembuatan dan pemprosesan makanan.
“Kami meluaskan bidang perniagaan melalui penghasilan produk makanan berasaskan kambing di bawah jenama KamBest,” kongsi graduan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi Mara itu kepada Kosmo! baru-baru ini.
Ubah persepsi
Jenama KamBest merupakan rangkaian makanan sejuk beku yang berasaskan daging kambing termasuk burger oblong Chevon, frankfurter Chevon dan burger bulat Chevon yang dijual di pasar raya besar Mydin di seluruh negara.
Sambutan pasaran yang memberangsangkan telah membuka ruang perniagaan baharu kepada Perfect Agro dengan memperkenalkan kios burger yang menggunakan produk KamBest.
“Melalui kios tersebut, ia membuka peluang perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil. Mereka hanya perlu memilih salah satu daripada tiga pakej yang ada dan kami akan menyediakan segala bahan-bahan yang diperlukan,” jelas Muhd. Huzaimi.
Terdapat tiga pakej kios iaitu KamBest Silver, KamBest Gold dan KamBest Platinum yang ditawarkan dari harga RM6,000 seunit dan dibezakan melalui bentuk kios, peralatan dan kuantiti bekalan produk KamBest yang disediakan.
Diperkenalkan pada pertengahan tahun 2010, kini terdapat 16 buah kios KamBest yang diberikan kepada peserta Program Peningkatan Pendapatan (3P). Ia disertai oleh penduduk miskin tegar dengan tujuan membantu ekonomi kehidupan mereka selain mengubah persepsi pasaran mengenai daging kambing.
Keluar kepompong
Meninggalkan dunia korporat pada tahun 2011, Mawarni optimis dengan kerjaya baharunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Vanity Cosmeceutical Sdn. Bhd. (Vanity Cosmeceutical) , sebuah syarikat bumiputera yang mengeluarkan rangkaian produk penjagaan diri berjenama Cosmoderm. Ia merupakan antara produk halal terawal dalam pasaran yang dikilang di Malaysia.
Produk tersebut jelas beliau menggunakan tumbuh-tumbuhan dan produk sintetik yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Bidang kerja saya sebelum ini fokus kepada latihan dan motivasi pekerja. Sering saya menasihatkan mereka untuk keluar dari kepompong dan mencuba sesuatu yang baharu.
“Sampai satu tahap, saya sendiri terfikir untuk melakukan sesuatu yang di luar dari tugas harian,” ujar Mawarni.


Ketika mengambil alih syarikat itu pada tahun 2011, Mawarni mendapati ruang niaga produk Cosmoderm hanya berlingkar dalam margin yang sederhana tetapi mempunyai pelanggan setia.
“Selama sedekad, Cosmoderm dijual di farmasi-farmasi tempatan dan buat seketika, menerusi jualan langsung. Pada hakikatnya ia mempunyai potensi untuk dikembangkan ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diterima sejak tahun 2005 untuk lebih 50 rangkaian produk Cosmoderm merupakan faktor utama keyakinan wanita itu terhadap jenama tersebut.
Justeru, Mawarni telah merekrut pasukan pengurusan pemasaran yang muda, bertenaga dan berdedikasi untuk mengukuhkan jenama Cosmoderm agar dapat diperluaskan ke peringkat yang lebih tinggi.
Salah satu kaedah pemasaran yang dilakukan Mawarni adalah meningkatkan penggunaan teknologi maklumat yang mudah mendapat perhatian pelanggan-pelanggan baharu.
Sebagai permulaan, dia menggunakan laman sosial, Facebook sebagai medium komunikasi dan promosi bersama pelanggan.
“Pelanggan hari ini lebih gemar mencari maklumat menerusi laman-laman web atau sosial. Disebabkan itu, penting untuk syarikat mempunyai maklumat-maklumat tepat dan memberi maklum balas yang pantas, di samping memberi konsultasi kepada pengguna,” jelasnya mengenai strategi untuk menambat hati pelanggan itu.
Pusat sehenti
Pertemuan bersama portal DagangHalal ketika menghadiri satu persidangan perdagangan antarabangsa dua tahun lalu, membawa sinar baharu kepada perniagaan Vanity Cosmeceutical.
“Portal itu menyediakan platform perniagaan yang luas kepada kami. Melalui pembinaan pautan laman web rasmi syarikat, ia kini boleh diakses oleh pelanggan dan pengeluar seluruh dunia. Malah, Vanity Cosmeceutical telah mengeksport produk Cosmoderm ke Lebanon berdasarkan komunikasi melalui portal DagangHalal” jelas beliau.
Kini Cosmoderm didapati di 1,000 buah farmasi di seluruh negara termasuk rangkaian Guardian dan Vitacare serta mengorak langkah ke negara-negara ASEAN lain seperti Brunei dan Singapura serta pasaran di Timur Tengah.
Ditubuhkan pada tahun 2007, portal DagangHalal telah menjadi pusat sehenti kepada pembeli dan pengilang produk dan perkhidmatan halal seluruh dunia. Ia berperanan dalam memberikan khidmat nasihat kepada pengilang dari segi pemasaran dan penyediaan platform perniagaan menerusi internet.
Sebagai contoh, pembeli dari Australia yang mencari daging lembu halal di Malaysia akan mencari pembekal yang mempunyai sijil halal daripada pihak berkuasa agama tempatan. Melalui maklumat syarikat dan pautan portal DagangHalal, proses pencarian itu bertambah mudah.


“Sekiranya pembeli bersetuju dengan proses pembelian, mereka boleh mendapatkan kesahihan yang penjual mempunyai sijil halal tersebut menerusi portal DagangHalal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DagangHalal (DagangHalal), Mohamed Hazli Mohamed Hussain dalam satu pertemuan bersama Kosmo!.
Setakat ini, portal itu mempunyai lebih 13,793 produk daripada 2,804 syarikat pembekal.
“Oleh yang demikian, kami mengambil berat terhadap syarikat-syarikat yang ingin menyertai DagangHalal. Ini jelas memandangkan terdapat syarikat yang masih kurang bersedia untuk dibawa ke pasaran global,” jelasnya.
Mohamed Hazli menambah, produk yang ingin dipasarkan ke peringkat antarabangsa mesti melengkapi piawaian yang telah ditetapkan, termasuk mempunyai pembungkusan yang menarik.
DagangHalal pernah mengikuti beberapa pameran produk halal di serata dunia antaranya di China, Jerman, Brunei, Perancis dan Thailand.
Pasaran dagangan barangan halal yang meningkat saban tahun perlu direbut oleh pengusaha-pengusaha tempatan.
Berdasarkan statistik Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), jumlah dagangan produk halal Malaysia yang menembusi pasaran dunia pada tahun lalu mencatatkan angka RM33 bilion. Ia mencakupi permintaan 1.8 bilion pengguna barangan dan servis halal seluruh dunia.
Dijangkakan pasaran eksport barangan halal Malaysia akan meningkat RM60 bilion pada tahun 2020.

0 comments: