Home » » Perubahan hidup melalui Majudiri

Perubahan hidup melalui Majudiri

Written By kall on Wednesday, 26 December 2012 | 03:15





KEPAYAHAN hidup berjauhan dari keluarga mebuatkan Puspavalli Narayansamy, 35, nekad mahu pulang ke tanah kelahirannya di Tapah, Perak.
Sewaktu mula-mula berhajat untuk bekerja sebagai penganalisis kewangan di Singapura, ibu tunggal itu hanya berniat untuk mengubah kehidupan keluarganya memandangkan menerima gaji bulanan yang lebih tinggi mengikut nilai mata wang republik itu.
Segala kerisauan dan ketakutan yang bersarang dalam hati tidak diendahkan malah dia melangkah penuh berani untuk mencabar kemampuan dirinya.
Sepanjang bekerja di tanah asing dari tahun 2009 hingga awal 2012, segala pahit maung kehidupan ditelan sendiri. Berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura, dia tetap menggagahkan dirinya hanya kerana satu niat iaitu untuk mengubah nasib keluarganya.
Begitupun, sebuah peristiwa hitam terjadi hingga hampir meragut nyawa ibu kepada dua orang anak itu.
"Sewaktu sedang menunggu bas untuk ke tempat kerja, beg tangan saya telah diragut oleh manusia berhati binatang," ujarnya yang mengimbas kembali insiden ngeri tersebut.
Tangan kirinya telah patah lalu menyebabkan segala upayanya untuk bekerja terjejas. Ditambah pula dengan beberapa masalah lain, motivasi hidupnya dirasakan berkecai sama sekali. Puspavalli yang patah hati, terus pulang ke kampung halamannya.
Hidupnya terus terumbang-ambing lantaran kehilangan punca pendapatan. Namun, melihatkan dua anak lelakinya yang sedang membesar dan memerlukan perhatian dan penjagaan sewajarnya, wanita cekal itu menyusun kembali langkahnya.
"Pada mulanya, saya merasakan kehidupan saya telah musnah hingga terpaksa meminjam wang untuk perbelanjaan makanan dan keperluan anak-anak saya," ujarnya.
Rumah ibu
Mujur Puspavalli masih memiliki tempat berteduh iaitu di rumah ibunya di Chenderiang, Tapah. Kelangsungan hidup mereka sekeluarga hanya bergantung kepada penjualan makanan ringan tradisional India, muruku, yang dijual secara kecil-kecilan kepada jiran tetangga dan teman-teman yang memahami keadaan hidupnya.
"Setiap hari, saya dan ibu sentiasa memikirkan cara untuk mengembangkan perniagaan kerana merasakan ia boleh dimajukan jika diberi peluang," jelas Puspavalli.
Dalam mencari solusi cuba merungkai permasalahan, dia didatangi teman rapatnya yang memperkenalkan Puspavalli pada projek Majudiri yang dianjurkan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MBD).
PENDAPATAN bulanan Puspavalli meningkat selepas menyertai program Majudiri.


"Pada awalnya, saya sedikti skeptikal malah kurang keyakinan diri untuk mencuba. Namun, selepas dipujuk oleh ibu, baru saya tergerak untuk turut serta dalam program tersebut.
Program dua hari itu banyak mengubah persepsi diri dan pemikirannya ke arah lebih positif. Dalam masa sama, kepercayaan pada diri semakin meningkat malah bersedia berdepan dengan segala kemungkinan.
"Tidak dinafikan, episod duka akibat perceraian dahulu sedikit sebanyak telah mengubah corak kehidupan saya. Kini, emosi itu beransur hilang dan berganti dengan kesungguhan untuk mengubah nasib hidup," ujarnya optimis.
Diiringi doa dan harapan ibunya yang mahukan Puspavalli kembali tegar meneruskan kehidupan, dia kini mula mengorak langkah memajukan bisnes muruku dan beberapa jenis makanan manis tradisi India.
Cari penyelesaian
"Projek Majudiri tersebut banyak mengajar saya mencari penyelesaian atas setiap permasalahan perniagaan yang saya hadapi.
"Malah, setiap peserta turut diberi panduan untuk memajukan bisnes dengan lebih meluas dan lari daripada kepompong lama," jelasnya.
Usai program tersebut, Puspavalli dapat merasakan peluang yang terbentang luas sedia menanti dirinya untuk diterokai dan mengembangkan jenama syarikatnya, Chellam Sweets ke peringkat lebih tinggi.
"Jika sebelum ini, saya tercari-cari peluang, rupanya saya tidak sedar yang ia telah tersedia di hadapan saya sejak sekian lama," tambahnya.
Ruang niaganya semakin mendapat tempat bukan sahaja dalam kalangan penghuni kejiranannya malah turut melangkau hingga ke luar negeri.
"Saya ada menerima pesanan dari Johor hingga ke Singapura. Saya kini sedang menunggu pengesahan daripada seorang kawan untuk memasarkan muruku buatan saya ke China," ujarnya bersungguh-sungguh.
Kelengkapan membuat manisan juga sedang dalam proses untuk digantikan ke peralatan yang lebih canggih. Selain daripada itu, dia turut berkira-kira untuk membesarkan lagi ruang dapurnya untuk memudahkan kerja-kerja pembuatan.

SHAHABUDIN terus berusaha dalam memajukan diri dalam bisnes pembinaan yang telah dilakukan sejak usia remaja.


"Jika dahulu, kadar pendapatan keluarga kami hanya sekitar RM1,000 sebulan, tetapi kini ia mencecah sehingga RM3,000 hingga RM4,000 walaupun bukan pada musim perayaan.
"Saya juga mempunyai dua orang pembantu bagi meringankan beban pekerjaan jika mendapat tempahan yang lebih," jelasnya.
Motivasi seorang bapa
Perubahan hidup yang lebih selesa turut diimpikan oleh seorang tukang pembuat rumah, Shahabudin Ismail, 60.
Dengan hampir separuh daripada hidupnya berkecimpung dalam bidang pembinaan, Shahabudin sebelum ini hanya mampu menampung tujuh anaknya dengan pendapatan tidak tetap iaitu sekadar RM350 seminggu.
Semua itu bergantung kepada permintaan kerja yang tidak menentu malah ditambah dengan keadaan dirinya yang semakin berusia.
"Kalau dapat projek, dapatlah saya memberi sedikit wang kepada isteri untuk dibuat perbelanjaan seharian," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Membantu mengurangkan beban keluarga, isterinya turut bersama-sama mencari rezeki dengan bekerja sebagai tukang masak di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) berdekatan rumahnya yang terletak di PPRT Kampung Tok Sirat, Lintang, Sungai Siput, Perak.
"Saya masih ada empat orang anak yang masih bersekolah dan memerlukan sumber kewangan bagi menampung belanja harian dan persekolahan mereka," ujarnya.
Shahabudin pada awalnya hairan kerana peluang masih belum terbuka buat dirinya walau sudah bertahun lama berkecimpung dalam kerjaya tersebut dan banyak kali cuba memajukan perniagaannya.
"Mungkin disebabkan saya hanya menanti peluang tanpa mencari ruang untuk melangkah lebih jauh, membuatkan perniagaan saya masih di takuk lama," jelasnya.
Komunikasi berkesan
Atas saranan daripada ketua kampung yang menasihatkannya untuk mengikuti program Majudiri, dia mula merasai perubahan dalam diri.
"Program tersebut membuka minda saya untuk mencari peluang dalam memajukan lagi ruang perniagaan saya," ujarnya.
Antara yang dipelajari dalam program itu adalah latihan komunikasi, kaedah pemasaran bisnes, mengenal pasti sasaran niaga dan asas keusahawanan.
"Salah satu skil yang berguna pada saya adalah komunikasi secara berkesan ketika berjumpa pelanggan. Ia meningkatkan lagi cara pergaulan agar tampil lebih yakin dalam sebarang perbincangan," jelas Shahabudin.
Tambahnya, jika sebelum ini dia hanya mampu memberi cadangan atau pandangan cara lama, kini Shahabudin lebih terbuka dalam memberi idea dan pendapat yang lebih segar dan meyakinkan.
"Kami diajar untuk mengurus syarikat dengan strategi yang lebih praktikal mengikut keadaan semasa. Jika dalam kebuntuan akibat berhadapan dengan masalah, cari jalan penyelesaian melalui pelan kedua," ujarnya.

MURUKU Puspavalli kini mendapat tempahan dari dalam dan luar negeri.


Keterbukaan dirinya mula membuahkan hasil apabila dia semakin banyak mendapat projek. Ia turut merangkumi pembinaan dalam skala yang lebih besar sehingga mampu untuk mengupah beberapa pekerja tempatan. Dia juga menumpukan prospek perniagaan yang lebih luas berbanding sebelumnya.
"Boleh dikatakan saya kini mampu menarik nafas lega kerana banyak mendapat projek. Jika saya masih berfikiran seperti dahulu dan tidak menyertai program Majudiri tersebut, pendapatan keluarga saya tentunya tetap seperti dahulu," ujarnya.
Dia sudah mampu tersenyum apabila mampu mendapat sumber pendapatan sekitar RM10,000 hingga RM20,000 untuk sesebuah projek. Bersyukur dengan rezeki yang kini terbentang luas, Shahabudin mahu mendedikasikan hasil usha itu untuk ahli keluarganya.