Home » » Suri rumah berjaya dengan Avon

Suri rumah berjaya dengan Avon

Written By kall on Friday, 1 April 2011 | 07:46


NORA (tiga dari kanan) diraikan dalam satu majlis bersama wakil-wakil Avon yang lain.


BELI untuk pakai sendiri. Itulah permulaan seorang suri rumah, Nora Hashim, 43, terpaut dengan jenama Avon kira-kira enam tahun lalu. Waktu itu dia sekadar menjadi ahli biasa untuk mendapatkan diskaun ketika membeli barangan yang dijual seorang temannya.

Namun, gara-gara rakannya berhenti menjadi wakil jualan, Nora bertindak nekad untuk terus mendaftar sebagai wakil penjual Avon pada bulan Jun 2007.

Tambahan pula, ketika itu suaminya, Abdul Gani Hadzri baru sahaja berhenti kerja. Keadaan itu menyebabkan dia memasang niat menjual produk Avon demi untuk menambah pendapatan keluarga.

Ternyata niat murninya itu dimakbulkan Allah. Sehingga hujung tahun 2007, Nora berjaya mencapai sasaran jualan bernilai RM94,000 sekali gus, memperoleh satu tiket percutian ke Switzerland.

“Bagaimanapun, saya mengambil keputusan menukar lokasi ke Perth, Australia kerana dengan itu saya boleh membawa suami dan seorang anak bercuti ke sana.

“Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan saya dapat membuktikan kesungguhan saya untuk serius dalam perniagaan Avon kepada suami melalui kejayaan jualan yang dicapai.” kata Nora dalam satu pertemuan bersama Kosmo! baru-baru ini.

Walaupun pada awal penglibatannya, si suami tidak menunjukkan sokongan tetapi, usaha gigih Nora akhirnya mendapat restu lelaki yang dicintai itu.

Menurut Abdul Gani, 46, sepanjang berbelas tahun dia bekerja dalam perkhidmatan kerajaan, tidak pernah sekali pun dia mampu membawa isteri dan anak-anaknya bercuti ke luar negara.

Tetapi, melihat isterinya melakukan perkara tersebut dalam tempoh enam bulan, hatinya terasa begitu sebak dan pilu.

“Memang mula-mula apabila isteri memberitahu ingin menjadi wakil jualan Avon, saya hanya memandang sinis hasratnya.

“Namun demikian, sebaik saya menjejakkan kaki ke hotel penginapan di Perth saya terus berpaling kepada Nora dan berkata padanya bahawa, ‘no turning back my dear’,” ujar Abdul Gani yang mengakui dia turut menangis ketika itu.

Sejak itu, pendapatan yang diperoleh daripada hasil jualan Avon yang stabil dan terjamin membuatkan hati Nora puas. Tahun berikutnya, Nora menerima insentif dua tiket percutian ke Rom, Itali selepas berjaya mencapai jualan RM196,000.

Cuma, atas beberapa alasan tertentu, Nora tidak mengambil tiket percutian tersebut sebaliknya memilih menukarnya dengan wang tunai.


INSENTIF kereta Avon membolehkan Nora memiliki tiga buah kereta mewah.


Pada bulan Januari 2009, Nora beralih menyertai program Avon Sales Leadership. Kegigihan wanita itu untuk terus merubah kehidupan ke arah yang lebih baik begitu membara.

Tambahan pula, apabila melihat sendiri kejayaan downline menjadi Senior Executive Sales Leader (SESL) menjadikan wanita kelahiran Johor Bahru, Johor itu lebih bersemangat, aktif dan yakin.

Bermula sebagai seorang suri rumah, Nora kini boleh berbangga dengan pencapaian diri apabila bergelar Sales Leader No. 2 negara sepanjang tahun 2010.

Menurut ibu kepada lima cahaya mata itu, Avon Sales Leadership bukan sahaja memberi pendapatan stabil malah mampu mengeratkan hubungan bersama kumpulan masing-masing.

“Ini sangat berbeza daripada kebanyakan perniagaan skim jualan langsung yang ada iaitu menekan downline untuk kejayaan upline.

“Malah, melalui Sales Leadership ini, ia dapat melatih saya menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan prihatin hasil daripada sesi latihan profesional yang dianjurkan Avon,” ujar Nora yang tidak ketinggalan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli kumpulan yang sentiasa menyokongnya.

Kini, soal kewangan bukan satu masalah besar buat Nora sekeluarga kerana dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.

Sementara itu, di bawah program elaun kereta pula, Nora berjaya memiliki tiga buah mewah. Ternyata, bersama Avon Nora dan keluarganya dapat menjalani hidup mewah walaupun tidak mempunyai pendidikan tinggi.

Pesanan Nora bagi mereka yang berminat merebut peluang menambah pendapatan bersama Avon adalah meletakkan impian di hadapan dan terus mengusahakannya hingga berjaya.