PENINGKATAN harga makanan ikan mendorong Ibrahim Ahmad, 51 pengusaha ternakan ikan keli menjalankan pelbagai uji kaji bagi menghasilkan makanan terbaik untuk ikan peliharaannya.
Berbekalkan sedikit pengetahuan yang diperoleh ketika menghadiri beberapa kursus anjuran Jabatan Perikanan, Ibrahim berjaya menghasilkan makanan ikan sendiri.
Bermula dengan penggunaan campuran hampas kacang soya, tepung gandum, sedikit minyak masak, ikan baja, PKC (palm kernel cake) dan sedikit sayuran kini Ibrahim mampu berbangga dengan resipi ciptaannya sekurang-kurangnya untuk kegunaan sendiri.
Selain bahan-bahan tersebut, roti yang telah luput tarikh serta hampas kelapa juga turut digunakan bagi memastikan kadar protein yang tinggi diperolehi ikan yang diternak.
Dalam pada itu sayuran seperti daun ubi kayu juga turut digunakan bagi meningkatkan kandungan fiber di dalam manakan yang dihasilkan.
Menurut Ibrahim, makanan ikan yang diproses sendiri lebih menjimatkan kerana bahan-bahan yang digunakan ditentukan sendiri mengikut bajet dan keperluan.
"Selain bahan-bahan tersebut saya juga menggunakan jagung dan juga ubi kayu bagi memudahkan pelet terbentuk (melekat).
"Dua bahan tersebut mampu menjadikan pelet yang diproses tidak terlerai ketika diadun," katanya ketika ditemui di ladang projek ternakan ikan keli dan tilapia yang diusahakan di Padang Keladi, Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.
Beliau dikunjungi oleh wakil Jabatan Perikanan dan pertubuhan media yang mengikuti program Kembara Media Perikanan 2013 anjuran jabatan tersebut ke beberapa projek di sekitar Johor, Negeri Sembulan dan Melaka baru-baru ini
Jelasnya, makanan ikan yang diproses sendiri mampu menjimatkan kos penyediaan makanan dari 40 hingga 60 peratus.
Justeru penyediaan bahan makanan dari bahan-bahan tersebut mampu mengurangkan kos tersebut.
Ladang ternakan ikan keli Ibrahim kini mengeluarkan hasil sekitar satu tan seminggu kerana permintaan yang tinggi diterima olehnya.
Manakala pengeluaran bagi ikan tilapia mencecah 200 kg seminggu menjadikan kos penyediaan makanan ikan amat tinggi.
Malah, bagi menampung permintaan yang tinggi, serta kerja-kerja yang ada, Ibrahim mengambil tiga orang pekerja bagi memudahkannya menyelia ladang ternakan ikan tersebut.
Biarpun harga makanan ikan sentiasa meningkat, sebagai penternak, dia tidak boleh menaikkan harga ikan sesuka kerana terikat dengan perjanjian selain akan menimbul rasa kurang senang di kalangan pembeli.
Apa yang boleh dilakukan olehnya adalah mencari alternatif lain bagi menampung kos harga makanan ikan yang semakin meningkat.
"Kini saya hanya membeli makanan ikan untuk permulaan sahaja (starter), setelah itu ikan akan diberi makanan yang diproses sendiri," katanya.
Ibrahim yang memiliki latar belakang kontraktor binaan sebelum ini kelihatan tidak kekok menguruskan ladang ternakan ikan keli berikutan minatnya yang mendalam terhadap bidang tersebut sehingga mampu bergelar pengusaha ternakan keli dikenali di sekitar Melaka.
Sehingga kini, hampir 16 buah sekolah di sekitar Durian Tunggal, Melaka mengambil stok ikan keli daripadanya berikutan proses ternakan yang dilakukan olehnya lebih menyakinkan serta halal.
Ujarnya, terdapat sesetengah pengusaha ternakan ikan yang menggunakan tepung yang diproses daripada darah bagi mempercepatkan tumbesaran ikan.
Biarpun tepung tersebut dikatakan memiliki kadar protein yang tinggi namun status halalnya diragui kerana ada kemungkinan campuran darah khinzir juga turut digunakan," katanya.
"Jabatan sentiasa melakukan pemeriksaan dengan mengambil sampel ikan untuk dianalisis sebanyak dua kali dalam setahun untuk memastikan ikan yang dihasilkan memenuhi piawaian ditetapkan.
Sehingga kini, Ibrahim telah menyertai hampir 12 kursus yang dianjurkan oleh pihak jabatan, dan masih terus berhubung dengan pegawai yang terlibat dalam usaha menambah baik mutu ternakannya.
Melihatkan perniagaan yang semakin berkembang maju, Ibrahim berhasrat untuk menambah kolam pengeluaran yang sedia ada bagi menampung permintaan orang ramai terhadap ternakannya.
0 comments:
Post a Comment