Home » » Berniaga jadi darah daging Alice

Berniaga jadi darah daging Alice

Written By kall on Friday, 16 March 2012 | 11:20

Berniaga jadi darah daging Alice



MEMBESAR dalam kehidupan yang serba kekurangan bersama 11 adik-beradik membuatkan Alice Yong, 61, menanam tekad untuk berubah. Dia mula berniaga secara kecil-kecilan sebagai usaha utama untuk membawa perubahan dalam kehidupan.

Menceritakan semula hidup keluarganya, anak kelahiran Sungai Siput, Perak itu memberitahu, kedua-dua ibu bapanya hanya bekerja menanam sayur di kawasan perumahan mereka.

Kehidupan keluarga mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana mereka bergantung kepada upah jualan tanaman sahaja.

Hasil yang tidak seberapa tersebut akan digunakan untuk menampung keperluan seharian anak-beranak itu. Hakikatnya, pendapatan itu nyata tidak mencukupi untuk menyara keluarga sebesar itu.

Nekad mahu mengubah nasib keluarganya, pada tahun 1967 Alice telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sebuah kilang. Sehinggalah pada suatu hari, Alice membuat keputusan berani untuk memulakan perniagaan sendiri.

Sekitar tahun 1976, Alice membuat pinjaman bank untuk memulakan bisnes beg tangan dan kasut di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.

Dia memberitahu, pada mulanya bisnes itu beroperasi di kaki lima sahaja memandangkan dia tidak mempunyai modal besar untuk mendapatkan sebuah premis niaga.

Begitupun, dengan bersusah payah menjalankan perniagaan harian seawal pukul 10 pagi hingga 7 malam kecuali pada hari Ahad, Alice tidak pernah berputus asa menanti kedatangan para pelanggannya.

Wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui dia meletakkan sasaran untuk menjual sekurang-kurangnya tiga beg tangan pada setiap hari. Ketika itu, harga barangan yang dijualnya adalah bermula dari RM5 hingga RM60. Pada masa yang sama, Alice turut menjual kasut wanita.


ALICE (kanan) dan Alan menunjukkan koleksi beg tangan dan kasut di butik mereka.


Dengan harga berpatutan, perniagaan Alice semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan yang bekerja di kawasan itu.

“Dalam sehari, saya boleh memperoleh RM300 sehingga RM500. Syukur dengan pulangan itu kerana modal tersebut dilaburkan semula untuk membesarkan perniagaan,” ujarnya.

Buka butik

Selepas mengumpulkan pulangan yang diperoleh selepas lima tahun, sekitar tahun 1981 Alice berjaya membuka sebuah butik kasut yang dinamakan Princess di Jalan TAR.

Nama Princess dipilih kerana Alice mahu pelanggan wanitanya meletakkan diri mereka sebagai puteri yang anggun apabila menyarungkan jenama kasut tersebut.

Namun, Alice tidak mahu tertumpu kepada satu produk sahaja. Ibu kepada tiga orang anak lelaki itu memberitahu, dia mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan produk dengan menjual kasut, cermin mata dan aksesori lain.

Atas kegigihannya menempuh cabaran berniaga selama ini, Alice hari ini mampu tersenyum dengan hasil usahanya. Butik Princess sudah beroperasi di sembilan buah cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam.

Begitupun, seiring dengan peningkatan usianya, Alice kini menyerahkan empayar bisnesnya itu kepada anak bongsunya, Alan Lok Yet Luan, 24.

Alice percaya, biarpun Alan masih muda, anaknya itu mampu menerajui perniagaan itu dengan baik.

Ambil alih

Sebaik menamatkan pengajian di Universiti Canterbury Christchurch, Kent, England, dalam jurusan Pemasaran dan Pengurusan Jualan Runcit pada tahun 2009, Alan pulang ke tanah air.


PRINCESS menampilkan pelbagai koleksi terbaharu selain menjual kasut yang bersaiz antara sembilan hingga 13.


Pada tahun yang sama, Alan terus membantu ibunya memandangkan beliau banyak menimba pengalaman di luar negara mengenai rekaan fesyen kasut yang terkini.

Tambahan pula, Alan tidak kekok membantu ibunya berniaga memandangkan ketika berumur lima tahun lagi dia sudah mula mempelajari selok-belok kerja di butik ibunya. Biarpun ketika itu tugasnya hanya membungkus kasut dan beg tangan yang dibeli pelanggan, banyak ilmu pengurusan yang diserap secara tidak langsung.

Alan yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Princess Shoe & Handbag Centre Sdn. Bhd. berazam mahu mengubah pandangan pelanggan yang berpendapat jenama tersebut hanya sesuai untuk wanita berusia.

Sambil menafikannya, Alan menegaskan bahawa seleksi kasut di Princess amat sesuai untuk wanita yang berumur antara 20 hingga 40 tahun ke atas.

“Kami menampilkan koleksi terbaharu seperti kasut tumit tinggi, kasut ballet rata dan sandal bergaya. Kami juga menawarkan rekaan yang lebih berani seperti kasut bertali dengan rona metalik dan but bertumit setinggi lima inci.

“Selain itu, Princess masih mengekalkan signatur yang sama iaitu menjual kasut wanita yang bersaiz antara sembilan hingga 13. Rata-rata produk kami sesuai untuk digayakan ke pejabat, majlis formal dan bersantai,” ujarnya ketika ditemui di butik Princess di kompleks beli-belah Ampang Park.

Dalam pada itu, tambah beliau, harga kasut yang dijual adalah dari serendah RM49.99 sehingga RM259.99, manakala harga beg dan aksesori seperti cermin mata pula dijual pada RM29.99 hingga RM300.

Alan mengakui, untuk menarik perhatian golongan wanita muda, dia sanggup meluangkan masa bersama rakan-rakan wanita ketika mereka membeli-belah kasut dan beg.


ALAN berbincang sesuatu dengan ibunya mengenai corak dan rekaan kasut.


Melalui cara itu, dia dapat mengetahui cita rasa wanita dalam soal pemilihan kasut dan beg.

Bahkan, beliau juga mengikuti peredaran fesyen kasut menerusi laman-laman web dan majalah wanita. Maklumat yang diperoleh melalui sumber-sumber tersebut banyak membantu beliau untuk mempelbagaikan lagi produk Princess.

Demi memajukan lagi perniagaan ibunya itu, Alan sanggup turun padang menemui pelanggan-pelanggannya.

Setiap kali mengadakan promosi, dia sendiri akan bersemuka dengan pelanggan seolah-olah menjadi pekerja di kedai itu.

“Sekurang-kurangnya dengan langkah itu, saya dapat mengetahui pendapat-pendapat pelanggan dengan jelas. Segala kritikan dan pujian akan dijadikan panduan untuk meningkatkan lagi mutu perniagaan,” ujarnya.

0 comments: