Home » » Ternakan dan pasaran arnab

Ternakan dan pasaran arnab

Written By kall on Friday, 11 October 2013 | 14:32

HOLLAND Lop, Netherland Dwarf dan Mini Rex adalah antara kumpulan baka arnab yang paling menjadi rebutan masyarakat negara ini untuk dijadikan sebagai haiwan kesayangan.

Menurut seorang anggota Kelab Arnab Malaysia (MRC), yang juga pengkaji arnab, Shirrly Teo, 28, baka-baka itu banyak dipelihara di rumah dan ada yang menjadikannya sebagai perniagaan yang menguntungkan.
"Tiga baka ini paling laris di pasaran berbanding spesies Jersey Wooly, Dwarf Hotot, Dutch, English Anggora, English Lop dan American Fuzzy Lop.

"Harganya berbeza kerana semakin cantik bulunya maka lagi tinggi nilainya," katanya kepada Bernama pada pertandingan UM ARBA Open All Breed Double Rabbit Show 2013 di sini baru-baru ini.
Tiga baka itu memang diimport dari Amerika Syarikat daripada orang tengah yang kebanyakkannya dibeli secara atas talian (Online).

"Biasanya kos penghantaran melebihi RM6,000 untuk enam ekor arnab yang bermutu tinggi, selain itu mereka yang membelinya perlu mendapatkan Sijil Sah Kesihatan dari negara itu selain permit untuk urusan import eksport," katanya.

Shirrly berkata, penjual haiwan ini biasanya menawarkan harga antara RM350 hingga RM3,000 bagi baka Holland Lop dan antara RM200 hingga RM5,000 bagi baka Netherland Draf.

"Pembeli akan menilai arnab dari segi bulunya samada tebal atau nipis, saiznya samada kecil atau besar serta bentuk mukanya yang comel. Namun begitu setiap baka ada keistimewaannya yang tersendiri," katanya.
Makanan arnab yang dimport dari Amerika Syarikat adalah yang terbaik bagi pembesaran dan kesihatan haiwan itu seperti Timothy Hay dan Pellet kerana mengandungi pelbagai khasiat yang diperlukan arnab.
"Kita tidak digalak memberi makanan seperti sayuran dan air yang tidak bersih kerana boleh mendatangkan penyakit seperti cirit-birit dan kurap, haiwan ini juga sensitif kepada cuaca yang panas dan memerlukan pengudaraan yang baik di dalam sangkarnya," katanya.

Kini Shirrly mempunyai lebih 150 ekor arnab sebagai perniagaan sampingannya.
"Jika dihitung memang perniagaan ini tidak mendatangkan untung yang besar namun apa yang penting adalah minat untuk membela haiwan ini," katanya yang juga anggota Persatuan Pencinta Arnab Selangor (PECINTA).
Berbelanja
Penggemar arnab, Jeyanthi Nadesen, 33, mempunyai seekor arnab seberat lapan kilogram yang dinamakan sebagai Opapa dari baka English Lop dan dibeli dengan harga ribuan ringgit.
"Kos untuk menjaga Opapa ialah RM200 sebulan, saya tidak kisah menghabiskan wang kerana Opapa adalah baka induk untuk semua arnab yang saya jual di Kota Damansara," katanya.
Jeyanthi berkata, walaupun Opapa bersaiz besar namun binatang peliharaannya itu amat manja dan tidak pernah menggigitnya walaupun berada dalam keadaan lapar.
Bagi Zubaidi Hasyim, 45, yang menamakan arnabnya Kak Tun, akan membersihkan sangkar empat hari sekali bagi memastikan arnabnya itu hidup selesa dan tidak dihinggapi sebarang penyakit.
"Anak saya yang menamakannya sebagai Kak Tun kerana begitu gemar dengan kecomelan Kak Tun melalui iklan di televisyen. Saya juga mempunyai hampir 150 ekor lagi arnab yang saya namakan seperti Melur, Dara, Aduka dan Taruna," katanya lagi.
Pertandingan itu menarik penyertaan lebih 206 ekor arnab oleh pemiliknya dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand bagi mencari arnab yang paling cantik.
Juaranya ialah 'Monster' dari spesies Holland Lop, milik Sally Koh, 25, dari Malaysia, dengan menerima hadiah berupa makanan dan keperluan arnab bernilai RM3,000.
— BERNAMA