Home » » Langkah kanan usahawan muda

Langkah kanan usahawan muda

Written By kall on Tuesday, 19 April 2011 | 13:11

Oleh MOHD. ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my

KEPULAN asap dan percikan api di gerai Burger Junction menarik perhatian orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat cara penyediaan burger istimewa itu.

KEPULAN asap dan percikan api di gerai Burger Junction menarik perhatian orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat cara penyediaan burger istimewa itu.
KEPULAN asap dan percikan api di gerai Burger Junction menarik perhatian orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat cara penyediaan burger istimewa itu.

KEMAS beruniform seperti chef, dua orang lelaki di gerai Burger Junction begitu tekun menyediakan pesanan pelanggan yang berkunjung ke gerai mereka.

Seawal pukul 7 malam, gerai kecil yang terletak di Jalan Pandan Aman, Pandan Indah, Ampang itu dibuka bagi menyambut kehadiran pelanggan yang kebanyakan daripadanya merupakan pelanggan tetap bisnes mereka.

Sekali pandang, mungkin orang ramai beranggapan bahawa ia sekadar menyajikan burger biasa. Namun, sebenarnya terdapat keunikan di sebalik bisnes yang baru memulakan operasi Februari lalu itu.

Menggunakan teknik kukus dan gril untuk memasak burger, pengusahanya Nor Afif Rahimi, 24, ramah bercerita mengenai idea tersebut yang telah wujud sejak dia berumur 18 tahun.

“Jika kita lihat burger biasa yang digoreng, dagingnya akan ditekan-tekan di atas kuali leper hingga menyebabkan jus dalam daging menjadi kering. Teksturnya juga menjadi liat.

“Namun dengan teknik mengukus dan gril, daging burger menjadi lembut lantas membuatkannya mudah dipotong dan dikunyah. Jus berperisa dalam daging juga dapat dikekalkan,” jelas Afif.

Pada masa yang sama, menurutnya, teknik tersebut turut menyingkirkan kandungan lemak dalam daging iaitu lemak tersebut akan terkumpul di bahagian bawah pengukus.

Graduan Sains Pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memberitahu, sekurang-kurangnya 10 minit diperlukan bagi mengukus burger tetapi tiada masa maksimum diperlukan kerana daging kukus tidak akan terlebih masak.

Burger yang telah dikukus itu akan digril pula di atas bara arang. Lebih menarik, tempurung kelapa juga menjadi bahan bakar bersama-sama arang tersebut dan ia dikatakan mampu menaikkan aroma daging burger.

Afif menolak penggunaan kuali leper yang sering digunakan di gerai-gerai burger lain kerana baginya, burger yang digril dengan tempurung lebih sedap rasanya malah cara tersebut lebih klasik.


PESANAN pelanggan dicatat dengan cermat untuk mengelakkan kekeliruan ketika menyediakan burger.

PESANAN pelanggan dicatat dengan cermat untuk mengelakkan kekeliruan ketika menyediakan burger.

“Ramai orang beranggapan menggoreng burger di atas kuali leper tersebut sebagai teknik menggril tapi sebenarnya tidak.

“Lagi pula, cara tersebut menyebabkan burger menjadi terlalu berminyak dan mengandungi kolesterol tinggi,” katanya.

Jika kebanyakan burger dilengkapkan dengan kepingan timun sebagai elemen sayuran di dalamnya, burger kukus dan gril di Burger Junction itu pula mengekalkan kandungan asal seperti penyediaan burger di negara Barat.

Menurut Afif, burger merupakan makanan asal orang Barat, maka tidak wajar ia disesuaikan dengan selera tempatan. Salad, kuah salad Thousand Island dan sos sudah cukup melengkapkan sebiji burger.

Bagi memberikan kepuasan berganda kepada pelanggan, roti burger yang digunakan Burger Junction ditempah dari sebuah kilang roti di ibu negara. Roti tersebut berjisim 50 gram (g) berbanding roti biasa yang seberat 40g.

Selain itu, Afif juga hanya menggunakan daging burger berkomposisikan 100 peratus daging demi mendapatkan kualiti yang lebih baik daripada burger biasa.

Risiko usahawan muda

Walaupun memiliki ijazah, Afif tidak segan mengusahakan perniagaan burger seperti itu. Mungkin bagi sesetengah orang, menjual burger di jalanan dianggap sebagai satu bisnes picisan.

Seperti yang dijangkakannya, pelbagai kata-kata peluntur semangat telah diterima oleh Afif apabila dia mula-mula menyuarakan keinginan untuk menjalankan perniagaan tersebut. Tidak kenal erti putus asa, semua itu ‘ditelan’ sahaja untuk dijadikan motivasi.

“Pada mulanya, saya menjalankan perniagaan sate tetapi sambutan kurang menggalakkan jadi saya mengubah haluan kepada burger pula.

“Memang ramai yang bertanya kenapa saya memilih menjual burger sedangkan saya boleh memilih pekerjaan yang lebih terjamin. Namun saya terfikir, jika sesebuah perniagaan itu dijalankan dengan bijak, juallah apa sahaja ia pasti mendatangkan keuntungan,” ujarnya.

Semangat untuk berjaya dalam diri anak muda kelahiran Kuala Lumpur ini tidak pernah padam bahkan dia percaya perniagaan burger kukus dan gril yang dijalankannya kini mampu menjanjikan masa depan cerah buatnya.

Menyedari faktor merebut peluang sebagai salah satu resam berniaga, dia tidak mengambil masa yang lama untuk membuka gerai kedua Burger Junction. Awal April lalu, Afif menambah cawangan gerainya di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Risiko yang diambil dirasakan berbaloi kerana sambutan di kedua-dua gerai amat menggalakkan. Dalam sehari, purata 200 biji burger berjaya dijual bagi kedua-dua gerai.


GERAI Burger Junction di Pandan Indah ini tidak putus-putus dikunjungi pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

GERAI Burger Junction di Pandan Indah ini tidak putus-putus dikunjungi pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Lelaki yang mempunyai hobi memasak itu menambah, untuk berjaya dalam perniagaan, seseorang itu perlu tampil dengan identiti tersendiri untuk menarik perhatian orang ramai.

Sementara itu, Penaung Kelab Usahawan 1Malaysia (1MYEC), Tan Sri Rozali Ismail berkata, usaha anak-anak muda yang menjalankan perniagaan burger itu wajar dipuji.

Congak masa depan

Menurut Rozali, galakan harus diberikan kepada usahawan-usahawan muda yang ingin membuka perniagaan secara kecil-kecilan.

“Daripada menganggur, lebih baik mereka membuka perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga burger, menjual barangan kraftangan, menjual perabot terpakai dan sebagainya.

“Mereka tidak sepatutnya bimbang akan risiko kerana kita akan memberikan bimbingan dan menyediakan seminar bagi mereka yang berminat menjalankan perniagaan,” ujar beliau.

Sebagai sebuah kelab yang baru ditubuhkan, Rozali menggalakkan para usahawan muda mendaftar di Dewan Perniagaan Melayu dan 1MYEC bagi menjamin operasi dan pergerakan perniagaan mereka.

Tergolong sebagai usahawan muda membuatkan Afif tidak terkecuali dalam merangka masa depan perniagaan burger kukus dan gril miliknya.

Bakal membuka gerai ketiga di Taman Samudera, Gombak menjelang Mei ini, Afif turut menyasarkan untuk menambah beberapa lagi gerai di sekitar Lembah Klang.

Baginya, perniagaan perlu dijalankan secara berperingkat dan tidak gelojoh mengejar keuntungan.

Afif bagaimanapun menyimpan hasrat. Impian memiliki kios bergerak dijadikan sasaran tertinggi dalam perancangannya memandangkan tidak banyak peniaga burger menggunakan cara tersebut.