|
MEMELIHARA ikan hiasan untuk dijual bukanlah sesuatu yang asing lagi kepada penduduk di negara ini.
Namun, ramai yang tidak mengetahui selain ikan, memelihara udang juga boleh menjadi hobi yang menarik dan mampu memberikan pendapatan yang lumayan kepada pengusahanya.
Daya tarikan itu telah mendorong Mohd. Fazuli Ismail, 31, untuk meneroka lebih jauh lagi dalam industri yang sudah terkenal di negara seperti China, Thailand dan India tetapi masih kurang dikenali di Malaysia.
Menurutnya, hobi baharunya itu bermula sekitar dua tahun lalu ketika melayari internet untuk mencari maklumat mengenai ikan hiasan galaxy.
"Saya sememangnya mempunyai hobi membela ikan hiasan dan secara tidak sengaja saya terbaca mengenai pemeliharaan udang hiasan yang semakin popular di beberapa buah negara.
"Bermula dari situ, saya menimba pengetahuan mengenai udang hiasan dan saya tidak menyangka haiwan itu boleh dibela sama seperti ikan.
"Saya bertanya kepada peniaga-peniaga di beberapa buah kedai akuarium tetapi majoritinya menyatakan mereka tidak menjual udang jenis tersebut melainkan udang yang dijual untuk dijadikan umpan memancing ikan.
"Saya tertarik untuk memelihara udang hiasan ini kerana ia merupakan satu perniagaan baharu di Malaysia yang sangat unik," tambahnya yang mendapat sokongan penuh daripada isterinya, Noor Asmawati Ismail, 31.
Menurut Mohd. Fazuli, perniagaan itu unik kerana terdapat pelbagai spesies udang hiasan yang mempunyai pelbagai warna menarik seperti merah, biru dan kuning.
"Selepas membaca mengenainya, saya agak terkejut apabila mengetahui terdapat spesies udang hiasan yang dijual pada harga RM4,000 seekor," ujarnya.
Pemuda itu berkata, secara kebetulan, dia mempunyai rakan yang mengenali seorang pengusaha udang hiasan dari Singapura yang mendapat bekalan haiwan tersebut dari Taiwan. Menurutnya, dia kemudian membeli 10 ekor udang hiasan.
Setiap seekor udang itu, katanya, berharga RM2.
Mohd. Fazuli berkata, dia meletakkan udang tersebut di dalam sebuah akuarium.
"Saya belajar cara untuk membela udang hiasan ini berpandukan tunjuk ajar daripada pengusaha tersebut.
"Entah di mana silapnya, kesemua udang yang dibela itu mati begitu sahaja. Namun, kegagalan itu langsung tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba sehingga berjaya.
"Jika orang lain, pasti sudah mengalah apabila tidak berjaya pada peringkat permulaan. Bagaimanapun, saya terus berusaha dan selepas lebih 10 kali melakukan percubaan, akhirnya saya berjaya juga membela udang hiasan yang dikenali sebagai udang ceri.
"Saya tidak pernah terfikir untuk menjadikan hobi ini sebagai sumber pendapatan.
"Namun, apabila bilangan udang hiasan ini bertambah, saya menawarkannya kepada rakan-rakan yang berminat membelanya. Saya tidak sangka pertaan terhadap udang hiasan ini sangat menggalakkan," jelasnya yang bertugas dengan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Ujar Mohd. Fazuli, pada mulanya dia memelihara udang hiasan yang mempunyai pelbagai warna sebagai hobi.
Hobi itu, katanya, kemudian bertukar menjadi perniagaan apabila rakan-rakannya meminta dia menjual hidupan tersebut.
"Saya turut memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan mengenai cara untuk memelihara udang hiasan ini supaya tidak mati. Sebenarnya, ia lebih mudah dipelihara berbanding ikan hiasan.
"Keadaan itu berlaku kerana kita tidak perlu menukar air di dalam akuarium dengan kerap. Sebaliknya, kita hanya perlu menambahkan sahaja kuantiti air. Saya membersihkan akuarium sebulan sekali.
"Terdapat cara untuk memelihara udang hiasan ini. Saya hanya membuat rujukan di internet serta bertanya kepada mereka yang pernah membelanya," katanya yang memelihara udang hiasan itu di dalam 10 buah akuarium mengikut warna udang.
Jelas Mohd. Fazuli, suhu di dalam akuarium udang hiasan mesti tidak melebihi 28 darjah Celsius bagi mengelakkan haiwan itu mati kepanasan.
"Suhu bilik sangat tidak sesuai untuk memelihara udang hiasan. Justeru, saya menggunakan penyejuk air atau kipas akuarium untuk memastikan ia berada pada paras suhu yang sesuai.
Suhu
Warna
"Sebenarnya, udang hiasan boleh memakan apa jua makanan. Semasa mula-mula memeliharanya, saya memberikannya timun selain sayur yang dicelur terlebih dahulu seperti lobak merah serta bayam.
"Namun, kini, saya memberi haiwan itu barli bagi menjaga kualiti dan kecantikan kulitnya. Setakat ini, saya memelihara dua jenis udang hiasan sahaja iaitu neo caridina dan caridina," ujarnya yang kini menggunakan khidmat ejen dari Pulau Pinang bagi mendapatkan bekalan udang hiasan secara terus dari Taiwan.
Dia berkata, harga udang hiasan itu ditentukan mengikut jenis dan warna.
Menurutnya, jika warna udang itu lebih terang serta berkilat, harganya lebih mahal sehingga mencecah ribuan ringgit.
Mohd. Fazuli berkata, dia pernah menjual udang hiasan pada harga RM180 seekor. Dia memberitahu, saiz udang hiasan itu pula berukuran 1 sentimeter (sm) hingga 5sm dengan jangka hayatnya kurang dua tahun.
"Ia akan bertelur setiap dua bulan sekali dan seekor udang hiasan betina boleh menghasilkan antara 30 hingga 40 biji telur.
"Haiwan itu tidak boleh bercampur dengan udang yang berwarna lain.
"Ia kerana kemungkinan anak yang dihasilkan tidak akan mempunyai warna jika haiwan itu bercampur dengan udang yang mempunyai warna lain," katanya.
Dia berkata, kualiti udang hiasan itu ditentukan oleh kepekatan warna dan kilatan haiwan tersebut.
"Setakat ini, saya pernah memelihara udang hiasan yang dikenali sebagai red fire selama satu tahun sebelum menjualnya kepada pelanggan.
"Ekoran jangka hayat haiwan itu pendek, saya akan menjualnya sebelum ia mati. Jika tidak menjualnya, segala usaha saya menjaganya akan menjadi sia-sia.
"Udang hiasan ini tidak boleh terdedah kepada penyembur serangga kerana ia boleh menyebabkannya mati.
"Sudah dua kali saya mengalami kejadian seperti itu. Dalam kejadian pertama, saya menggunakan penyembur serangga ketika bermain komputer di rumah.
"Kejadian kedua pula berlaku apabila semburan kabut dilakukan secara besar-besaran di kawasan perumahan saya ini.
"Kira-kira 100 ekor udang hiasan saya mati disebabkan racun serangga itu. Sejak itu, saya mula berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang lagi," ceritanya. Dia memberitahu, ukuran keasidan (pH) air juga perlu dijaga.
Menurutnya, kadar pH yang ditetapkan adalah di antara enam hingga tujuh bagi mengelakkan haiwan itu mati.
Penyembur serangga
Ujarnya, dia kini menjadi pembekal udang hiasan ke kedai-kedai akuarium.
"Selain melihat udang hiasan yang saya miliki di Facebook, pelanggan juga boleh melayari laman web, www.onestopshrimpcenter.com.my bagi mendapatkan keterangan lanjut.
"Saya menggunakan media sosial sebagai medium promosi kerana ia lebih mudah serta menjimatkan kos," katanya yang berasal dari Johor Bahru.
Menurutnya, proses jual beli menjadi lebih mudah kerana para pelanggan sama ada dari dalam atau luar negara hanya perlu memilih udang pilihan mereka menerusi Facebook.
Selepas pelanggan menjelaskan bayaran, katanya, dia akan menghantar haiwan itu menerusi pos.
"Saya sering menyertai forum di laman web Malaysian Aquatic Community bagi bertukar-tukar pendapat mengenai perniagaan yang dijalankan.
"Saya juga merancang mahu membuka sebuah kedai menjual udang hiasan supaya urusan jual beli menjadi lebih lancar dan memudahkan pelanggan untuk membuat pilihan.
"Kewujudan sebuah galeri udang hiasan juga merupakan salah satu impian saya," jelasnya yang akan memperbaharui bekalan setiap tiga bulan.
0 comments:
Post a Comment