JIKA melihat kepada reka bentuk kek yang dihasilkan oleh Dill Cakes, pasti timbul kekaguman terhadap daya kreatif serta ketelitian perekanya yang sudah pasti seorang yang profesional.
Selepas mencuba rasanya yang seimbang antara kek dan krim atau fondan, yang tidak terlalu manis dan lembut, sudah pasti juga anda mahu merasanya lagi.
Kreativiti dan keenakan kek Dill Cakes kini menjadi pilihan serta sebutan ramai terutamanya pelanggan di dalam Internet.
Walaupun lazimnya wanita yang lebih ramai terlibat dengan perusahaan kek, Dill Cakes menampilkan daya usaha seorang lelaki iaitu Fadzil Md. Salleh yang sudah berpengalaman lebih 10 tahun.
Cerita Fadzil, pada awal membuka perniagaannya, ramai kalangan pelanggan tidak menyangka kek yang dihasilkan adalah hasil sentuhan tangannya mungkin kerana tanggapan klise yang mengaitkannya dengan wanita.
Tambah mengagumkan, Fadzil yang hebat menghasilkan kek tiga dimensi itu sebelum giat menguruskan perniagaannya Dill Maju Enterprise ialah seorang pemuzik atau tepatnya pemain gitar kumpulan yang terkenal sekitar 1990-an iaitu Metropolitan yang terkenal dengan lagu Kau Boleh dan Di Sebalik Rahsia Cinta.
Lagu Kau Boleh sering berkemundang di corong radio dan disiarkan di kaca televisyen terutamanya ketika Rashid Sidek menjulang Piala Thomas pada 1992.
"Ramai terutamanya rakan-rakan yang terkejut dengan perubahan 360 darjah saya, daripada seorang pemuzik yang mengelilingi dunia menghiburkan orang ramai, kini menjadi pembuat kek.
"Saya umpamakan perubahan ini macam orang yang sudah membuat keputusan untuk berhenti merokok. Jika dia mahu berhenti, dia boleh berhenti sekelip mata asalkan ada tekad.
"Kita perlu jadi seperti air yang mudah dibentuk mengikut bekasnya, bukannya batu yang keras.
"Sekarang, membuat kek adalah pekerjaan saya dan bermain muzik pula sekadar hobi waktu lapang," ujarnya ketika ditemui di kedainya yang terletak di Shah Alam.
Bermula di kampung halaman, mereka kemudian sering membuat persembahan di hotel-hotel seluruh negara.
Sekitar hujung 1990-an, rezeki mereka terbuka luas apabila dilamar Sony Music Entertainmnet (M) Sdn. Bhd. untuk menjadi artis naungan mereka dengan menggunakan nama kumpulan Metropolitan yang dianggotai enam orang.
Antara lagu yang menaikkan nama Metropolitan, Kau Boleh dan Di Sebalik Rahsia Cinta yang kini masih sering kedengaran di corong-corong radio.
"Ketika itu industri muzik kita lebih kepada rock manakala kami memainkan lagu-lagu bergenre pop.
"Walaupun ia zaman rock, tetapi kami dapat bertahan dan mempunyai peminat sendiri," ujarnya yang juga boleh bermain alat-alat muzik lain seperti keyboard dan saksofon.
Ujarnya, ketika itu, dia dan rakan-rakannya juga sering menjadi pemuzik iringan Aishah yang berada di bawah satu label kerana kumpulan The Fan Club yang sering mengiringi pelantun lagu Janji Manismu itu tidak biasa memainkan lagu Melayu.
Fadzil kemudian mengembara bersama The Shiok! ke serata Asia seperti Jakarta, Singapura, Bangkok, Taiwan, Hong Kong dan China memenuhi tawaran bermain muzik di hotel-hotel lima bintang.
Antara pemain muzik dari luar negara yang pernah menganggotai kumpulannya itu berasal dari Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Greece, Australia dan Kanada.
Sedar tak sedar, lapan tahun dia dan rakan-rakannya di perantauan bermain muzik dan pada 2001 dia membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia.
"Ketika itu tidak terfikir untuk pulang ke Malaysia. Dunia hiburan membuatkan seseorang itu tidak mempunyai masa untuk bersedih kerana ia sentiasa menyeronokkan.
"Lagipun saya melakukan apa yang saya benar-benar suka ketika itu sebagai kerjaya. Namun saya sudah meletakkan sasaran akan pulang ke Malaysia pada 2001," ujarnya yang kemudian berumah tangga pada 2005 dengan cinta hatinya, Ruszia Yunos dan mempunyai tiga orang anak.
Sepanjang berada di negara orang, dia sempat berkenalan dengan ramai chef di hotel tempat dia bekerja, sedikit-sebanyak menimbulkan minat terhadap dunia masakan.
Cabang seni
Pulang saja ke tanah air, dia mula merencana perjalanan hidupnya. Niat asal, Fadzil mahu membuka kedai kopi tetapi tidak meneruskan impiannya kerana memerlukan modal yang tinggi.
Dia kemudian memilih untuk mendalami ilmu membuat roti dan kemudian kek melihat kepada permintaan orang ramai yang sentiasa ada dan Fadzil juga kebetulan gemar memasak.
"Saya memilih membuka perniagaan kek kerana dahulu ia kurang dipelopori oleh orang Melayu. Lagipun, saya lebih cenderung untuk bekerja sendiri.
"Bagi saya, membuat kek boleh dikatakan satu cabang seni juga. Ia memerlukan kemahiran dan kekreatifan seseorang untuk menghasilkan kek yang baik," ujarnya yang turut menjalankan perkhidmatan menyewa peralatan audio.
Ceritanya, ilham menghasilkan hiasan kek datang dengan sendiri, sama seperti bermain muzik.
Melihat kepada kek-kek yang pernah dihasilkan Fadzil, jelas dia mementingkan kekemasan dalam rekaan dan sentiasa memastikan isinya juga sedap.
"Saya sentiasa mendapatkan maklum balas daripada pelanggan terutama dari segi rasanya kerana bagi saya ia yang paling penting," ujarnya yang hanya menerima tempahan bagi memastikan kesegaran kek.
Bercerita tentang minatnya dalam bidang muzik, ujar Fadzil, sekarang ia sekadar hobi terutama ketika keluarganya berkumpul memandangkan dia datang daripada sebuah keluarga yang semuanya berbakat seni dan boleh bermain muzik.
0 comments:
Post a Comment