Home » » Fenomena Crepe Durian

Fenomena Crepe Durian

Written By kall on Wednesday, 19 December 2012 | 07:03


Penawar ketagihan si penggemar durian



ADUNAN krim berwarna putih bercampur isi durian yang dibalut dengan lempeng nipis berwarna kuning itu dimakan penuh nikmat.
Rasa masam manis krim berpadu dengan isi durian yang berlemak benar-benar membangkitkan selera mereka yang menikmatinya.
Izzati Abdul Ghaffur, 24, benar-benar menikmati makanan kegemarannya yang dibeli dari sebuah kedai bakeri di Seremban, Negeri Sembilan.
"Saya sangat menggemari durian crepe. Rasanya yang lemak manis dengan isi durian yang terdapat di tengah-tengahnya benar-benar membuat saya ketagih," katanya dalam satu pertemuan.
Menurut Izzati, minatnya terhadap durian crepe berputik sebaik dia melihat gambar makanan tersebut dimuat naik oleh seorang daripada rakannya di laman sosial Facebook.
"Rakan saya bercerita tentang keenakan durian crepe yang membuatkan saya teringin untuk mencubanya," ujarnya.
Selepas mencuba makanan itu buat pertama kali, dia terus 'jatuh cinta' dengan rasanya yang unik.

PERINGKAT akhir menghasilkan durian crepe. Mengikut pusingan jam, lempeng nipis, krim dan isi durian.


"Sebagai penggemar durian, saya memang sukakan apa-apa sahaja makanan yang berasaskan durian dan durian crepe sememangnya pilihan yang tepat untuk peminat durian seperti saya," katanya yang merupakan seorang penulis blog yang gemar berkongsi cerita mengenai makanan dengan rakan-rakannya.
Ujar Izzati, kini dia pasti akan membeli makanan kegemarannya itu pada bila-bila masa dia keluar ke pusat bandar, tidak kiralah sama ada yang ditempah ataupun yang dibeli terus dari mana-mana kios makanan di pusat-pusat beli-belah.
"Jika seminggu saya tidak makan crepe durian, saya pasti akan berasa seperti tidak senang duduk kerana makanan ini benar-benar telah menjadi kegilaan saya," katanya.
Menurut sejarah kulinari, resipi crepe ditemui buat pertama kalinya di Perancis pada tahun 1390 dalam sebuah buku masakan yang bertajuk Manger 'de Paris (makanan yang berasal dari Paris).
Perkataan crepe berasal daripada bahasa Latin iaitu crispa yang bermaksud bergulung.
Tidak menang tangan
Jika di Perancis crepe disajikan sebagai hidangan utama, di Amerika pula ia dianggap sajian terlazat dan sering dihidangkan sebagai penutup hidangan..
Ia turut disajikan dalam pelbagai cara. Antaranya mengisi lapisan-lapisan ini dengan gula halus, cip coklat, krim vanila, keju, sayur-sayuran, daging atau telur.
Bagi seorang pembuat crepe durian, Zuharizam Mahamed, 30, dia tidak menang tangan menghasilkan makanan yang sedang menjadi trend di seluruh negara itu.
"Melalui promosi yang dilakukan di blog milik saya iaitu www.kedai-cupcakes.blogspot.com, saya menerima banyak tempahan crepe durian daripada orang ramai dan ini merupakan satu perkembangan yang baik terhadap perniagaan saya, " katanya yang membuat tempahan crepe durian di rumahnya di Taman Rakan, Cheras, Kajang, Selangor.
ISI durian dan krim diletakkan di atas lempeng nipis sebelum dibalut.


Menurut Zuharizam, dia mula belajar membuat crepe durian kira-kira tiga bulan lalu setelah melihat gambar makanan itu di dalam sebuah blog.
"Saya tertarik apabila diberitahu mengenai keunikan bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkannya.
"Sebab itulah, saya belajar membuat crepe durian meskipun pada ketika itu ia masih belum dikomersialkan lagi," ujarnya yang turut menerima tempahan membuat kek red velvet, kek pelangi, pavlova, roti, puff krim dan juga tat.
Lima jenis tepung
Proses membuat crepe durian pula bukanlah sesuatu yang mudah kerana inti dan kulitnya perlu diadun dengan betul.
"Bagi mengelakkan crepe mudah koyak, saya menggunakan lima jenis tepung. Ia juga tidak boleh terlalu tebal atau nipis," jelasnya yang mula berjinak-jinak dengan perniagaan sambilan sejak tahun 2009.
Selain itu, salah satu rahsia keenakan crepe durian Zuharizam ialah dia hanya menggunakan durian jenis Musang King sebagai inti.
"Meskipun harga durian Musang King di pasaran agak mahal, namun saya tidak kisah mengeluarkan modal yang lebih kerana saya tahu ia dapat menghasilkan rasa yang hebat," katanya yang mendapatkan bekalan durian daripada seorang peniaga di Pekan Batu Sembilan, Hulu Langat, Selangor.
Menurut Zuharizam, dia menjual empat biji crepe durian bersaiz sederhana yang dibungkus dalam bekas plastik pada harga RM10. Bagi tempahan yang kurang daripada dua bekas, Zuharizam menasihatkan pelanggan yang tinggal di sekitar Cheras supaya mengambil dari rumahnya.

CREPE durian salah satu opsyen untuk si penggemar durian.


Bagaimanapun, bagi tempahan yang melebihi 10 bekas plastik dan ke atas, dia akan menghantar ke lokasi pelanggan di sekitar Kuala Lumpur pada waktu makan tengah hari dan selepas waktu bekerja tanpa caj tambahan.
"Sebaik-baiknya, buatlah tempahan tiga hari sebelum bagi memudahkan proses penghantaran,"katanya 
Sementara itu, bagi pemilik gerai durian tersebut, Quah Chon Siang, 27, memperoleh bekalan durian sebanyak dua kali sehari bagi memastikan permintaan yang tinggi daripada pelanggan terhadap buah itu sentiasa dapat dipenuhi.
"Meskipun durian-durian tersebut dibawa dari Bentong, Pahang, saya sentiasa memastikan bahawa ia dapat dihantar pada sebelah tengah hari dan petang bagi mengelakkan masalah kehabisan stok.
"Saya juga tidak menyimpan durian yang tidak dibeli melebihi sehari bagi menjamin kualiti," katanya yang turut menjual buah-buahan lain seperti manggis, rambutan dan mangga.
Ditanya sama ada trend crepe durian mempengaruhi jualannya, Chon Siang mengakui bahawa jualan durian di gerai miliknya semakin hari semakin meningkat meskipun terdapat lambakan di pasaran.
"Pelanggan saya bukan sahaja terdiri daripada golongan orang persendirian yang membeli durian untuk dimakan bersama keluarga, malah para pengusaha crepe durian secara komersial dan bukan komersial," katanya yang hanya menjual durian bermutu tinggi seperti Musang King, King of Kings, duri hitam, Butter, XO dan D24.


0 comments: