Home » » Usahawan kek dari rumah

Usahawan kek dari rumah

Written By kall on Saturday, 30 November 2013 | 06:58

Ramai wanita bercita-cita bergelar usahawan kerana melihat dunia tersebut sebagai 'lubuk' meraih kekayaan.

Namun, cita-cita tanpa usaha tidak membawa ke mana apatah lagi bukan mudah untuk muncul sebagai usahawan jika tiada wawasan dan perancangan yang betul.
Tidak kira sama ada perniagaan itu secara kecil-kecilan mahupun bernilai jutaan ringgit, beberapa aspek asas yang penting dalam dunia keusahawanan perlu diambil kira.
Pengurus Armacademy, Siti Aishah Zulkifli Ramond berkata, untuk menjadi seorang usahawan tidak kira apa juga jenis perniagaan yang diceburi, beberapa kemahiran dan perancangan yang betul diperlukan supaya perniagaan yang dijalankan maju serta berkembang mengikut perancangan.
Ketika ini katanya, salah satu cabang perniagaan yang boleh dimulakan dengan skala kecil tetapi berpotensi besar dan semakin mendapat perhatian terutama golongan wanita ialah menjual kek terus dari rumah.
"Walaupun hanya menjual kek dari rumah, tetapi para peniaga ini juga perlu mempunyai ilmu dan cara untuk memasarkan jualan kepada pelanggan.
"Berdasarkan pengalaman, sebahagian daripada peniaga kek ini,sama ada yang bekerja secara sambilan mahupun sepenuh masa mereka mempunyai kekurangan dari segi perancangan dan pengurusan perniagaan mereka.
"Melalui beberapa seminar yang pernah saya jalankan khusus untuk usahawan kek dari rumah, sebahagian daripada mereka saya dapati tidak mempunyai ilmu biarpun pada perkara-perkara asas seperti mengira kos sebenar dan kos bahan mentah untuk menghasilkan produk mereka," katanya pada Seminar Intensif Usahawan Bakeri di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Seminar sehari anjuran Bzee Bakery dengan kerjasama Armacademy itu, bertujuan membantu usahawan yang berniaga kek terus dari rumah mahupun usahawan-usahawan yang sudah lama bertapak dalam dunia bakeri meraih pendapatan lebih lumayan melalui pengurusan yang betul.
Menurut Siti Aishah, seringkali kedengaran rungutan para usahawan apabila perniagaan yang dijalankan tidak mencapai sasaran dan keuntungan yang diinginkan malah sesetengahnya menanggung kerugian sehingga tidak mampu bertahan lama.
Keadaan itu katanya, ekoran kegagalan usahawan berkenaan memahami perkara-perkara asas dalam perniagaan membuatkan perniagaan tidak dapat diurus dengan baik.
Antaranya, seseorang usahawan itu harus mempunyai matlamat yang jelas dalam perniagaan yang ingin dijalankan, pengurusan waktu yang betul, mengetahui cara untuk menjadi pembekal dan sentiasa mengutamakan kepuasan pelanggan terhadap produk jualan mereka.
"Sebahagian usahawan memulakan perniagaan kek dari rumah berdasarkan minat mereka terhadap pekerjaan itu dan ingin menambah pendapatan sampingan. Biarpun mereka mempunyai kepakaran dalam pembuatan kek tetapi dari segi pengurusan lain mereka tidak mempunya ilmu yang meluas.
"Contohnya, dari segi meletakkan harga untuk sebiji kek yang dijual kepada pelanggan. Ada antaranya tidak tahu harga sebenar kek tersebut, sebaliknya mengikut harga jualan daripada rakan-rakan lain menyebabkan mereka menjual pada harga yang terlalu mahal dan terlebih murah.
" Walaupun nampak kecil permasalahan ini tetapi menentukan harga tetap untuk produk yang hendak dipasarkan turut memberi kesan kepada pelanggan," ujarnya yang mempunyai pengalaman selama 13 tahun bekerja dengan syarikat-syarikat perniagaan besar.
Tambahnya, daripada segi kos pembelian bahan-bahan mentah juga perlu diambil kira semasa membuat belanjawan supaya kos yang dikeluarkan tidak melebihi modal lantas menyebabkan berlaku pembaziran.
Mengenai seminar intensif tersebut, Siti Aishah, berkata, para peserta akan mempelajari beberapa teknik dan kemahiran penting dalam menguruskan perniagaan mereka.
"Kesemua modul yang digunapakai dalam program ini saya hasilkan sendiri berdasarkan pengalaman saya yang pernah terlibat dalam bidang keusahawanan.
"Antara input yang dimuatkan ialah tentang penyediaan standard of procedure (SOP), pengiraan kos produk, merancang jualan, merancang pesanan bahan mentah dan sasaran pasaran.
"Selain berkongsi ilmu, seminar ini juga bertujuan mengumpulkan semua usahawan bakeri dalam satu kumpulan kecil," katanya.


0 comments: