Danial usahawan burger bakar
KEGIGIHAN anak muda ini untuk memajukan diri sendiri dengan berdikari tanpa bergantung harap pada sesiapa seharusnya diberi pujian.
Menyedari beliau merupakan anak sulung yang menjadi tempat untuk bergantung nasib bagi kedua ibu bapa dan adik-adiknya, membuatkan pemuda ini sanggup melakukan pelbagai pekerjaan untuk menambah pendapatan.
Bukan itu sahaja, Danial Ismail juga pandai mengatur kehidupan apabila mengambil keputusan melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pagoh, dalam usaha mendalami ilmu kemahiran.
Apabila ditanya mengenai langkah tersebut, jelas anak muda yang baru berusia 24 tahun ini, keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran dibuat apabila merasakan tidak lagi berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang akademik selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Begitupun sebaik sahaja tamat tahap 3 di IKBN, Danial tidak sekadar duduk diam tetapi telah melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara keluarga dan pada masa yang sama turut mengambil kursus keusahawan.
Ini kerana beliau, yang sememangnya meminati bidang perniagaan, ingin mendalami lagi bidang tersebut sebelum melibatkan diri dengan lebih serius di dalam bidang tersebut.
Ternyata perjalanan kehidupan Danial berjalan lancar seperti yang direncanakan apabila hari ini siapa sangka hanya dengan menjual burger di kaki lima kedai beliau mampu meraih pendapatan lumayan.
Terbukti sudah segala yang dipelajari sebelum ini mampu menjadikan Danial seorang usahawan berjaya.
Jangan terkejut kerana walaupun baru mengusahakan gerai burger bakar tiga bulan lalu, Danial mampu membiayai kedua ibunya menunaikan ibadat haji di Tanah Suci Mekah, baru-baru ini.
Bahkan duit yang dipinjam daripada ayahnya untuk dijadikan modal berniaga juga telah berjaya dilangsaikan dalam tempoh sebulan berniaga.
Katanya, usaha gigih selama ini berbaloi kerana apa yang diimpikan selama ini berjaya serta menjadi kenyataan.
"Saya memang suka berniaga dan kerana itulah saya tidak berhasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi tetapi lebih suka mengikuti pengajian dalam bidang kemahiran dan kursus-kursus keusahawanan yang dianjurkan di mana sahaja.
"Alhamdulillah gerai burger bakar yang diusahakan ini membuahkan hasil setelah sebelum ini pelbagai pekerjaan yang dilakukan menemui kegagalan.
"Saya juga tidak pernah menyangka bahawa perniagaan ini mampu memberikan pendapatan lumayan," ujarnya ketika ditemui di gerainya yang terletak di Kafe La Nansa, No. 14, Jalan Pelapik U8/C, D'Pangkin, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.
Mengusahakan francais KL Burger Bakar, jelas Danial setiap malam dia mampu meraih pendapatan kasar sekurang-kurangnya RM800 semalam.
Gerainya yang memulakan operasi pada pukul 5 petang hingga 1 pagi setiap hari mampu menjual sehingga 15 kilogram (kg) daging setiap hari.
Ulas Danial lagi, pernah ada ketikanya boleh menjual sehingga 20 kg daging dan pernah juga gerainya ditutup seawal 10.30 malam kerana sudah kehabisan daging.
Pada Danial, apa yang dilakukan hari ini adalah apa yang diingini selama ini malah sedikit pun tidak berasa malu untuk bergelar usahawan kaki lima asalkan apa yang dilakukan adalah mencari rezeki yang halal.
Dijangka bertunang sekitar Februari depan, Danial bercadang ingin membuka cawangan gerai burger bakarnya sepanjang tahun ini.
"Sekarang dalam perancangan hendak membuka lima buah cawangan gerai burger bakar di bawah jenama KL Burger Bakar.
"Insya-Allah apa yang diimpikan ini dapat direalisasikan kerana keluarga sentiasa memberi sokongan padu untuk terus berjaya.
"Yang pasti saya akan meneruskan perniagaan ini selagi mendapat permintaan ramai," katanya lanjut.
Sementara itu, francais KL Burger Bakar ini hanya terhad kepada 60 francisor dan kini ia hanya tinggal 20 tempat sahaja lagi.
Bagi mereka yang ingin menikmati keenakan burger bakar bolehlah mengunjungi gerai Danial di Bukit Jelutung.
0 comments:
Post a Comment